Bayi Menjadi Mangsa Keganasan Domestik kerana Rendahnya Nilai Kemanusiaan

Di Amerika Syarikat seorang lelaki berusia 21 tahun dari Minneapolis dituduh di mahkamah selepas dia mengaku menumbuk bayi perempuannya sehingga 22 kali kerana membuat bunyi bising. Lelaki terbabit, Cory Morris ditahan pada petang Sabtu lalu selepas dia menghubungi talian kecemasan 911 dan mengakui telah memukul bayi malang tersebut, Emersyn Morris yang berusia empat bulan. Sejurus pasukan polis dan paramedik tiba di tempat kejadian, mereka mendapati tangan dan baju bapa muda itu dipenuhi kesan darah dan menemui bayi tersebut terbaring di atas meja.

Pasukan paramedik juga dilaporkan bergegas memberikan rawatan kaedah pernafasan (CPR) kepada bayi tersebut dan kemudiannya mengejarkannya ke Pusat Perubatan Hennepin Country. Namun begitu, selepas tiba di sana, Emersyn dilaporkan telah meninggal dunia berpunca daripada kesan pukulan dengan objek tumpul. Kakitangan hospital turut mendapati muka dan dada bayi malang itu mengalami kesan lebam dan bengkak yang teruk.

Difahamkan, Cory memaklumkan kepada polis bahawa dia telah menjaga anaknya itu sementara menunggu teman wanitanya yang juga merupakan ibu kepada Emersyn pulang dari bekerja. Menurut laporan Daily Mail, Morris memaklumkan dia sedang menonton televisyen ketika Emersyn membuat bunyi lantas dia mengambil bayi berkenaan daripada buaian dan meletakkannya di atas meja.


Namun begitu, Emersyn masih membuat bunyi dan menyebabkan Morris berang lantas menumbuk muka bayi terbabit sebanyak 15 kali manakala tujuh kali di bahagian dada dengan alasan untuk menenangkannya dari membuat bising. Selain itu, teman wanita Morris, Jennifer Anderson memaklumkan kepada polis bahawa dia cuba menghubungi teman lelakinya itu pada hari kejadian namun tidak mendapat respon. Ujar Anderson, selepas menemuinya di rumah, Morris memaklumkan kepadanya bahawa dia akan ke penjara kerana telah melakukan sesuatu kepada bayi mereka.

Cory Morris kini ditahan di Penjara Hennepin County dengan ikat jamin berjumlah AS$22 juta(RM88.48 juta) dan sekiranya disabit kesalahan membunuh tahap kedua, Morris bakal berdepan hukuman 40 tahun penjara. Ketika di mahkamah pada Rabu lalu, seorang hakim telah mengarahkan supaya penilaian tahap kesihatan mental Morris dijalankan dan dia dijadualkan kembali semula ke mahkamah pada 20 September ini. (Sinar Harian, 20 Ogos 2016)

Komentar:

Seorang bayi pastinya memerlukan penjagaan dan perlindungan yang sepenuhnya daripada ibu bapanya. Namun demikian, mengapa wujud di zaman ini bapa yang sanggup memukul anaknya sehingga menemui maut? Ini tidak lain tidak bukan kerana kita hidup dalam sistem sekular-demokrasi yang berlawanan dengan fitrah manusia. Sistem ini melahirkan insan-insan yang tidak berperikemanusiaan dan sanggup melakukan apa saja atas dasar kebebasan berperilaku tanpa memikirkan kesan dan akibat perbuatan mereka.

Ini amat berbeza dengan sistem Islam yang melarang kita melakukan sesuka hati kerana kita terikat dengan hukum syarak daripada Allah. Sedangkan binatang pun diharamkan untuk dibunuh atau dicederakan tanpa sebab syarie, apatah lagi darah daging sendiri. Sepatutnya bapa menjadi pelindung dan menjauhkan bahaya daripada anaknya. Rasulullah SAW bersabda,

“Seorang lelaki/suami adalah pemimpin bagi ahli bait (keluarganya) dan dia akan ditanya tentang pimpinannya” [HR Al-Bukhari].

Jika mengikut undang-undang Islam, lelaki ini akan dijatuhkan hukuman takzir, bunuh dibalas bunuh walaupun dia bukan seorang muslim. Allah SWT berfirman,

“Maka putuskanlah perkara atas mereka menurut apa yang Allah turunkan (hukum Islam), dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran (hukum Islam) yang telah datang kepadamu” [TMQ al-Maidah (5):48].

Ini menunjukkan betapa Islam sangat menjaga nyawa manusia tidak kira samada dia beragama Islam atau tidak dan mereka yang membunuh pasti akan diberi balasan yang setimpal. InsyaAllah bila mana daulah Khilafah berdiri buat kali kedua, pasti semua manusia tidak kira muslim mahupun non-muslim akan terjaga nyawa, maruah dan kehormatannya kerana syariat Allah yang sememangnya sesuai dengan fitrah manusia akan diterapkan dalam seluruh aspek kehidupan yang pasti membawa kesejahteraan buat seluruh alam.

Wallahu’alam.

Oleh: Afiqah Hazwani Abdullah (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment