Demam Olimpik: Di mana Umat Islam?

Dunia sekarang sedang menyaksikan satu acara sukan gilang-gemilang yang dinanti-nantikan oleh seluruh peminat sukan di seluruh dunia iaitu Sukan Olimpik 2016. Acara sukan yang bermula pada 5 Ogos dan akan berakhir pada 21 Ogos 2016 ini melibatkan lebih 10500 atlet dari 200 buah negara. Malaysia pula telah menghantar 32 orang peserta dalam 10 acara yang mana dalam acara sukan terjun, atlet Malaysia telah berjaya menggondol pingat perak. Di bawah skim insentif Majlis Sukan Negara (MSN) untuk Olimpik, pemenang pingat emas akan menerima RM 1juta dan pencen bulanan RM 5000, penerima pingat perak pula akan menerima ganjaran sebanyak RM 600000 dan pencen bulanan RM 3000 manakala penerima pingat gangsa menerima RM 100000 serta pencen bulanan sebanyak RM 2000.

Komentar:

Bersukan atau berolahraga merupakan perkara yang penting dalam kehidupan manusia sebagai salah satu usaha untuk menjaga kesihatan. Faktor kesihatan dan kecergasan tubuh badan memainkan peranan yang sangat penting dalam melaksanakan sebahagian besar amal ibadah kaum Muslimin seperti solat, haji dan jihad. Malah ibadah itu sendiri turut memberikan sumbangan pada kesihatan dan kesegaran tubuh badan. Jika kita mengkaji dengan teliti sirah Nabi Muhammad SAW, kita akan mendapati bahawa baginda SAW sendiri rajin bersukan dan berolahraga serta menganjurkan untuk melakukannya. Antara jenis sukan yang dianjurkan umat Islam untuk dipelajari adalah memanah, menunggang kuda dan berenang. Rasulullah SAW bersabda,

“Hendaklah kalian sentiasa berlatih memanah kerana ia merupakan sebaik-baik lahwun (permainan)” [HR al-Bazzar dan al-Thabrani].

Segala sukan dan olahraga yang disebutkan di atas diperintahkan oleh Nabi SAW berdasarkan keumuman hadith berikut,

“Orang Mukmin yang kuat itu lebih baik dan dicintai oleh Allah berbanding orang Mukmin yang lemah. Dalam semua perkara yang baik itu, maka peliharalah apa yang bermanfaat bagimu. Berlindunglah kepada Allah dan janganlah kamu menjadi lemah” [HR Muslim dan Ibnu Majah].

Namun, pada hari ini aktiviti sukan dan olahraga telah jauh tersasar daripada tujuan utama. Umat Islam pada zaman sekarang sedang terpengaruh dengan ideologi kapitalisme yang mana asas manfaat dijadikan kayu ukur dalam pandangan hidup. Yang dikejar dengan menyertai pertandingan sukan adalah pingat, duit, hadiah dan kemahsyuran iaitu kesenangan material dan duniawi belaka. Para atlet dan olahragawan telah muncul sebagai selebriti yang diburu oleh media dan peminat di sana sini. Penonton pula sanggup bersengkang mata siang dan malam semata-mata untuk mengikuti segala berita dan perkembangan sukan sehingga mengabaikan urusan agama dan urusan saudara Islam yang lain. Mereka bukan lagi hidup untuk Islam dan umatnya dan jauh sekali mempersiapkan diri bagi kehidupan akhirat. Fenomena sukan ini telah berjaya menyihir pemikiran kaum Muslimin.

Dalam Islam, negara tidak akan menganjurkan sebarang organisasi sukan atau olahraga dan mempertandingkannya bagi meraih gelaran juara atau pingat-pingat yang tidak membawa makna. Ini termasuklah organisasi sukan di peringkat daerah, negara mahupun antarabangsa seperti acara Sukan Sukma, Sukan SEA, Sukan Olimpik dan lain-lain lagi. Penganjuran sukan sebegini termasuk dalam kategori permainan yang terorganisasi (lahwun munadzzamun) yang secara nyata memalingkan umat ini daripada matlamat hidup yang sebenar iaitu mengembangkan risalah dakwah.

Walaupun begitu, ini bukan bermakna bahawa negara tidak akan membangunkan sebarang kemudahan atau prasarana sukan dan olahraga dalam negara. Segala kemudahan dan prasarana sukan dan olahraga seperti padang, gimnasium, kolam renang dan sebagainya akan tetap dibangunkan oleh negara. Cuma bezanya ialah kesemua perkara tersebut didedikasikan sebagai suatu kemudahan umum untuk menjaga kesihatan dan kecergasan rakyat semata-mata dalam rangka untuk mempersiapkan diri mereka untuk mengembangkan risalah dakwah dan untuk berjihad di jalan Allah. Walluhu a’lam.

Oleh: Pn Zulaikha al-Marzuuq (Ahli Lajnah Tsaqafiyah MHTM)

Sumber berita: astroawani.com
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment