Bolehkah Kita Meyakini Sosialisme-Komunisme dan Kapitalisme?

Soalan:

Masih ada yang belum boleh menerima hakikat bahawa Sosialisme-Komunisme dan Kapitalisme merupakan ideologi kufur. Bagi mereka, apa sahaja perkara yang datangnya bukan daripada Islam selagi sesuai dan tidak bertentangan dengan Islam maka ia tidak boleh dikatakan sebagai kufur. Benarkah?

Jawapan:

Pertama; kaedah “apa sahaja perkara yang datangnya bukan daripada Islam selagi sesuai dan tidak bertentangan dengan Islam maka ia tidak boleh dikatakan sebagai kufur” adalah kaedah yang digunakan oleh orang-orang kafir untuk memasukkan ideologi dan sistem kufur ke dalam tubuh umat Islam sehingga boleh diterima sebagai sebahagian daripada Islam, sedangkan hakikatnya bukan. Melalui kaedah ini, mereka memasukkan ideologi Sosialisme, Komunisme dan Kapitalisme serta semua pemikiran yang bersumber daripadanya ke dalam jiwa dan pemikiran kebanyakan kaum Muslim. Dengan kaedah ini juga, mereka telah berjaya memasukkan demokrasi, termasuk undang-undang sivil ke dalam tubuh Khilafah ‘Uthmaniyyah (Lihat, Soal-Jawab Hizbut Tahrir, 20 Rabiul Akhir 1386 Hijrah/7 Ogos 1966 Masehi).1

Kedua: Sebagai ideologi, Sosialisme-Komunisme, dan juga Kapitalisme bukan sahaja tidak sesuai, bahkan bertentangan dengan Islam. Ini boleh dilihat dari sudut empat aspek berikut:

1. Akidah.

Sosialisme-Komunisme meyakini bahawa alam, manusia dan kehidupan adalah materi/benda (maddah). Tidak ada kewujudan lain selain daripada materi/benda. Sosialisme-Komunisme menolak kewujudan Tuhan sebagai Pencipta alam, manusia dan kehidupan. Oleh itu, Sosialisme-Komunisme menganggap Tuhan sudah mati dan agama adalah candu (racun) kehidupan. Sosialisme-Komunisme menolak keyakinan kepada yang ghaib, non-material atau metafizik; seperti adanya Tuhan yang menciptakan alam, manusia dan kehidupan; kehidupan selepas kematian, Hari Kiamat, serta akauntabiliti amal di hadapan Allah SWT.2

Kekufuran akidah seperti ini dinyatakan dengan tegas oleh Allah SWT,

كَيْفَ تَكْفُرُوْنَ بِاللهِ وَكُنْتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيْتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيْكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُوْنَ
Bagaimanakah kalian boleh mengingkari Allah, sedangkan kalian sebelum ini mati, kemudian Dia menghidupkan kalian, lalu mematikan kalian, kemudian menghidupkan kalian kembali dan kepada Dialah kalian akan dikembalikan” [TMQ al-Baqarah (2): 28].


Manakala Kapitalisme meyakini akidah Sekularisme. Sekularisme memisahkan antara agama dengan kehidupan, sekaligus juga memisahkah antara agama dengan negara. Menurut Sekularisme, agama hanya boleh mengatur kehidupan peribadi, bukan kehidupan umum baik kehidupan bermasyarakat mahupun bernegara. Sekularisme memang tidak menolak agama secara mutlak, sebagaimana Sosialisme-Komunisme, tetapi tetap sahaja agama hanya diyakini sebahagian sahaja, tidak terkecuali Islam. Akidah seperti ini juga jelas kufur sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran surah al-Baqarah (2): 85.

Oleh itu, dari aspek akidah, baik Sosialisme-Komunisme mahupun Kapitalisme, sama-sama merupakan akidah kufur yang haram dianuti, diambil, diterapkan dan dibawa ke dalam masyarakat. Kedua-dua ideologi ini juga bertentangan dengan akidah Islam yang meyakini bahawa alam, manusia dan kehidupan adalah ciptaan Allah SWT. Semuanya akan binasa. Di sebalik alam, manusia dan kehidupan ada Allah, malaikat dan perkara ghaib yang lain, termasuk Hari Kiamat; juga akauntabiliti amal perbuatan yang telah dilakukan oleh manusia di dunia. Oleh itu Islam diguna pakai dalam seluruh aspek kehidupan, bukan hanya sekadar urusan spiritual dan ritual semata, tetapi juga dalam menangani urusan kehidupan masyarakat dan negara.

2. Ukuran Perbuatan.

Sosialisme-Komunisme menjadikan dialektika materialisme (tatawwur mâdi) sebagai ukuran perbuatan. Teori dialektika materialisme inilah yang digunakan untuk melihat perubahan individu dan masyarakat. Ini adalah apa yang dikenali sebagai materialisme sejarah.

Manakala Kapitalisme menjadikan asas manfaat (naf’iyyah) sebagai ukuran perbuatan. Apa sahaja perkara yang dianggap bermanfaat dilakukan dan apa sahaja perkara yang dianggap tidak bermanfaat ditinggalkan. Ukuran manfaat itu adalah ketika sesuatu dianggap mempunyai nilai guna (utility value). Ia dianggap memiliki nilai guna apabila masih ada individu dan masyarakat yang mahukannya.

Sebaliknya, pandangan hidup Islam menyatakan bahawa setiap sesuatu perlu dibina berdasarkan ukuran halal-haram. Jika halal boleh diambil dan dilaksanakan. Manakala, jika haram tidak boleh diambil dan dilaksanakan. Oleh kerana itu, baik pandangan hidup Sosialisme-Komunisme mahupun Kapitalisme, selain ia bertentangan dengan pandangan hidup Islam, keduanya juga merupakan pandangan yang rosak dan merosakkan.

3. Metod.

Berdasarkan daripada akidah materialisme dan pandangan hidup materialisme sejarahnya, maka metod yang diguna pakai oleh Sosialisme-Komunisme dalam mewujudkan pandangan hidupnya adalah percanggahan (tanâqudh), anti-tesis dan cabangannya, termasuk anti status quo dan kestabilan.

Sementara bagi Kapitalisme dengan akidah Sekularisme dan asas manfaatnya, ia mengguna pakai metod kebebasan (hurriyah). Liberalisasi adalah metod yang biasa bagi Kapitalisme untuk mewujudkan pandangan hidupnya. Oleh kerana itu kebebasan amat diagungkan dalam Kapitalisme.

Berbeza pula dengan Islam. Akidah Islam dan ukuran pandangan hidupnya iaitu halal dan haram, tidak mungkin menjadi kenyataan kecuali dengan terikat dengan hukum Allah SWT. Oleh itu, keterikatan kepada hukum Allah SWT merupakan metod yang umum bagi Islam dalam mewujudkan pandangan hidupnya.

4. Pandangan mengenai kebahagiaan.

Sosialisme-Komunisme dengan pandangannya yang materialistik, dan juga Kapitalisme yang melihat segala-galanya dengan pandangan untung-rugi, bersepakat melihat kebahagiaan dengan ukuran materi. Dalam erti kata lain, manusia dianggap bahagia jika keperluannya yang bersifat materialistik itu dipenuhi. Sebaliknya, mereka akan merana dan menderita, jika keperluannya yang bersifat materialistik itu tidak dipenuhi.

Pandangan seperti ini berbeza sama sekali dengan Islam. Islam memandang kebahagiaan terletak pada keredhaan Allah SWT kepada manusia. Jika Allah redha kepada manusia maka dia akan bahagia walaupun tidak semua keperluan materinya dipenuhi. Jika tidak, maka dia akan menderita walaupun semua keperluan materinya dipenuhi.

Keempat-empat aspek di atas sudah cukup untuk membuktikan bahawa baik Sosialisme-Komunisme mahupun Kapitalisme tidak sesuai dengan Islam dan bertentangan dengan Islam. Oleh kerana itu, kedua-dua ideologi ini haram dianuti, diambil, diterapkan dan dibawa ke dalam masyarakat. Bahkan dengan menganut dan meyakini terhadap kedua-dua ideologi ini, seorang Muslim boleh menjadi murtad daripada Islam.

Ketiga; aspek lain yang juga pasti berbeza adalah sistem yang lahir daripada kedua-dua ideologi tersebut. Sistem adalah kumpulan hukum yang mengatur semua aspek kehidupan manusia, baik dalam aspek peribadi, masyarakat mahupun negara. Kerana sistem ini berasal daripada ideologi tertentu, maka kaedah yang digunakan untuk membenarkan pengambilannya, bukan kaedah “sesuai atau tidak dengan Islam” atau kaedah, “bertentangan atau tidak dengan Islam”, tetapi adakah sistem tersebut “dibina berdasarkan akidah Islam atau tidak?” atau, “dipancarkan daripada akidah Islam atau tidak?”

Jika sistem tersebut dibina daripada akidah Islam, atau dipancarkan daripada akidah Islam, maka ia bermakna masih sebahagian daripada Islam, dan boleh diambil, diterapkan serta dibawa ke dalam masyarakat. Namun, jika tidak, maka sistem tersebut bukan sistem Islam, dan haram diambil, diterapkan serta dibawa ke dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, ia tidak bermakna orang Islam—kerana kebodohannya—yang mengambil, menerapkan dan membawanya ke dalam masyarakat boleh disabitkan sebagai murtad atau kafir; kecuali jika sampai kepadanya keyakinan bahawa sistem Islam itu tidak benar dan sistem kufur itu lebih benar.

Sekadar contoh, walaupun demokrasi dan Islam sama-sama mengajar tentang musyawarah, dalam praktik amalan kedua-duanya berbeza kerana asas ideologi dan standardnya jelas berbeza. Musyawarah dalam sistem demokrasi tidak membezakan antara pandangan hukum syarak, pandangan yang memerlukan kepakaran, dan pandangan yang tidak terkait dengan kedua-duanya, tetapi semuanya dipukul rata dengan keputusan suara majoriti.

Berbeza dengan Islam. Islam mengajar tentang musyawarah dengan hukum yang terperinci. Dalam perkara yang berkaitan dengan hukum syarak, Islam menetapkan bahawa suara yang diambil adalah yang paling benar dari aspek dalil dan pemahaman terhadap dalil. Dalam perkara yang berkaitan dengan kepakaran, suara yang diambil adalah suara pakar dan pendapat yang paling benar. Dalam perkara yang tidak berkaitan dengan kedua-duanya, Islam menetapkan suara yang diambil adalah suara majoriti.

Ini adalah contoh betapa jelas perbezaan Islam dengan Kapitalisme dan Sosialisme-Komunisme, bermula dari aspek hulu hingga ke hilir. Pendek kata, perbezaannya bukan sahaja pada tahap isinya, tetapi sampai kepada tahap kulitnya. Oleh kerana itu juga, kita tidak boleh menggambarkan Islam sebagai gabungan antara Kapitalisme-Komunisme dalam konteks ideologi dan pandangan hidup, sebagaimana sistem pemerintahan Islam disebut teo-demokrasi kerana menggabungkan antara kedaulatan Tuhan dan kekuasaan manusia. Penjelasan seperti ini selain mencerminkan kecuaian, juga boleh merosakkan kejernihan Islam yang unik dan tersendiri.

Oleh itu Islam adalah agama dan ideologi yang unik dan tersendiri, sama sekali berbeza dengan apa jua agama dan ideologi yang ada di dunia ini.

WalLâhu a’lam bi as-sawwâb.

Oleh : KH Hafidz Abdurrahman

Nota kaki:
1 Lihat: al-‘Allamah Syaikh ‘Abdul Qadim Zallum, Kayfa Hudimat al-Khilâfah, Dar al-Ummah, Beirut.
2 Mereka ini oleh Imam al-Ghazali dan al-Hafidz Ibn al-Jauzi disebut kaum Dahriyyun. Dalam kitab Al-Munqiz min ad-Dhalâl dan Tahâfut al-Falasifah, Imam al-Ghazali jelas mensabitkan mereka kafir.




SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment