Ma’al Hadis Asy-Syarif: Puasa Enam Hari di Bulan Syawal

Imam Abu Dawud rahimahullah (semoga Allah sentiasa merahmatinya) meriwayatkan dalam Sunan-nya daripada Abi Ayyub sahabat Nabi Muhammad SAW yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ بِسِتٍّ مِنْ شَوَّالٍ فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal, maka dia seperti berpuasa satu tahun.”


Dalam ‘Aunul Ma’būd terdapat penjelasan (syarah) berkaitan hadis ini, iaitu: bahawa sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal.” Hadis ini dan hadis-hadis lainnya yang sejenis adalah dalil disunnahkannya berpuasa enam hari di bulan Syawal. Ini adalah pendapat Imam Syafie, Ahmad, Abu Dawud dan lainnya.

Imam Nawawi dalam Syarah Muslim berkata bahawa para sahabat kami dalam mazhab Syafie mengatakan, “Dan yang lebih utama bahawa puasa enam hari itu dilakukan langsung setelah hari raya Aidilfitri.” Imam Nawawi berkata, “Jika dia melakukan secara terpisah, atau menundanya dari awal Syawal ke akhir Syawal, maka dia masih mendapatkan fadhīlah (keutamaan) sunnahnya mengikuti (al-mutāba’ah), sebab perkara itu termasuk dalam hadis “kemudian diikuti dengan (puasa) enam hari di bulan Syawal.”

Imam Nawawi juga berkata, "Para ulama mengatakan sesungguhnya puasa enam hari bulan Syawal itu sama dengan puasa satu tahun, kerana satu kebaikan sama dengan sepuluh kebaikan yang sama. Dimana puasa Ramadhan sama dengan sepuluh bulan, sedangkan puasa enam hari bulan Syawal sama dengan dua bulan". Hadis dalam hal ini telah diriwayatkan secara marfū’ (sampai ke Nabi) dalam kitab Imam an-Nasa’i.

Al-Mundziri berkata: Imam Muslim, at-Tirmidzi, an Nasa’i dan Ibnu Majah telah meriwayatkannya.

Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan melalui sabda Rasulullah SAW bahawa mengikuti puasa Ramadhan dengan puasa enam hari di bulan Syawal akan mendapatkan pahala yang besar, iaitu sama dengan puasa satu tahun. Adakah anda termasuk orang yang mengikuti sunnah ini, dengan melakukan puasa enam hari di bulan Syawal, sehingga layak memperoleh pahala yang besar ini?

Kami memohon kepada Allah, semoga Allah menerima puasa anda dan amal-amal kebaikan lainnya.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment