Zakat Wajib Dibayar Kepada Asnafnya

Ramadhan tahun ini menyaksikan pergeseran pendapat yang hebat di kalangan sebahagian umat Islam dan para agamawan kerajaan berhubung isu pembayaran zakat. Berita melaporkan bahawa terdapat satu usaha di media sosial berupa kempen agar umat Islam membayar zakat secara terus kepada asnaf dan tidak melalui Amil yang dilantik oleh kerajaan. Sebab yang diberikan ialah kerana institusi yang sepatutnya mengutip dan mengagihkan zakat tidak lagi dapat dipercayai. Maka sewajarnya ‘pihak-pihak yang sudah tidak dipercayai’ itu kepanasan kerana mereka biasanya pantang ditegur, seolah-olah apa yang mereka lakukan semuanya betul. Mengulas isu ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata bahawa perbuatan mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Amil yang ditauliahkan, adalah sah tetapi berdosa. Sementara itu, Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIAMP) sedia mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab yang menggerakkan kempen mendesak masyarakat membayar terus zakat kepada asnaf dan tidak melalui badan itu. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, mengikut hukum syarak, membayar terus zakat kepada asnaf adalah tidak sah. Mengulas isu yang sama, Mufti Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamed berkata walaupun memberikan zakat kepada penerima tanpa melalui Amil hukumnya harus, Allah memerintahkan supaya zakat diamanahkan kepada pemerintah.

Asnaf Zakat

Zakat adalah fardhu ‘ain ke atas setiap Muslim, baik lelaki, perempuan, anak-anak mahupun orang gila. Hal ini berdasarkan keumuman hadis-hadis sahih yang mewajibkan zakat secara mutlak. Zakat diwajibkan pada harta-harta yang telah disebutkan dengan jelas di dalam nas dan tidak merangkumi harta selain itu. Zakat diwajibkan ke atas binatang ternak (unta, sapi dan kambing), tanaman dan buah-buahan (gandum, barli, kurma dan zabib), matawang (emas dan perak, termasuk matawang yang menggantikannya) dan harta/barang dagangan. Selain itu zakat juga diwajibkan ke atas wang simpanan/hutang, perhiasan (jika disimpan atau diperdagangkan) dan zakat fitrah. Hukum-hakam yang terperinci tentang zakat tertuang dalam kitab-kitab fiqh sejak dulu hingga kini.

Dari segi orang yang berhak menerima zakat (mustahiq), Allah SWT telah menjelaskan bahawa hanya lapan golongan sahaja yang berhak/layak menerima zakat. FirmanNya, “Sesungguhnya zakat itu hanya untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, para Amilin, orang-orang yang dijinakkan hatinya (mu’allaf qulubuhum), hamba, orang-orang berhutang, jihad fi sabilillah, dan ibnu sabil” [TMQ at-Taubah (9):60]. Ayat yang mulia ini membatasi dan mengkhususkan pembayaran zakat hanya kepada lapan asnaf (golongan) sahaja. Dengan kata lain, zakat tidak boleh diberikan kepada selain lapan asnaf ini. Ini kerana ayat tersebut menggunakan lafaz “innama” yang merupakan bentuk adwatul hasr wal qashr (yang membatasi). Setelah itu ada huruf “lam al-milki”, yang menunjukkan pembatasan mereka yang berhak menerima zakat beserta kepemilikannya hanya kepada lapan golongan sahaja. Lapan asnaf tersebut ialah:

(1) Orang-orang fakir – Iaitu orang-orang yang tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk memenuhi keperluan asasnya berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal. Siapa sahaja yang keperluan asasnya tidak mencukupi, maka dia dianggap fakir yang membolehkannya diberi zakat dan menerima zakat, sebanyak jumlah yang membebaskannya daripada keperluan dan kefakirannya. Allah SWT telah mengharamkan orang-orang kaya untuk menerima zakat. Dari Abdullah bin Amru, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak dihalalkan zakat untuk orang kaya dan dzu al-mirrah.” Dzu al-mirrah adalah orang yang mempunyai kekuatan dan kemampuan. Jika seseorang itu adalah orang yang tidak mempunyai kekuatan dan kemampuan, maka ia dianggap fakir.

Maksud “orang kaya” ialah orang yang tidak bergantung kepada orang lain dan ia memiliki lebihan (dari keperluan asasnya). Hadis-hadis telah menerangkan siapakah yang dimaksudkan dengan orang kaya. Dari Abdullah bin Mas’ud, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tiada seorang pun yang meminta-minta sesuatu padahal ia kaya, kecuali pada hari kiamat ia datang dalam keadaan mukanya luka, tercalar dan terkelupas’. Rasulullah kemudian ditanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana seseorang dapat dikatakan sebagai kaya?’ Rasulullah menjawab, ‘Ia mempunyai 50 dirham (perak) atau emas yang setara dengannya” [HR al-Khamsah]. Barangsiapa yang mempunyai 50 dirham, iaitu seberat 148.75 gram perak atau emas dalam hitungan yang setara, dari lebihan perbelanjaan untuk makanan, pakaian dan tempat tinggalnya serta nafkah keluarganya dan pembantunya, maka dia dianggap kaya dan tidak layak menerima zakat.

(2) Orang-orang miskin – Iaitu orang-orang yang tidak mempunyai apa-apa, tidak memiliki rumah, dan mereka tidak meminta-minta kepada manusia. Rasulullah SAW bersabda, “Orang miskin bukanlah orang yang meminta-minta kepada orang lain, lalu puas dengan sesuap atau dua suap makan, sebutir atau dua butir kurma, akan tetapi orang miskin ialah orang yang tidak menemui apa-apa untuk mencukupkannya, dan manusia terlepas pandang terhadapnya untuk diberikan sedekah dan dia juga tidak meminta-minta kepada manusia” [Muttafaq ‘Alaih]. Orang miskin itu lebih rendah berbanding orang fakir, kerana firman Allah SWT, “Atau orang miskin yang berdebu (sangat fakir)” [TMQ al-Balad (90):16] iaitu diseliputi debu kerana tidak mempunyai pakaian dan sangat lapar. Orang miskin berhak menerima zakat dan ia boleh mengambil bahagiannya sebanyak jumlah yang dapat menghilangkan kemiskinannya dan mencukupi keperluan asasnya.

(3) Al-Amilun alaiha – Disebut juga al-su’ah atau al-musoddiqun, iaitu orang-orang yang dilantik untuk mengumpulkan zakat daripada orang-orang yang diwajibkan menunaikan zakat, atau mengagihkannya kepada orang-orang yang berhak menerimanya (mustahiq). Mereka berhak menerima zakat walaupun mereka itu kaya, sebagai kompensasi tugas mereka mengumpulkan zakat dan membahagikannya. Diriwayatkan oleh Abu Ubaid, dari ‘Atha bin Yasar, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Zakat tidak halal bagi orang kaya kecuali untuk lima golongan, (iaitu) ‘amil zakat…” Dari Busr bin Sa’id, ia berkata, sesungguhnya Ibnu al-Sa’di al-Maliki berkata, “Umar melantikku untuk memungut zakat. Setelah selesai melakukan tugas, aku serahkan zakat itu kepadanya. Lalu Umar memberikanku wang. Aku berkata, ‘Sesungguhnya aku melakukan hal ini kerana Allah.’ Umar berkata, ‘Ambillah apa yang aku berikan, kerana aku juga pernah dilantik oleh Rasulullah SAW dan aku ucapkan seperti yang engkau ucapkan tadi.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepadaku, ‘Jika aku memberikan sesuatu bukan kerana engkau minta, maka makanlah dan belanjakanlah” [HR. Muttafaq ‘Alaih].

(4) Al-Muallaf qulubuhum – Mereka terdiri daripada para pemimpin, ketua, orang-orang berpengaruh atau orang yang terkenal dan disegani kerana keberaniannya, yang keimanan mereka masih belum cukup kuat, yang Khalifah atau walinya memandang layak untuk memberikan zakat kepada mereka dalam rangka menjinakkan hati-hati mereka, memperkuat keimanan mereka, memanfaatkan mereka untuk kepentingan Islam dan kaum Muslimin, atau untuk mempengaruhi pengikut (kelompok) mereka. Rasulullah SAW pernah memberikan zakat kepada Abu Sufian, Uyainah bin Hisn, al-Aqra’ bin Habis, Abbas bin Mirdas dan lain-lain. Amru bin Taghlib berkata, “Bahawa sebahagian wang atau tawanan perang sampai kepada Rasulullah, lalu baginda membahagi-bahagikannya. Baginda memberikannya kepada sejumlah orang dan tidak memberikannya kepada yang lain. Kemudian baginda mendapat tahu yang mereka yang tidak menerimanya mengadu mengenai hal itu. Rasulullah kemudian memuji Allah dan mengagungkan-Nya, lalu bersabda, ‘Amma ba’du. Demi Allah! Aku berikan ini kepada sejumlah orang dan aku membiarkan yang lain (tidak memberinya). Orang-orang yang aku biarkan lebih aku cintai berbanding orang-orang yang aku beri. Aku memberikannya kepada sekelompok kaum kerana aku melihat di dalam hati mereka masih ada keluh-kesah, gelisah dan kekhuatiran, dan aku biarkan sebahagian orang yang Allah telah letakkan dalam hati mereka kemewahan dan kekayaan”.

Orang-orang yang dijinakkan hati mereka (muallaf qulubuhum) ini tidak akan diberikan bahagian dari zakat kecuali mereka itu Muslim. Jika mereka kafir, maka mereka tidak akan diberi zakat. Hal ini kerana zakat tidak diberikan kepada orang kafir, berdasarkan sabda Rasulullah SAW kepada Mu’adz ketika diutus ke Yaman, “Beritahulah kepada mereka (kaum Muslimin), bahawa Allah mewajibkan mereka membayar zakat, yang diambil dari orang-orang kaya mereka dan diberikan kepada orang-orang fakir mereka”. Muallaf qulubuhum juga tidak diberi bahagian dari zakat kecuali adanya ‘illat (punca disyariatkan hukum) yang menyebabkan mereka diberi zakat. Jika ‘illat-nya tidak ada, maka mereka tidak diberi zakat. Ini seperti yang dilakukan oleh Abu Bakar dan Umar yang telah menghentikan pemberian zakat kepada golongan ini setelah Islam kuat dan tersebar luas.

(5) Al-Riqab (hamba) – Mereka ialah hamba yang diberikan zakat jika mereka mempunyai akad membebaskan diri (mukaatibin), atau mereka dibeli dengan menggunakan wang zakat untuk dibebaskan, jika mereka bukan mukaatibin. Bagaimanapun hamba sudah tidak wujud lagi pada hari ini.

(6) Al-Gharimun – Iaitu mereka yang berhutang dan memikul beban hutang dan tidak mampu melunasinya. Jadi mereka diberi zakat dalam rangka menyelesaikan persengketaan (yang timbul dari hutang), untuk membayar diyat atau untuk memenuhi kepentingan khusus mereka. Bagi orang-orang yang memikul hutang dalam rangka menyelesaikan persengketaan atau untuk membayar diyat, maka mereka diberi bahagian dari zakat, baik mereka itu miskin mahupun kaya. Jumlah zakat yang diberikan kepada mereka adalah setakat jumlah hutang yang dipikulnya dan tidak boleh lebih daripada itu. Dari Anas bahawa Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal kecuali bagi tiga golongan, (iaitu) orang yang sangat fakir, orang yang mempunyai banyak hutang dan orang yang sangat memerlukan (pembayaran) darah (diyat).

Diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud dan Nasa’i, dari Qabisah bin Mukhariq al-Hilali berkata, “Aku menanggung beban yang sangat berat, lalu aku datang kepada Rasulullah SAW untuk meminta kepada baginda. Baginda menjawab, ‘Tunggu di sini sehingga ada sedekah (zakat) datang kepadaku, maka akan aku berikan kepadamu. Kemudian beliau bersabda lagi, ‘Wahai Qabisah, meminta-minta itu tidak halal kecuali bagi salah satu dari tiga golongan, (pertama) seorang yang menanggung beban yang sangat berat, maka halal baginya meminta-minta sehingga dia mendapatkannya dan dia tidak mengambil lebih dari itu, (kedua) seorang yang ditimpa musibah harta, maka halal baginya meminta-minta sehingga dia mendapatkan kecukupannya dan (ketiga) seorang yang ditimpa kemiskinan sehingga ada tiga orang yang baik-baik dari kaumnya mengatakan, ‘Sungguh si fulan itu ditimpa kemiskinan’, maka halal baginya meminta-minta sehingga dia mendapatkan kecukupannya. Siapa yang meminta-minta selain daripada tiga golongan ini wahai Qabisah, bererti dia memakan barang haram.”

(7) Fi sabilillah – Iaitu jihad dan apa sahaja yang diperlukan untuk jihad serta apa sahaja yang mesti ada untuk jihad, seperti pembentukan pasukan, penubuhan kilang-kilang dan pembuatan segala jenis senjata. Di mana sahaja terdapat lafaz fi sabilillah di dalam al-Qur’an, maka tidak ada makna lain kecuali jihad. Zakat dibelanjakan untuk jihad dan segala hal yang terkait dengan jihad dan ia tidak dibatasi dengan jumlah yang tertentu. Jadi, boleh sahaja seluruh harta zakat atau sebahagiannya dikeluarkan untuk jihad, sesuai dengan pendapat dan pertimbangan Khalifah terhadap mustahiq zakat lainnya. Dari Abu Sa’id, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Zakat tidak dihalalkan untuk orang kaya, kecuali orang kaya yang (berjihad) fi sabilillah…” Dalam riwayat lain disebutkan, “…atau bagi perajurit yang (berjihad) fi sabilillah.”

(8) Ibnu al-Sabil – Iaitu orang yang kehabisan bekal (wang) dalam perjalanan untuk kembali ke tempat asalnya. Maka kepadanya diberikan zakat dalam jumlah yang dapat menghantarkannya sampai ke tempat asalnya, tidak kiralah jumlah tersebut banyak atau sedikit. Diberikan bahagian zakat kepadanya sewajar dengan keperluannya bagi membolehkannya sampai ke tempat asalnya, meskipun di tempat asalnya itu dia tergolong orang yang kaya. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda, “Zakat tidak dihalalkan untuk orang kaya, kecuali orang kaya yang (berjihad) fi sabilillah atau ibnu sabil…..” [HR Abu Daud].

Selain daripada lapan asnaf yang telah disebutkan dalam ayat di atas, zakat sama sekali tidak boleh diberikan kepada sesiapa pun. Zakat tidak boleh dikeluarkan untuk mendirikan atau membaik pulih masjid-masjid, sekolah-sekolah, hospital-hospital, kemudahan-kemudahan awam, untuk kegunaan negara mahupun kegunaan umat. Ini kerana, zakat itu merupakan milik khusus untuk lapan asnaf sahaja dan sama sekali tidak boleh diberi atau dikongsi dengan siapa pun yang tidak termasuk dalam asnaf yang Allah dan RasulNya telah tetapkan. Adalah merupakan suatu kesalahan dan dosa untuk membelanjakan wang zakat kepada “asnaf” yang ditafsirkan menurut hawa sendiri seperti contohnya menafsirkan “asnaf fi sabilillah” sebagai termasuk biasiswa pelajar, membina sekolah agama, karpet masjid, bantuan banjir, kebakaran dan lain-lain. Sama seperti mengeluarkan zakat untuk membantu modal perniagaan, pengurusan jenazah, untuk berkhatan, perkahwinan, sagu hati raya, sebagai derma kepada badan-badan Islam dan banyak lagi, yang kesemuanya itu sesungguhnya tidak termasuk pun ke dalam asnaf, apatah lagi jika duit zakat digunakan untuk membayar elaun, gaji, untuk melabur atau melancong dan sebagainya!

Adapun berhubung persoalan, bolehkah membayar zakat kepada selain Amil yang dilantik oleh pemerintah, sesungguhnya terdapat banyak riwayat dari para sahabat dan tabi’in yang membolehkan seseorang untuk membagikan zakatnya sendiri kepada mustahiq (orang yang berhak) untuk zakat al-nuqud (matawang). Telah diriwayatkan oleh Abu Ubaid, bahawa Kaisan datang menghadap Umar dengan membawa 200 dirham sebagai zakatnya. Kaisan berkata kepada Umar, “Wahai Amirul Mukminin, inilah harta (zakat)ku’. Kemudian Umar menjawab: ‘Pergilah dan bahagi-bagikan sendiri hartamu itu”. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas, ia berkata, “Tidak mengapa untuk engkau berikan zakat pada orang yang berhak dan engkau tidak memberinya kepada saudara-mara mu”. Begitu pula yang diriwayatkan oleh Ibrahim dan Hasan, mereka berdua berkata, “Berikanlah zakat pada yang berhak, dan sembunyikan”.

Hal ini berlaku pada zakat matawang. Adapun pada zakat binatang ternak, tanaman dan buah-buahan hendaklah diserahkan kepada ketua Negara (Khalifah) atau orang-orang yang dilantiknya. Abu Bakar telah memerangi orang-orang yang menolak membayar zakat, iaitu ketika mereka menolak menyerahkannya kepada para wali dan orang-orang yang beliau lantik. Beliau berkata, “Demi Allah, jika mereka menolak menyerahkan anak kambing betina (untuk membayar zakat binatang ternak) yang dahulu mereka serahkan kepada Rasulullah SAW, maka akan aku perangi mereka”. Kesimpulannya, dibolehkan secara syarie untuk membayar zakat (matawang) secara sendiri kepada asnaf atau mustahiq apatah lagi dalam keadaan seseorang muzakki (pembayar zakat) itu tidak yakin yang zakatnya akan sampai kepada mustahiq yang benar menurut syarak, jika dia menyerahkan zakatnya kepada orang lain dipercayai tidak amanah untuk membayarnya. Wallahu a’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment