Membumikan Al-Quran: Memerlukan Negara

Bulan Ramadhan selalu disebut sebagai bulan al-Quran (syahr al-Qur’ân), sekurang-kurangnya kerana dua perkara.

Pertama; dalam bulan Ramadhanlah Allah menurunkan al-Quran, sebagaimana firman-Nya,

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara yang hak dan yang batil[TMQ al-Baqarah (2): 185].

Allah SWT juga berfirman,

اِنَّاۤ اَنۡزَلۡنٰهُ فِىۡ لَيۡلَةٍ مُّبٰـرَكَةٍ

Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran pada suatu malam yang diberkati” [TMQ ad-Dukhan (44): 3].

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam kemuliaan” [TMQ al-Qadr (97): 1].

Oleh itu, pada bulan Ramadhan ini—biasanya 17 Ramadhan—sebahagian daripada umat Islam mengadakan Peringatan Nuzulul Quran.

Kedua; pada bulan ini juga biasanya umat Islam lebih banyak dan lebih kerap membaca dan mengkaji al-Quran berbanding dalam bulan-bulan yang lain. Dalam tradisi umat Islam di tanah air, sepanjang Ramadhan ada aktiviti rutin yang dikenali dengan istilah tadarus iaitu aktiviti membaca al-Quran, sama ada secara individu atau beramai-ramai dengan saling menyemak antara satu sama lain.

Ia merupakan satu kebaikan mengadakan Peringatan Nuzulul Quran. Dengan demikian, setiap Muslim sekurang-kurangnya setiap setahun sekali akan diingatkan tentang peristiwa turunnya kitab suci mereka iaitu al-Quran. Bukan itu sahaja, bahkan kaum Muslim akan memperolehi balasan berlipat kali ganda apabila mereka membiasakan tadarus sepanjang bulan Ramadhan. Hal ini kerana, di luar Ramadhan sahaja, Baginda Rasulullah SAW telah menjanjikan pahala daripada Allah berupa sepuluh kebaikan bagi setiap huruf al-Quran yang kita baca (HR at-Tirmidzi). Apatah lagi tadarus al-Quran dilakukan sepanjang Ramadhan, sudah tentu ganjaran pahala akan semakin berlipat kali ganda sebagaimana sabda Nabi SAW (HR Ibn Khuzaimah).

Namun demikian, tidak seharusnya umat Islam berhenti setakat itu, apatah lagi berpuas hati hanya dengan Peringatan Nuzulul Quran dan aktiviti membaca al-Quran. Umat Islam hendaklah tidak memperlakukan al-Quran hanya sekadar kitab bacaan. Hal ini kerana, dalam ayat pertama yang disebut di atas jelas menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah untuk berfungsi sebagai hud[an] (petunjuk), bayyinât (penjelasan) dan furq[an] (pembeza; yang hak dengan yang batil) [TMQ al-Baqarah (2): 125]. Dalam ayat lain al-Quran juga menegaskan dirinya sebagai penjelas bagi segala sesuatu (tibyân[an] li kulli syay’[in]), petunjuk (hud[an]) dan rahmat (rahmat[an]) bagi manusia [TMQ an-Nahl (16): 89]. Al-Quran juga merupakan ubat penawar bagi orang yang beriman [TMQ al-Isra’ (17): 82].

Persoalannya, adakah umat Islam saat ini sudah meletakkan al-Quran sesuai dengan seluruh fungsinya sebagaimana yang dinyatakan di atas? Atau adakah al-Quran saat ini hanya dijadikan sebagai kitab bacaan semata-mata?

Jangan Mengabaikan Al-Quran

Allah SWT berfirman,

وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا

Berkatalah Rasul, “Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan al-Quran ini sebagai sesuatu yang diabaikan [TMQ al-Furqan (25): 30].

Ayat di atas menceritakan bahawa Rasulullah SAW mengadu kepada Allah SWT tingkah laku umatnya yang menjadikan al-Quran sebagai mahjûr[an]. Kata mahjûr[an] adalah bentuk maf‘ûl. Ia boleh berasal daripada kata al-hujr, iaitu kata-kata keji dan kotor. Dengan demikian, maksud ayat ini, mereka mengucapkan kata-kata batil dan keji terhadap al-Quran, seperti menuduh al-Quran adalah sihir, syair atau kisah dongeng orang-orang terdahulu [TMQ al-Anfal (8): 31]. (Ash-Sabuni, I/260). Kata mahjûr[an] juga boleh berasal daripada kata al-hajr, iaitu at-tark (meninggalkan, mengabaikan). Jadi, mahjûr[an] juga boleh bermakna matrûk[an] (yang ditinggalkan, diabaikan) (Al-Qanuji, IX/305).

Banyak sikap dan tingkah laku yang dikategorikan oleh para mufassir sebagai hajr al-Quran (meninggalkan atau mengabaikan al-Quran). Antaranya adalah menolak untuk beriman dan membenarkannya; tidak mentadabbur dan memahaminya; tidak mengamalkan dan mematuhi perintah dan larangannya; berpaling daripadanya dan menuju kepada yang lain sama ada berupa syair, ucapan, nyanyian, permainan, ucapan atau tharîqah yang diambil daripada selainnya; tidak mahu menyemak dan mendengar al-Quran (Ibn Kathir, I/1335). Tidak mahu berhukum dengan al-Quran, sama ada dalam perkara usûl ad-dîn mahupun furû’-nya, menurut Ibnu al-Qayyim, juga terkategori sebagai meninggalkan atau mengabaikan al-Quran (Wahbah Zuhaili, IXX/61).

Semua tindakan tersebut haram (dosa) kerana dikaitkan dengan ayat berikutnya,

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ وَكَفَى بِرَبِّكَ هَادِيًا وَنَصِيرًا

Seperti itulah Kami mengadakan bagi tiap-tiap Nabi musuh daripada para pendosa [TMQ al-Furqan (25): 31].

Dalam ayat ini, jelaslah orang-orang yang meninggalkan dan mengabaikan al-Quran diletakkan sebaris dengan musuh para Nabi yang terdiri daripada kalangan orang-orang berdosa.

Bentuk-Bentuk Pengabaian Al-Quran

Jika kita melihat dengan cermat, gejala pengabaian al-Quran banyak dilakukan oleh umat Islam—sama ada secara sedar atau tidak daripada pelbagai peringkat. Pertama; pada peringkat kebanyakan masyarakat Muslim (awam), sama ada dikalangan bawah atau kalangan menengah, kita sudah lama menyaksikan bagaimana al-Quran hanya disimpan di rak-rak buku tanpa pernah dibaca, apatah lagi dikaji isinya dan diamalkan dalam realiti kehidupan. Jika dibaca sekalipun, biasanya hanya sekadar di bulan Ramadhan seperti sekarang ini. Apabila jarang dibaca, secara automatik ia (al-Quran) juga jarang dikaji. Maka apabila jarang dikaji, secara automatik juga ia (al-Quran) jarang diamalkan. Masyarakat lebih berminat dan teruja untuk membaca surat khabar atau rajin menonton TV daripada membaca al-Quran. Jadi, wajar jika kemudiannya kita melihat mereka lebih tergila-gila dengan apa yang dipropagandakan oleh akhbar atau TV yang sebenarnya lebih banyak membawa idea-idea atau mesej yang berasal daripada akidah Sekularisme berbanding idea-idea dan mesej yang berasal daripada al-Quran.

Pada tahap pemikiran, hal ini dapat dibuktikan dengan penerimaan sebahagian besar masyarakat yang lebih menerima demokrasi, hak asasi manusia (HAM), kebebasan, kesamarataan dan lain-lain daripada idea-idea dan mesej Islam seperti penerapan syariah Islam secara kâffah (menyeluruh). Pada tahap kehidupan praktikal, ia boleh ditunjukkan dengan dambaan sebahagian besar masyarakat terhadap gaya hidup Barat yang cenderung untuk bebas dan liar. Wanita Islam, misalnya, ramai yang lebih suka berpakaian ala Barat yang mempertontonkan sebahagian (bahkan sebahagian besar) auratnya daripada menutup auratnya dengan jubah dan tudung. Para remaja ramai yang lebih suka bergaul bebas daripada terikat dengan peraturan-peraturan syariah.

Kedua; pada peringkat golongan intelektual Muslim kita juga melihat bagaimana al-Quran dilayan secara ‘sewenang-wenangnya’; sesekali dikritik, bahkan selalu dicabar—walaupun sudah tentu tidak secara terang-terangan atau diselindungi dengan pelbagai istilah dan jargon, seperti ‘pembaharuan semula’ ataupun ‘menginterpretasi semula’ al-Quran. Munculnya sikap ‘kritikal’ terhadap al-Quran tidak lain kerana didasarkan pada andaian bahawa al-Quran—walaupun dipandang suci—hakikatnya adalah kumpulan teks yang sama dengan teks-teks lain. Bahkan Nasr Hamid Abu Zayd, misalnya, dalam Mafhûm an-Nas; Dirâsât fî ‘Ulûm al-Qur’ân, secara tegas menyatakan bahawa al-Quran bukanlah kalamullah, ia hanyalah hasil budaya (muntâj ats-tsaqâfi); hasil persepsi Muhammad SAW terhadap kalam Allah yang sebenarnya.

Ketiga; pada peringkat negara/pemerintah, usaha mengabaikan al-Quran sebenarnya lebih ketara lagi. Mengapa tidak? Selama ini, al-Quran hampir tidak dilihat bahkan cenderung untuk dicampakkan. Keengganan pemerintah untuk menerapkan hukum-hukum Allah SWT yang bersumber daripada al-Quran dan lebih rela menggunakan undang-undang sekular buatan manusia adalah bukti nyata daripada tindakan mereka melakukan pengabaian terhadap al-Quran. Allah SWT telah mengecam sikap demikian,

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَنْ يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَنْ يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُضِلَّهُمْ ضَلالا بَعِيدًا

Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah mengimani apa sahaja yang telah diturunkan kepadamu dan pada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhukum pada thâghût, padahal mereka telah diperintah untuk mengingkarinya. Syaitan berhasrat untuk menyesatkan mereka sejauh-jauhnya [TMQ an-Nisa’ (4): 60].

Lebih tragis lagi apabila pejuang syariah Islam dilayan oleh pemerintah -baik secara langsung ataupun kerana tekanan Barat (baca: AS)- sebagai teroris, atau setidak-tidaknya sebagai ancaman; seolah-olah memperjuangkan penegakan syariah Islam lebih jahat daripada jenayah seperti rasuah, misalnya. Sikap ini—ditegaskan oleh al-Quran—adalah sikap orang-orang munafik,

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا إِلَى مَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَإِلَى الرَّسُولِ رَأَيْتَ الْمُنَافِقِينَ يَصُدُّونَ عَنْكَ صُدُودً ا

Jika dikatakan kepada mereka, "Marilah kalian (tunduk) pada hukum yang telah Allah turunkan dan pada hukum Rasul," nescaya kalian melihat orang-orang munafik menghalang (manusia) dengan sekuat-kuatnya daripada (mendekati) kalian[TMQ an-Nisa’ (4): 61].

Membumikan Al-Quran, Memerlukan Negara

Wacana mengenai kepentingan membumikan al-Quran sudah selalu dilontarkan oleh para ulama, intelektual dan aktivis Muslim. Namun, sehingga kini wacana itu masih kekal sebagai wacana, tidak menjadi kenyataan. Al-Quran masih hanya dijadikan kitab bacaan, tidak dijadikan pedoman, apatah lagi dijadikan sebagai sumber hukum dan perundang-undangan. Padahal al-Quran berisi sistem kehidupan yang perlu diterapkan. Di dalamnya terdapat hukum yang mengatur semua aspek dan dimensi kehidupan [TMQ an-Nahl (16): 89].

Perlu disedari, sebahagian hukum itu hanya boleh dilakukan oleh negara seperti hukum-hukum yang berkaitan dengan pemerintahan dan kekuasaan, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, dan politik luar negara; termasuk juga hukum-hukum yang mengatur hukuman terhadap pesalah undang-undang syariah (‘uqûbât). Hukum-hukum seperti itu tidak boleh dan tidak mungkin diterapkan oleh individu. Semua itu hanya boleh dan sah dilakukan oleh negara (penguasa). Dalam Islam, negara seperti ini adalah Khilafah dan pemerintahnya disebut Khalifah.

Berdasarkan fakta ini, kewujudan negara (Khilafah) adalah dharûrî (sangat penting). Tanpa Khilafah, mustahil kita boleh membumikan al-Quran. Tanpa Khilafah, sangat banyak ayat al-Quran yang dicampakkan. Padahal meninggalkan al-Quran—walaupun sebahagian—termasuk tindakan yang haram (dosa). Kerana itu, berdirinya Khilafah -tentu Khilafah ‘ala Minhâj an-Nubuwwah- perlu disegerakan supaya tidak ada satu pun ayat al-Quran yang diabaikan. Inilah sepatutnya yang dijadikan pesanan penting dalam Peringatan Nuzulul Quran seperti sekarang ini.

Wallâh a‘lam bi as-sawâb. 

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment