Berdakwah Pada Bulan Ramadhan

Oleh: Dedeh Wahidah Achmad

Hakikat Dan Hukum Berdakwah

Menurut bahasa, dakwah bermakna mengajak atau menyeru. Sementara secara istilah dakwah bermakna mengajak dan menyeru manusia ke jalan Allah (da’watun naas ilallah). Daripada makna ini maka aktiviti dakwah boleh difahami sebagai usaha mengajak manusia daripada kekafiran kepada keimanan, daripada syirik kepada tauhid, daripada kesesatan kepada petunjuk, daripada kebodohan kepada ilmu, daripada kehidupan sekular kepada penerapan Islam kaffah, daripada kemaksiatan kepada ketaatan, daripada bid’ah kepada sunnah, daripada keburukan kepada kebaikan.

Tiada keraguan tentang kewajipan melakukan dakwah. Banyak nas yang menegaskannya, sama ada dalam al-Quran mahupun as-Sunnah, antaranya firman Allah SWT,

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُون

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung” [TMQ ali-Imran (3): 104].

Rasulullah SAW juga bersabda antaranya,

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً

Daripada Abdullah bin Umar RA dituturkan, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat” [HR. Bukhari].

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

“Sesiapa saja yang melihat kemungkaran hendaknya dia mengubah dengan tangannya. Jika dengan tangan tidak mampu, hendaklah dia ubah dengan lisannya; dan jika dengan lisan tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya; dan ini adalah selemah-lemah iman” [HR Muslim].


إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَا يُعَذِّبُ الْعَامَّةَ بِعَمَلِ الْخَاصَّةِ حَتَّى يَرَوْا الْمُنْكَرَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْهِمْ وَهُمْ قَادِرُونَ عَلَى أَنْ يُنْكِرُوهُ فَلَا يُنْكِرُوهُ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَذَّبَ اللَّهُ الْخَاصَّةَ وَالْعَامَّةَ

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab semua orang secara keseluruhan akibat perbuatan mungkar yang dilakukan oleh seseorang, kecuali mereka melihat kemungkaran itu di hadapannya, dan mereka mampu menolaknya, akan tetapi mereka tidak menolaknya. Apabila mereka melakukannya, nescaya Allah akan mengazab orang yang melakukan kemungkaran tadi dan semua orang secara menyeluruh” [HR Imam Ahmad].

Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas sekali bahwa dakwah merupakan salah satu kewajipan yang wajib dilakukan oleh orang beriman; satu amalan wajib yang akan mengangkatnya menjadi orang beruntung dan menyelamatkannya daripada azab Allah SWT.

Kepentingan Dakwah Di Bulan Ramadhan

Kewajipan dakwah tidak dikhususkan dilakukan pada waktu tertentu saja. Dakwah mesti dilaksanakan pada bila-bila masa dan dimana pun. Hanya saja, di bulan Ramadhan ini aktiviti dakwah perlu mendapat perhatian lebih kerana beberapa sebab, antaranya:

Pertama; Ramadhan adalah bulan diturunkannya al-Quran [TMQ al-Baqarah (2):185] sebagai petunjuk, penjelas bagi petunjuk tersebut dan pembeza antara yang hak dengan yang batil. Seluruh fungsi al-Quran yang dinyatakan dalam ayat ini tidak mungkin boleh diperolehi manusia tanpa memahami isinya. Orang yang tidak memahami al-Quran tidak akan boleh menjadikannya sebagai petunjuk sekalipun kemungkinan mereka selalu membacanya. Di sinilah letaknya kepentingan terhadap usaha memberikan pemahaman yang benar berkaitan hakikat al-Quran dan pemahaman tentang kandungannya. Dengan kata lain penting adanya aktiviti dakwah untuk menyerukan al-Quran.

Kedua; nuansa keimanan di bulan Ramadhan lebih besar berbanding pada bulan lain. Orang-orang yang berpuasa berkeinginan untuk mengisi bulan ini dengan pelbagai amal soleh seperti sedekah, membaca alQuran termasuk mengkaji ilmu-ilmu Islam dan mengajarkannya. Semangat beramal soleh ini diharapkan lebih membantu untuk semakin tersebarnya syiar Islam. Semangat yang menggelora ini selayaknya disambut dengan penyampaian tsaqofah dan ilmu-ilmu Islam yang akan mengarahkan semangat tersebut ke arah pengamalan Islam yang sempurna bukan hanya Islam ritual atau Islam adat semata-mata. Dan seharusnya selepas Ramadhan, amalan mengkaji dan menyampaikan risalah Islam ini akan terus melekat.

Ketiga; fakta semarak Ramadhan sekarang hanya dipenuhi aktiviti adat istiadat belaka dan dominan unsur lawak bahkan menampakkan ketidak seriusan, hanya sekadar menunggu waktu berbuka puasa atau membawa kepada waktu sahur. Hampir semua stesen TV menayangkan rancangan berkisar Ramadhan seperti sahur beramai-ramai, keriuhan bersahur, sahur di jalanan, berbuka bersama-sama artis, dan lain-lain. Kemudian, pada penghujung bulan Ramadhan hanya dihabiskan untuk memborong barang kelengkapan Hari Raya seperti biskut raya dan pakaian. Suasana memburu malam lailatul qadar pun seolah hilang lenyap disebabkan budaya konsumeristik (budaya mengukur kebahagiaan dengan barang-barangan mewah dan bergaya). Semua program dikaitkan dengan Ramadhan namun kosong daripada nilai-nilai yang semestinya diraih di bulan Ramadhan iaitu sikap taat pada syariat dan usaha gigih untuk menjauhi maksiat, sebagaimana hikmah di sebalik kewajipan puasa Ramadhan iaitu untuk menggapai nilai ketakwaan. Jika kita berdiam saja terhadap realiti ini, maka umat akan semakin jauh daripada nuansa keimanan, yang sepatutnya semakin dipupuk di bulan yang penuh berkah ini. Akhirnya kita akan kehilangan peluang meraih pahala sebesar-besarnya dan Ramadhan bagi kita hanya menahan rasa haus dan lapar saja. Oleh itu, mesti segera melakukan dakwah untuk meluruskan pemahaman umat tentang hakikat amal pada bulan Ramadhan. Umat mesti segera diselamatkan daripada semua hal yang menjerumuskannya pada perbuatan sia-sia dan kemaksiatan. Sebagaimana firman Allah SWT,

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ (2) وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

“Beruntunglah orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Mereka berpaling daripada perkataan sia-sia” [TMQ al-Mukminun (23): 1-3].

Keempat; Rasulullah SAW dan para sahabatnya memberikan contoh kepada kita untuk mengisi Ramadhan dengan aktiviti perjuangan. Lapar dan haus tidak menghalang baginda Nabi untuk terus berdakwah menyampaikan risalah Islam dan meninggikan kalimat Allah SWT. Sejarah mencatatkan bahawa salah satu kegemilangan Islam dan kaum Muslimin telah dicapai pada bulan Ramadhan. Kemenangan dalam perang Badar dan Pembukaan Kota Mekah merupakan bukti yang jelas bahawa Ramadhan adalah bulan dakwah dan perjuangan.

Kelima; dalam surah al-Baqarah ayat 186 Allah SWT menyatakan bahawa Dia itu dekat dan akan mengabulkan permohonan orang-orang yang berdoa. Namun Rasulullah SAW bersumpah bahawa Allah tidak akan menjawab doa ketika dakwah (amar ma’ruf nahi mungkar) tidak ditegakkan. Kerananya dakwah itu penting agar semua doa dan permohonan kita dikabulkan Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW,

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ عَنْ عَمْرِو بْنِ أَبِي عَمْرٍو عَنْ عَبْدِ اللَّهِ الْأَنْصَارِيِّ عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ حُجْرٍ أَخْبَرَنَا إِسْمَعِيلُ بْنُ جَعْفَرٍ عَنْ عَمْرِو بْنِ أَبِي عَمْرٍو بِهَذَا الْإِسْنَادِ نَحْوَهُ

“Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman tanganNya, sesungguh kalian melakukan amar makruf nahi ‘anil mungkar, atau Allah pasti akan menimpakan siksa; kemudian kalian berdoa memohon kepada Allah dan doa itu tidak dikabulkan untuk kalian” [HR Tirmidzi, Abu ‘Isa berkata, hadis ini hasan].

Penutup

Ramadhan adalah bulan dakwah dan perjuangan. Ia merupakan waktu yang tepat untuk mengajak umat taat kepada syariat. Semoga tauladan Nabi SAW dan sahabat memberi inspirasi kepada kita untuk semakin semangat meraih keberkahan Ramadhan melalui seruan risalah Islam, aamiin.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment