Pengorbanan Muslimah Penyumbang Kejayaan Islam

Oleh : Hidayah Muhammad (Ketua MHTM Cawangan Sandakan)

Muqaddimah

Lazimnya, kedatangan Ramadhan dirindui banyak umat Islam seiring dengan persiapan penuh warna-warni hari raya seperti fesyen baju raya, penyediaan kuih dan biskut raya, kelengkapan perabot terkini dan bermacam-macam lagi. Apa yang menyedihkan ialah, fenomena ini sangat sinonim dengan wanita dan wanitalah golongan paling sibuk setiap kali menjelang Ramadhan yang mana kesibukan ini sama ada sedar atau tidak adalah satu kesibukan yang remeh dan tidak perlu untuk memperuntukkan masa yang banyak untuknya.

Bulan Ramadhan ialah bulan kemuliaan yang mana Allah SWT telah menyediakan ganjaran pahala yang banyak kepada hamba-hambaNya yang melakukan amalan-amalan wajib dan sunat. Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang bertatawuk (mengerjakan amalan sunat) dalam bulan Ramadhan dengan suatu perkara kebajikan, adalah seperti orang yang menunaikan sesuatu amalan fardhu (amalan wajib) pada bulan lain. Dan sesiapa yang menunaikan sesuatu fardhu adalah seperti orang yang menunaikan 70 amalan fardhu pada bulan lain” [HR Ibnu Khuzaimah daripada Salman al-Farisi].

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, Allah SWT telah mewajibkan ke atasmu berpuasa. Dibuka padanya pintu-pintu Syurga dan ditutup padanya pintu-pintu Neraka, diikat padanya syaitan-syaitan. Padanya satu malam lebih baik daripada seribu bulan, siapa sahaja yang dihalang kebaikannya sebenarnya dia telah dihalang kebaikan yang banyak” [HR Ahmad No. 8765 dan 9213 dan an-Nasa’i No. 2106].

Maka, amat menyedihkan sekiranya bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan amal-amal soleh yang mampu mendekatkan diri kepada Allah serta meningkatkan lagi ketakwaan kepadaNya. Ironinya, realiti yang berlaku saban tahun adalah kemunculan Ramadhan disinonimkan dengan kesibukan persiapan material atau kebendaan. Bazar Ramadhan bagaikan tempat pesta makanan, tawaran pakej berbuka puasa di hotel-hotel terkemuka, promosi pakaian hari raya, harga runtuh di pasar-pasar raya dan banyak lagi. Hal ini adalah bukti kejayaan puak Kapitalis mengalihkan fokus umat Islam kepada nilai-nilai material berbanding memikirkan bentuk sumbangan yang boleh diberikan untuk perkara yang lebih penting pada bulan Ramadhan ini ataupun melakukan kewajiban yang sering dilalaikan iaitu mendakwahkan Islam.

Ramadhan Generasi Terdahulu

Hal ini berbeza sekali dengan generasi terdahulu apabila tibanya bulan Ramadhan, mereka menyambut dengan penuh rasa syukur. Bahkan dalam bulan Ramadhan jugalah banyak berlaku peristiwa-peristiwa besar dan penting dalam lipatan sejarah umat Islam. Peperangan Badar misalnya, ia berlaku pada bulan Ramadhan. Adakah para sahabiyyah disibukkan dengan urusan persiapan hari raya tatkala Rasulullah SAW dan para sahabat sedang berperang di medan jihad? Sudah tentu tidak! Mereka justeru mempersiapkan suami dan anak-anak lelaki mereka untuk berjihad di jalan Allah.

Jika ditelusuri sejarah, wanita-wanita pada zaman Rasulullah SAW merupakan wanita terhebat dan generasi terbaik dalam lipatan sejarah Islam. Kisah-kisah mereka terlalu sarat dengan ketakwaan kepada Allah SWT. Bukan sekadar itu, mereka membuktikan keteguhan mereka dalam mempertahankan akidah, kegigihan mereka dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT dan kesanggupan mengorbankan segala yang dimiliki untuk kepentingan Islam hatta nyawa sekalipun dipertaruhkan demi tegaknya agama Allah SWT.

Salah seorang sahabiyyah yang layak dijadikan tauladan ialah Ummul Fadhl radiallahu’anha, atau nama sebenarnya, Lubabah binti al-Harits bin Hazm bin Buhair al-Hilaliyah atau lebih dikenali dengan Ummu Fadhl, isteri kepada Abbas (bapa saudara Rasulullah SAW) dan ibu kepada 6 orang putera dan seorang puteri. Beliau juga merupakan saudara kandung kepada Ummul Mukminin Maimunah binti al-Harits, sekaligus ibu saudara kepada Khalid al-Walid dan saudara kandung Asma’ binti Umais. (Siyar A’laam An-Nubalaa’, jilid 2, hlm 314).

Ketika cahaya Islam menyinari jazirah Arab, wanita pertama yang memeluk Islam ialah Ummul Mukminin Khadijah radiallahu’anha dan selepas itu ialah Ummul Fadhl radiallahu’anha. Imam Adz-Dzahabi menyatakan, “Ada yang berpendapat bahawa (selepas Khadijah radiallahu’anha) tidak ada wanita lain yang memeluk Islam sebelum Ummul Fadhl”. (Siyar A’laam an-Nubalaa’, jilid 2, hlm 315).

Persiapkan Diri Dan Ummah

Beliau merupakan seorang wanita yang cerdas, berani dan memiliki sifat-sifat yang terpuji. Ummul Fadhl radiallahu’anha menjalani hari-harinya dengan menyibukkan diri dengan amal ibadah dan mempelajari Islam. Oleh kerana ilmu yang dimiliki, beliau merupakan antara wanita yang banyak meriwayatkan hadis. Banyak sahabat menimba ilmu daripada beliau termasuk putera-puteranya. Maka tidak hairanlah hasil daripada didikan seorang ibu yang hebat dan keluasan ilmu yang dimilikinya, maka lahirlah generasi-generasi yang hebat. Bak kata pepatah Arab, “Dibelakang setiap pemuda kesateria ada seorang ibu yang bijaksana”.

Buktinya kesemua putera-putera beliau mempunyai kelebihan dan peranan penting dalam menegakkan agama Allah. Putera sulungnya ialah al-Fadhl (nama inilah yang disertakan dalam panggilannya), diikuti oleh Abdullah, Ubaidullah, Qutsam, Ma’bad, Abdulrahman dan seorang puterinya iaitu Ummu Habibah. Mereka semua merupakan perawi hadis daripada Rasulullah SAW terutama al-Fadhl, Abdullah dan Ubaidullah. Mereka bukan sahaja meriwayatkan hadis yang disampaikan daripada sahabat yang lain, malah mereka juga mendengar secara langsung daripada Rasulullah SAW. Abdullah radiallahu’anhu adalah yang paling terkenal memiliki ilmu yang luas sehingga beliau digelar Habrul Ummah (ulama terbesar umat) dan Turjumaan al-Quran (ahli tafsir al-Quran).

Seorang penyair, Ubaidullah bin Yazid al-Halali menyatakan kemuliaan Ummul Fadhl RA melalui puisi:

Tidak ada wanita terhormat yang melahirkan orang-orang besar,
Sejauh pengetahuan baik di gunung mahupun di kota,
Seperti enam orang yang terlahir daripada rahim Ummul Fadhl,
Menjadi kebanggaan setiap orang dan orang tuanya,
Ayahnya adalah pakcik Nabi pilihan yang paling utama
Rasul terakhir dan Rasul terbaik di antara para Rasul”


Dalam lipatan sejarah juga dicatatkan keberaniannya apabila beliau turut menyertai Perang Badar yang berlaku pada tahun ke 2 Hijriyah bertepatan dengan 17 Ramadhan. Begitu juga beliau turut serta dalam Bai’atul Aqabah 1 dan banyak lagi perang-perang yang diikuti oleh Ummul Fadhl radiallahu’anha.

Mengutamakan Yang Lebih Utama

Begitulah secebis kisah daripada Ummul Fadhl radiallahu’anha yang layak kita jadikan sebagai tauladan. Seorang sahabiyyah yang cekal hatinya dan tinggi ilmunya, tidak disibukkan dengan persiapan material untuk hari raya, jauh sama sekali hanyut dengan alunan lagu-lagu raya klasik evergreen dan lagu terbaru yang mewarnai wanita Islam masa kini. Oleh itu, wanita pada masa ini perlu mengamati keutamaan atau aulawiyat untuk merebut ganjaran pahala di sisi Allah SWT pada bulan yang mulia ini. Apatah lagi dalam kehidupan sekarang ini yang jauh daripada nilai-nilai Islam. Akidah sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan telah membawa natijah buruk. Ramadhan dan ibadah puasa hanya tinggal sekadar ibadah ruhiyah dan spiritual semata-mata dan tidak mampu dimanifestasikan dalam kehidupan seharian demi mencapai redha Allah. Manakala Syawal pula adalah sekadar hari perayaan untuk bersuka ria dan bertemu dengan ahli keluarga dan sahabat taulan, tidak lebih daripada itu.

Wanita kini hendaklah melepaskan diri daripada kepompong sekularisme. Sama ada wanita berkerjaya atau suri rumah, setiap wanita perlulah menyedari bahawa peranan dan tanggungjawabnya bukan hanya sebatas urusan rumahtangga dan bukan sekadar tanggungjawab dalam kerjaya. Mereka sebenarnya mempunyai peranan dan tanggungjawab lebih besar, terutamanya untuk mendidik anak-anak agar menjadi generasi yang bebas daripada belenggu sekularisme dan kembali menjadi generasi Islam sebagai umat yang terbaik yang telah dijanjikan oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya “Kuntum khoirul ummah...”.

Khatimah

Wahai para Muslimah! Apa yang perlu kalian lakukan sekarang ialah muhasabah diri, bersedia keluar daripada rutin ‘Ramadhan Melayu’ dan berazam agar Ramadhan pada tahun ini akan mampu meningkatkan lagi ketaatan dan ketakwaan diri masing-masing kepada yang Maha Pencipta Segalanya iaitu Allah SWT. Penuhi dada dengan ilmu dan mengkaji serta membaca dan menghayati kisah-kisah para sahabiyyah untuk dijadikan tauladan dalam meniti kehidupan untuk menjadi wanita yang hebat dan penyumbang kepada peradaban Islam.

Oleh itu, jadikan Ramadhan pada tahun ini sebagai momentum untuk menguatkan lagi langkah perjuangan dengan berdakwah untuk mengembalikan semula kehidupan Islam agar dapat mensejahterakan wanita. Semua ini dapat direalisasikan hanya dengan kembali menjadikan Islam sebagai ad-Deen dan satu-satunya sistem atau cara hidup (way of life).

Wallahu’alam.

Rujukan

1. 35 Sirah Sahabiyah, Mahmud al-Mishri, al-Itishom, jilid 2, hlm251, Cetakan ke 8, 2012

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment