Gema Kemenangan dengan Penegakan Khilafah

Oleh: Ustazah Amani Mohamed (Ketua MHTM Cawangan Muar)

Gema takbir Aidilfitri mula kedengaran sejak malam 1 Syawal lagi. Ada yang hiba tatkla mendengarnya kerana teringatkan orang tersayang. Ramai juga yang mengalunkannya sebagai tanda syukur kerana berjaya mengharungi ibadah dan dugaan lapar serta dahaga sepanjang sebulan Ramadhan. Inilah saatnya meraikan kemenangan dengan riang gembira bersama keluarga dan sanak saudara, berbaju baru sedondon, menikmati pelbagai juadah, kunjung-mengunjung sanak saudara serta rakan taulan dan sebagainya.

Namun, suasana yang saban tahun kita raikan ini amat berbeza dengan sejarah pertama kali kalimah takbir kemenangan itu diucapkan baginda Rasulullah SAW. Tahukah kalian bahawa takbir ini pertama kali dikumandangkan saat kemenangan Perang Badar? Lebih tepat lagi ketika kaum Muslim sedang menunaikan shaum Ramadhan yang pertama, pada pagi Jumaat 17 Ramadhan, 19 bulan setelah hijrah Rasulullah SAW ke Madinah. Lantunan takbir ini juga turut dilaungkan ketika kaum Muslim meraih kemenangan saat melakukan pembebasan kota Mekah, ketika Salahuddin al-Ayyubi meraih kemenangan ke atas pasukan perang Salib dan saat Sepanyol dapat dibebaskan di bawah kepimpinan Thariq bin Ziyad. Semuanya itu terjadi pada bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan. Takbir dilaungkan ketika mereka berhasil meraih kemenangan perjuangan menegakkan agama Allah ke atas puak kuffar. Dengan kemenangan itu, hukum-hukum Allah didaulatkan di muka bumi, kekufuran dikalahkan dan ditundukkan dalam segala bentuk.

Erti Kemenangan

Syawal merupakan momentum untuk kita meraih ketakwaan sebagai buah daripada proses penempaan keimanan kita selama berpuasa satu bulan penuh pada bulan Ramadhan. Jika ‘buah’ daripada puasa ialah takwa, maka sudah tentu idealnya kaum Muslim itu menjadi orang-orang yang taat kepada Allah SWT tidak hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Ketakwaan sepatutnya terpancar di luar bulan Ramadhan sepanjang tahun dalam seluruh aspek kehidupan. Kunci untuk mewujudkan ketakwaan yang diperintahkan oleh Allah SWT itu, dalam individu, keluarga mahupun dalam kehidupan masyarakat adalah melalui penerapan syariah Islamiyah secara menyeluruh yang mengatur segala bentuk interaksi yang ada di tengah-tengah masyarakat. Hal ini kerana dengan penerapan syariah, pintu-pintu ketakwaan terbuka luas, sementara pintu-pintu keharaman ditutup.

Hal itu sangat bertentangan dengan keadaan kita pada ketika ini yang hidup dalam kehidupan sekularistik, kapitalistik dan hedonistik yang mana pintu-pintu ketakwaan dipersempit, sementara pintu-pintu kemaksiatan dibuka seluas-luasnya. Di sisi lain, Ramadhan 1437H ini terus mencatatkan peristiwa pembunuhan rakyat Syria. Bayangkan, dalam minggu pertama Ramadhan, lebih 220 nyawa dibunuh. Pihak Israel juga telah menambah derita saudara kita di Palestin dengan menghentikan bekalan air bersih. Saudara kita di Myanmar dipaksa dengan kejam untuk makan dan minum oleh tentera beragama Buddha dan nasib yang sama juga dialami oleh kaum Muslim di China yang dihalang berpuasa.

Ramadhan seolah-olah belum membawa perubahan apa pun. Umat Islam keseluruhannya masih dalam keadaan terpuruk dan terhina. Musuh-musuh Allah iaitu kaum kuffar, bebas membunuh dan menjajah negeri kaum Muslim. Para penguasa di negeri-negeri umat Islam juga masih tidak ambil peduli. Keperluan asas rakyat tidak dijamin. Penyalahgunaan kuasa, jenayah dan maksiat makin bermaharajalela. Lihatlah sahaja pada satu tragedi apabila kaki seorang nenek di Kelantan telah ditetak hingga putus semata-mata inginkan wang, tetapi hukuman ke atas pesalah hanyalah 11 tahun penjara sedangkan nenek yang tidak berdaya itu kehilangan upaya secara kekal. Lalu, apakah layak dikatakan kita sudah menang? Adakah kemenangan yang kita raikan dan luahkan melalui alunan takbir Aidilfitri kali ini semata-mata kerana kita berjaya melengkapkan ibadah shaum?

Inilah natijahnya apabila kemenangan masih belum memihak kepada Islam dan seluruh peraturan daripadaNya secara kaffah. Kemenangan demi kemenangan yang berhasil diraih Rasulullah SAW dan para Sahabatnya, serta para Khalifah sesudahnya adalah kerana mereka menerapkan Islam secara kaffah dalam kehidupan mereka. Maka, dapatlah mereka mencapai darjat takwa yang tertinggi lalu menjadi generasi Muslim terdahulu yang mampu membangun kekuatan super power, Negara Khilafah, yang disegani kawan dan ditakuti lawan.

Mengapa Umat Islam Masih Belum Menang?

Allah SWT telah memperingatkan kita dalam TMQ Thaha [20]: 124, bahawa siapa sahaja yang berpaling daripada peringatanNya akan mendapat penghidupan yang sempit dan dibangkitkan dalam keadaan buta. Imam Ibnu Katsir menjelaskan, “Siapa saja yang berpaling daripada peringatanKu”, iaitu menyalahi perintah (ketentuan)Ku dan apa yang telah Aku turunkan kepada RasulKu; dia berpaling dan melupakannya serta mengambil yang lain sebagai petunjuknya, “maka sesungguhnya bagi dia kehidupan yang sempit”, iaitu ketika di dunia…”

Lihatlah bagaimana gembiranya umat Islam menyambut seruan Allah “kutiba ’alaykum ash-shiyam”. Akan tetapi, dalam urusan pemerintahan, politik, ekonomi, sosial dan perundangan, mereka tidak menjadikan aturan Islam sebagai pegangan. Mereka mencampakkan hukum-hukum Allah SWT. Mereka nampaknya enggan menyambut seruan Allah “kutiba ’alaykum al-qital” tatkala umat Islam di Syria dan Palestin meminta pembelaan. Mereka juga tutup mata dengan perintah Allah "kutiba ’alaykum al-qishash" dalam urusan peradilan. Padahal ketika umat Islam mencampakkan aturan-aturan Allah, seketika itulah umat Islam menjatuhkan dirinya ke dalam lubang kenestapaan, kemunduran dan keterpurukan.

Dengan demikian, penerapan syariah pada dasarnya akan menyelamatkan masyarakat daripada kehinaan di dunia, juga akan menyelamatkan mereka daripada penghidupan yang sempit. Penerapan syariah secara menyeluruh juga akan menjadi sumber pelbagai kebaikan yang akan dirasakan oleh semua orang, Muslim mahupun non-Muslim. Sebab, penerapan syariah sebagai hukum untuk mengatur semua urusan masyarakat itu merupakan bentuk ketakwaan penduduk negeri yang dengan itulah Allah SWT akan membukakan berkahNya dari langit dan bumi.

Khatimah

Secara global, kaum Muslim masih hidup dalam kemiskinan meskipun negeri mereka kaya-raya. Tangis dan raung ketakutan masih terdengar di Syria, Palestin, Afganistan, Myanmar dan tempat-tempat lain. Diamnya kita terhadap kezaliman penguasa dan diamnya kita terhadap sistem kufur yang diterapkan ke atas diri kita akan membuat keadaan umat Islam menjadi lebih buruk lagi. Berdiam diri terhadap kemungkaran ini akan menyebabkan kita mendapatkan azab Allah dan murkaNya di akhirat kelak. Na’uzubillahi min dzalik. Pastinya, untuk mengakhiri semua ini tidak cukup hanya dengan solat dan puasa. Umat Islam memerlukan kekuatan politik berupa negara adidaya. Negara inilah yang akan mampu melindungi, membela dan mengurus umat Islam. Negara ini telah diwajibkan oleh Allah SWT dan RasulNya untuk ditegakkan. Itulah Khilafah. Wallahi, Negara Khilafah —yang menerapkan syariah Islam secara menyeluruh serta menyatukan dan melindungi umat— inilah yang menjadi dambaan Umat Islam saat ini. Dengan tertegaknya Khilafah, maka takbir akan kembali dilaungkan dengan makna kemenangan sebenar.

Allahhu musta'an..

Rujukan
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment