Bersungguh-sungguh Menjadi Hamba Allah SWT

Tahukah kita, jantung yang ada dalam tubuh adalah alat pengepam yang amat menakjubkan. la bekerja terus menerus tanpa henti sejak minggu ke-4 daripada kehidupan manusia (di dalam rahim) sehingga kematiannya. Jika seseorang berumur 60 tahun, bererti selama itulah jantungnya tidak pernah berhenti bekerja mengepam darah. Adakah pengepam di dunia ini yang boleh tahan bekerja selama 60 tahun tanpa henti?

Jantung manusia beratnya adalah tidak lebih daripada 250 gram. la berdenyut 70 kali seminit atau 100 ribu kali sehari. la mengepam darah sebanyak 5 liter seminit atau 1.5 juta gelen setahun walaupun darah yang dipam adalah darah sama.

Alat pengepam yang menakjubkan ini menyalurkan darah ke selaput nadi, urat saraf, dan pembuluh darah yang mana jika semua itu disusun secara berturutan pada sebuah garis lurus, maka panjangnya boleh mencapai 60-100 ribu batu!

Tahukah kita, Galaksi Bimasakti hanyalah salah satu galaksi (gugusan bintang) di dalam sistem tatasuria kita. Galaksi Bimasakti terdiri daripada sekitar 200 ribu juta bintang. Para astronomi mengira bahawa di alam raya ini terdapat ribuan juta galaksi, dengan sekitar 1,000 trilion planet dan bintang. Setiap bintang atau galaksi berjalan pada orbitnya dengan kelajuan kira-kira 65,000 km sesaat. Antara bintang- bintang itu terdapat yang berukuran ribuan kali besar matahari, yang jaraknya daripada bumi adalah jutaan tahun cahaya. Satu tahun cahaya kira-kira 9,416 ribu juta km atau sekitar 10,000 tahun!

Itulah antara tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Itulah ayat-ayat kauniyyah-Nya. Semua ayat-ayat kauniyyah itu pada akhirnya meneguhkan firman Allah SWT sendiri (yang bererti):

“Tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya dengan main-main” [TMQ al- Anbiya’ (21): 16].

Benar, Allah SWT tidak pernah bermain-main. Sebagaimana kata Einstein, Tuhan bukan sedang bermain dadu ketika menciptakan alam raya ini. Ertinya, Allah SWT menciptakan seluruh alam raya ini dengan bersungguh-sungguh. Allah SWT juga tentu tidak main-main ketika menurunkan ayat- ayat qawliyyah-Nya, iaitu al- Quran. Al-Quran tidak lain adalah kalam (firman) Allah SWT, Zat Yang Maha Kuasa. Di dalamnya tidak terdapat sekelumit pun cacat cela, yang membuktikan bahawa al-Quran benar- benar berasal dari sisi-Nya sebagaimana firman Allah SWT,

“Tidakkah kalian memperhatikan al-Quran? Seandainya al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentu mereka bakal menjumpai banyak pertentangan di dalamnya” [TMQ an-Nisa’ (4): 82].


Jika Allah tidak pernah main-main dengan ayat-ayat kauniyyah-Nya (penciptaan alam semesta), juga dengan ayat-ayat qawliyyah-Nya (al-Quran), kita mendapati manusia malah sering ‘bermain-main’ dan mempermainkan ayat-ayat Allah. Ketika Allah SWT tidak pernah bermain dalam menciptakan alam raya ini, termasuk manusia, kita mendapati banyak manusia justeru sering ‘bermain-main’ dengan kehidupannya; tidak serius dan bersungguh-sungguh menjalani tugasnya sebagai hamba Allah, iaitu beribadah kepada-Nya dalam makna yang seluas-luasnya. Sedangkan bukankah ibadah (pengabdian kepada Allah) merupakan tujuannya penciptaan manusia? Allah SWT berfirman,

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku” [TMQ adz-Dzariyat (51): 56].

Sebagai Muslim, kita patut meneladani Nabi Muhammad SAW dan para Sahabatnya, yang sentiasa menjalani kehidupan ini dengan serius dan bersungguh-sungguh, tanpa pernah bermain-main; terutama dalam urusan ibadah, dakwah dan jihad.

Dalam urusan ibadah, kita tahu Nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling banyak melakukannya. Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat malam, bahkan sehingga kakinya sering bengkak-bengkak kerana lamanya berdiri ketika solat. Nabi juga orang yang paling banyak berpuasa, bahkan puasa wishal (terus menerus berpuasa tanpa berbuka), kerana begitu kerapnya Baginda tidak menjumpai makanan di rumahnya. Nabi juga adalah orang yang paling banyak bertaubat, tidak kurang daripada 100 kali dalam sehari. Sedangkan Baginda adalah orang yang maksum (terpelihara daripada dosa) dan dijamin masuk syurga.

Walau tidak sehebat Nabi SAW, para Sahabat adalah orang-orang yang paling istimewa ibadahnya setelah Baginda SAW, tiada yang melebihi mereka. Mereka adalah orang- orang yang paling banyak mengkhatamkan al-Quran, paling tidak sebulan sekali, bahkan ada yang kurang daripada itu. Menurut Utsman bin Affan RA, ramai Sahabat yang mengkhatamkan al-Quran seminggu sekali. Mereka antara lain Abdullah bin Mas’ ud, Ubay bin Kaab, dan Zaid bin Tsabit. Ustman RA sendiri sering khatam al-Quran hanya dalam waktu sehari semalam. Itu sering dia lakukan dalam solat malam. Semua itu menunjukkan bahawa Nabi SAW dan para Sahabat adalah orang-orang yang sentiasa serius dan bersungguh- sungguh dalam urusan ibadah; mereka tidak pernah bermain- main.

Bagaimana dengan dakwah mereka? Jangan dipersoalkan. Nabi SAW dan para Sahabat adalah orang-orang yang telah menjadikan dakwah sebagai jalan hidup sekaligus ‘jalan kematian’ mereka. Dengan kata lain, mereka hidup dan mati untuk dakwah. Sebahagian besar usia mereka termasuk harta dan jiwa mereka diwakafkan di jalan dakwah demi menegakkan kalimat–kalimat Allah SWT.

Bagaimana dengan jihad mereka? Para Sahabat, sebagaimana sering diungkap adalah orang- orang yang mencintai kematian (di jalan Allah) sebagaimana orang- orang kafir mencintai kehidupan.

Amr bin Jamuh hanyalah salah seorang Sahabat, antara ribuan Sahabat yang mencintai kematian itu. Dikisahkan, dia adalah orang yang sering dihalang untuk berjihad oleh saudara- saudaranya kerana kakinya tempang. Rasul pun telah membolehkannya untuk tidak sertai berjihad kerana keuzurannya itu. Namun, kerana keinginan dan kecintaannya yang luar biasa pada syahadah (mati syahid), dia terus mendesak Rasul SAW agar mengizinkannya berperang. Akhirnya, Rasul SAW pun mengizinkannya. Dengan penuh kegembiraan, Amr pun segera berlari menuju medan perang, bersungguh-sungguh dengan gigih melawan musuh, sehingga akhirnya gugur sebagai syahid.

Itulah sekelumit fasa keseriusan dan kesungguhan salafus soleh dalam menjalani kehidupannya.
Bagaimana dengan kita? Sudahkah kita serius dan bersungguh-sungguh dalam hidup ini? Atau kita masih mengisi hidup ini dengan banyak ‘bermain’?

Na’ udzu billah min zalik!
Wa ma tawfiqi illa bilLah.

Oleh: Arief B. Iskandar
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment