Meraih Takwa yang Hakiki Tatkala Berpuasa dalam Sistem Demokrasi

Takwa, Sebagaimana yang kita ketahui ialah “harapan” yang Allah SWT kehendaki dari seorang Mukmin dalam menunaikan saum (puasa) selama Ramadhan. Kerana itu, boleh dikatakan bahawa takwa adalah seperti ‘buah’ dari saum yang ditunai oleh seorang Mukmin.


Namun demikian, baginda Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Betapa banyak orang berpuasa tidak mendapatkan apa pun kecuali rasa lapar dan dahaga” [HR Muslim].

Mengapakah demikian? Itulah pertanyaan yang seharusnya menjadi bahan renungan bagi setiap Mukmin. Atas dasar ini, setiap Mukmin seharusnya merenung kembali apakah yang dimaksudkan dengan takwa, agar ibadah puasa yang dijalani tidak menjadi sia-sia.

Apakah makna takwa atau bagaimana kita hendak mengetahui sama ada seseorang itu telah benar-benar bertakwa mahupun tidak?

Ketika menafsirkan al-Quran surah al-Baqarah ayat 1-5, Imam Ali ash-Shabuni menyatakan,

“Orang-orang bertakwa adalah orang-orang yang takut terhadap murka Allah SWT dengan cara melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya”.

Beliau pun mengutip pernyataan Ibnu ‘Abbas ra. yang menyatakan, “Orang-orang yang bertakwa adalah mereka yang takut dengan perbuatan syirik (menyekutukan Allah SWT) ketika menjalankan ketaatan kepada Allah SWT”.

Adapun menurut Imam Hasan al-Basri,

“Orang-orang bertakwa adalah mereka yang takut terhadap apa saja yang Allah SWT telah larangkan ke atas diri mereka dan menunaikan apa saja yang Allah SWT telah wajibkan ke atas diri mereka” [Ali ash-Shabuni, Shafwah at-Tafasir , I/26].

Pengertian takwa inilah yang sering dipetik oleh para ulama dalam sejumlah kitab-kitab mereka. Dengan demikian, jika memang takwa adalah buah dari puasa Ramadhan yang dijalani oleh setiap Mukmin, bermakna setiap Mukmin seharusnya sentiasa takut terhadap murka Allah SWT dengan cara selalu berusaha untuk mengerjakan semua perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, selalu berusaha untuk menjauhi kesyirikan, sentiasa menjalankan ketaatan, memiliki rasa takut untuk melakukan perkara-perkara yang haram dan sentiasa berusaha untuk menjalankan semua kewajipan yang telah Allah SWT bebankan pada dirinya.

Dalam ertikata lain, untuk menjalankan kesemua perintah Allah SWT dan meninggalkan kesemua larangan-Nya itu mestilah dilaksanakan dengan aspek menyeluruh yakni bukan sahaja aspek ibadah, tetapi juga akidah dan kesemua hukum syarak yang lain. Dalam aspek muamalah sebagai contoh, seperti ekonomi, politik, pendidikan, pemerintahan, sosial dan lain-lain, wajib menjadikan Islam sebagai aturan. Begitu juga dalam aspek ‘uqubat (hukuman) seperti hudud, jinayat, ta’zir mahupun mukhalafat, kesemuanya wajib diatur dengan Islam.

Tidak dikatakan bertakwa jika seseorang itu tidak pernah meninggalkan melakukan solat, melaksanakan puasa Ramadhan atau bahkan menunaikan ibadah haji ke Baitullah, sedangkan dalam masa yang sama dia mempunyai muamalah ribawi, malas belajar tentang Islam, tidak berdakwah, terlibat dalam rasuah dan penyelewengan, pemimpin yang mengabaikan urusan masyarakat, menzalimi rakyat, rakyat pula tidak mempedulikan kemaksiatan pemimpin, tidak memuhasabah pemimpin seumpamanya. Jika begini, maka sesungguhnya mereka hanya mengambil Islam hanya dalam aspek ibadah semata-mata dan meninggalkan aspek lain yang lebih banyak dan ini menunjukkan yang mereka tidak takut kepada Allah dan tidak bertakwa.

Mukmin yang selalu berusaha untuk menjauhi kesyirikan itu adalah Mukmin yang berusaha untuk tidak menyekutukan Allah SWT dengan makhluk-Nya baik dalam konteks akidah mahupun hukum syarak. Apa yang dimaksud dengan syirik dalam kontek hukum syarak ialah tidak meyakini dan menolak segala hukum dan undang-undang yang selain hukum Allah, kerana perkara seperti ini jelas boleh membawa kepada satu bentuk kesyirikan. Allah SWT berfirman,

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani telah menjadikan para pendeta dan para rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah” [TMQ at-Taubah (9):31].

Setiap Mukmin mesti memahami ayat ini dengan benar agar tidak terjatuh ke dalam kesyirikan. Diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah SAW membaca ayat ini, datanglah Adi bin Hatim kepada baginda dengan maksud hendak memeluk Islam. Ketika itu Adi bin Hatim masih beragama Nasrani. Apabila mendengar ayat tersebut, beliau kemudian berkata, “Wahai Rasulullah, kami (orang-orang Nasrani) tidak pernah menyembah para rahib kami.” Nabi SAW lalu bertanya kepada Adi bin Hatim “Bukankah para rahib kalian biasa menghalalkan apa yang telah Allah haramkan dan mengharamkan apa yang telah Allah halalkan, lalu kalian pun mentaatinya?” Jawab Adi bin Hatim, “Benar wahai Rasulullah.” Kemudian baginda SAW dengan tegas menyatakan, “Itulah bentuk penyembahan kalian terhadap para rahib kalian” [Ath-Thabari, Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an , X/210; al-Baghawi, Ma’alim at-Tanzil, IV/39].

Jika pada waktu itu, para rahib dan pendetalah yang merubah hukum Allah dan menghalalkan apa yang Allah haramkan serta mengharamkan apa yang Allah halalkan, kini tempat tersebut telah digantikan oleh para penguasa mahupun wakil rakyat dalam sistem demokrasi. Ini kerana, wakil rakyatlah yang menghalalkan apa yang Allah haramkan dan mengharamkan apa yang Allah halalkan melalui undang-undang yang mereka gubal di Parlimen. Kenapa riba dan judi yang jelas diharamkan oleh Allah SWT, tetapi menjadi “halal” dalam sistem demokrasi? Kerana pemerintah dan wakil rakyatlah yang membuat undang-undang dan membenarkannya untuk diamalkan. Kenapa menyampaikan dakwah, mengedar risalah dakwah, baik di masjid, surau, di tempat-tempat awam dan lain-lain yang jelas merupakan kewajipan, tetapi “diharamkan” dalam sistem demokrasi? Kerana pemerintah dan wakil rakyatlah yang membuat undang-undang dan mengenakan larangan tersebut. Pendek kata, berapa banyak kewajipan dan keharaman yang telah ditentukan oleh pemerintah dan wakil rakyat melalui proses pembuatan undang-undang di Parlimen, walhal Allah SWT memerintahkan sebaliknya.

Allah SWT mencegah setiap Muslim dari mentaati golongan tersebut (golongan yang mengharamkan apa yang Allah halalkan dan menghalalkan apa yang Allah haramkan), kerana ketaatan kepada mereka bermaksud “menyembah” mereka. Itulah apa yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW kepada Adi bin Hatim. Apa yang setiap Mukmin wajib taat hanyalah kepada Allah SWT semata-mata, bukan kepada pemerintah atau pembuat undang-undang yang telah merubah perintah Allah. Untuk pemerintah yang seperti ini, apa yang Islam perintahkan kepada umatnya ialah untuk melakukan muhasabah kepada mereka dan jika mereka tidak berubah, maka menggantikan mereka dengan seorang Khalifah yang bertakwa kepada Allah SWT. Dengan melakukan perkara ini, barulah seseorang Muslim itu dikatakan bertakwa kepada Allah SWT.

Sistem demokrasi itu sendiri merupakan sistem kufur yang datangnya dari Barat yang intipatinya meletakkan kedaulatan di tangan manusia atau dengan kata lain memberikan hak kepada manusia untuk menggantikan tempat Allah sebagai pembuat hukum. Sistem ini wajib dihapuskan dan digantikan dengan sistem pemerintahan Islam yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya ke atas kita semua yakni Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.

Di sinilah pentingnya bagi setiap Muslim memahami bahawa ketakwaan kepada Allah SWT itu menuntut setiap Muslim agar mentaati Allah SWT dalam segala aspek, bukan sahaja dalam masalah akidah dan ibadah, tetapi termasuk aspek hukum syarak. Redha dan mentaati pemerintah yang tidak mentaati Allah merupakan satu bentuk kemaksiatan yang nyata kepada Allah dan boleh menjerumuskan seseorang Muslim itu ke dalam kesyirikan tatkala ketaatan itu dilakukan secara membabi buta kepada pemerintah yang menghalalkan apa yang Allah haramkan dan mengharamkan apa yang Allah halalkan, seperti yang dapat kita saksikan pada hari ini.

Justeru, untuk memetik dan menikmati “buah” dari puasa Ramadhan, maka setiap Muslim wajib bertakwa kepada Allah dengan ertikata takwa yang sebenar iaitu mengerjakan SEGALA perintah-Nya dan menjauhi SEGALA larangan-Nya, bukan hanya dalam bab-bab tertentu sahaja. Firman Allah SWT,

“Apakah kamu beriman dengan sebahagian (isi) kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain? Maka, tidak ada balasan bagi orang yang melakukan hal itu, selain kehinaan dalam kehidupan di dunia, serta pada hari Kiamat nanti akan dikembalikan kepada azab yang sangat pedih” [TMQ al-Baqarah (2):85].

Wallahua’lam.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment