Ramadhan Bulan Agung Lagi Berkah

Dalam kitab Sahih ibn Huzaimah, dinyatakan, bahawa Nabi SAW berkhutbah pada malam 1 Ramadhan. Dalam khutbahnya, Nabi SAW bersabda,

ياَ أَيُّهَا النَّاسُ، قَدْ أَظَلَّكُمْ شَهْرٌ عَظِيمٌ شَهْرٌ مُبَارَكٌ، فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ، فَرَضَ اللَّهُ صِيَامَهُ وَجَعَلَ قِيَامَ لَيْلِهِ تَطَوُّعًا، فَمَنْ تَطَوَّعَ فِيهِ بِخِصْلَةٍ مِنَ الْخَيْرِ كَانَ كَمَنْ أَدَّى فَرِيضَةً فِيمَا سِوَاهُ، وَمَنْ أَدَّى فِيهِ فَرِيضَةً كَانَ كَمَنْ أَدَّى سَبْعِينَ فَرِيضَةً، وَهُوَ شَهْرُ الصَّبْرِ، وَالصَّبْرُ ثَوَابُهُ الْجَنَّةُ، وَهُوَ شَهْرُ الْمُوَاسَاةِ، وَهُوَ شَهْرٌ يُزَادُ رِزْقُ الْمُؤْمِنِ فِيهِ، مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ.

Wahai manusia, kalian telah dinaungi oleh satu bulan yang agung, bulan penuh keberkahan. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Allah mewajibkan puasa di siang harinya dan menjadikan malam harinya untuk ibadah tambahan (tathawwu’). Sesiapa sahaja yang menambah amalan sunat dengan satu kebaikan, maka dia sama dengan menunaikan satu fardhu di luar bulan itu. Sesiapa sahaja yang menunaikan satu fardhu di dalamnya, maka dia sama dengan menunaikan tujuh puluh fardhu di luar bulan itu. Ia (Ramadhan) adalah bulan kesabaran. Kesabaran pahalanya syurga. Ia juga bulan penghibur. Bulan, dimana rezeki orang Mukmin ditambahkan di dalamnya. Sesiapa sahaja yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka dia akan mendapat pahala membebaskan hamba dan pengampunan daripada dosa-dosanya[HR. Ibn Huzaimah].

Mari kita renungkan sabda Nabi yang menyatakan bahawa Ramadhan adalah ‘Syahrun ‘adhim’ (bulan yang agung). Sifat ini disematkan oleh Nabi SAW kepada Ramadhan, kerana keagungan yang ada di dalamnya. Ramadhan memang benar-benar agung. Ketika Nabi SAW menyebutnya dengan ‘Syahrun ‘adhim’, selain untuk menyedarkan kita bahawa Ramadhan memang benar-benar agung dan mulia, terdapat juga perintah Nabi SAW dalam sabdanya itu; iaitu perintah untuk mengisi bulan agung yang mulia ini dengan pekerjaan dan aktiviti yang agung dan mulia. Bukan diisi dengan pekerjaan dan aktiviti yang remeh-temeh, tidak sungguh-sungguh, apalagi hina.

Oleh itu, jika kita mengisi Ramadhan dengan pekerjaan dan aktiviti yang remeh-temeh, tidak bersungguh-sungguh, apalagi hina, tentu bertentangan dengan keagungan dan kemuliaan Ramadhan itu sendiri. Tentu ini tidak sesuai dengan maksud daripada sabda Nabi SAW di atas. Namun, apakah ukuran pekerjaan dan aktiviti yang remeh-temeh, tidak bersungguh-sungguh dan hina, yang mesti kita jauhi dan tinggalkan di bulan Ramadhan itu?

Pekerjaan dan aktiviti yang remeh-temeh dan tidak bersungguh-sungguh tentu berbeza dengan pekerjaan dan aktiviti yang mulia. Pekerjaan dan aktiviti yang remeh dan tidak bersungguh-sungguh itu merupakan perbuatan yang mubah, tetapi tidak ada manfaatnya, baik bagi diri, keluarga, masyarakat apalagi umat dan agamanya. Menghabiskan waktu di depan televisyen, telefon pintar, membeli-belah dan sebagainya adalah perbuatan mubah, tetapi banyak daripadanya yang tidak membawa manfaat. Bahkan, kadang-kadang hanya menghabiskan banyak waktu. Tidak kurang juga yang melayari jaringan facebook, twitter dan lain-lain, bukan hanya kata-kata kesat, berita bohong, tetapi gambar dan tayangan yang merosak masuk juga ke ruang peribadi kita. Semuanya itu boleh merampas waktu dan kesibukan kita untuk melakukan pekerjaan dan aktiviti yang hina dan dihinakan. Na’udzubillah..

Oleh itu, Ramadhan semestinya diisi dengan pekerjaan dan aktiviti yang agung dan mulia. Semua pekerjaan dan aktiviti yang wajib dan sunat kita kerjakan. Pekerjaan dan aktiviti yang makruh dan mubah, seboleh-bolehnya kita tinggalkan. Begitu juga yang syubhat. Semuanya itu sebahagian daripada keagungan dan kemuliaan yang mesti kita wujudkan di bulan yang agung dan mulia ini. Walaupun tahap pekerjaan dan aktiviti yang mulia dan agung itu juga berbeza. Pekerjaan dan aktiviti yang wajib dan sunat untuk kemaslahatan umat dan agamanya, tentu jauh lebih agung dan mulia berbanding dengan pekerjaan dan aktiviti yang sama untuk kemaslahatan peribadi dan keluarga.

Oleh kerana itu, Nabi SAW dan para sahabatnya banyak melakukan dakwah, jihad dan perjuangan untuk Islam dan umatnya di bulan Ramadhan yang agung dan mulia ini. Tentera pertama yang dikirim oleh Nabi dilakukan di bulan Ramadhan, tahun 1 H. Perang Badar Kubra, dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat pada tarikh 17 Ramadhan 2 H. Futuhat Kota Mekah, dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabat juga di bulan Ramadhan, tepat pada tarikh 20 Ramadhan 8 H. Begitu juga, Perang Tabuk, “Jaisy ‘Usyrah” (pasukan sulit)-nya digerakkan dari Madinah ke Tabuk bulan Syaaban dan mereka menghabiskan sebahagian Ramadhan dalam perjalanan.

Dakwah, jihad dan perjuangan untuk Islam dan umatnya adalah pekerjaan dan aktiviti yang agung dan mulia. Hal ini disebabkan oleh aktiviti ini bukan hanya untuk kemaslahatan peribadi dan keluarga, tetapi untuk kemaslahatan Islam dan umatnya. Tanpa dakwah dan jihad orang kafir tidak akan mendapatkan hidayah, sehingga boleh melihat cahaya Islam dan memeluknya. Maka, pahalanya juga luar biasa. Menghadirkan hidayah kepada seseorang, kata Nabi pahalanya lebih baik daripada unta merah, bahkan lebih baik berbanding dunia dan seisinya. Begitulah keagungan dan kemuliaan aktiviti dakwah, jihad dan perjuangan untuk Islam dan umatnya.

Hari ini, ketika umat tidak berdaya dan lemah kerana tidak mempunyai negara yang membela kehormatan dan keagungan Islam dan umatnya, maka perjuangan untuk menegakkan syariah dan Khilafah juga merupakan taj al-furudh (mahkota kewajiban), kerana seluruh kewajipan dan kesunnahan tegak dan tidaknya bermuara ke sana. Maka, berjuang untuk menegakkan syariah dan Khilafah juga merupakan pekerjaan dan aktiviti yang agung dan mulia yang mesti dilipat gandakan kuantiti dan kualitinya di bulan yang agung dan mulia ini.

Semoga kita boleh mengisi Ramadhan yang agung dan mulia ini dengan pekerjaan dan aktiviti yang agung dan mulia serta meninggalkan dan menjauhi sejauh-jauhnya pekerjaan dan aktiviti yang remeh dan hina dina. Semoga, kita meraih Ramadhan tahun ini dengan nilai yang sempurna, dengan pekerjaan serta aktiviti yang agung dan mulia yang kita ukirkan di dalamnya.

Semoga dengannya kelak kita dipertemukan oleh Allah SWT di dalam jannah-Nya, “ar-Rayyan” bersama kekasih kita, Muhammad SAW dan para sahabatnya. Amin.


Oleh: KH Hafidz Abdurrahman

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment