Hayati Ramadhan dan Syawal, Celik Syariah Tegak Khilafah

Ramadhan telah pergi sepurnama yang lalu. Kini Syawal pula akan melabuhkan tirainya. Namun apa yang terdetik di kalbu saya, berapa kali lagikah kita akan melalui Ramadhan dan Syawal dalam keadaan Syariat Islam tidak dilaksanakan secara keseluruhan, iaitu secara kaffah.

Tidak dinafikan bahawa ada Syariat Islam yang dapat dilaksanakan pada hari ini, namun masih banyak lagi yang tidak dapat dilaksanakan. Inilah hasil daripada penerapan sistem yang dinamakan sekularisma atau dalam bahasa Arabnya fasluddin ‘anil hayah yang bermaksud memisahkan agama daripada kehidupan.

Perkara-perkara yang terkait dengan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain boleh dilakukan tanpa ada halangan, akan tetapi hal-hal terkait dengan muamalat seperti undang-undang, pendidikan dan ekonomi, tidak dilaksanakan seperti yang Allah dan RasulNya telah pandukan kepada kita di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Allah berfirman

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [TMQ al-Baqarah (2) :208].

Allah juga berfirman.

قُلْ إِنِّي عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي وَكَذَّبْتُم بِهِ ۚ مَا عِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ ۚ إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۖ يَقُصُّ الْحَقَّ ۖ وَهُوَ خَيْرُ الْفَاصِلِينَ

“Katakanlah: "Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (al-Quran) dari Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (daripada azab siksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Dia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan." [TMQ al-An’am (6): 57].

Apabila kita mentadabbur daripada kedua ayat al-Quran di atas, maka tiada pilihan untuk kita semua melainkan memanifestasikan ketakwaan yang sudah kita didik sepanjang bulan Ramadhan dengan bersegera mengembalikan keseluruhan Syariat Islam agar dapat dilaksanakan dalam kehidupan kita sehari-hari. Hal itu pastinya tidak akan berjaya terlaksana keseluruhannya melainkan dengan adanya sebuah institusi negara yang akan menerapkan, menjaga dan menyebarkannya ke seluruh penjuru alam. Saat itulah merupakan detik kemenangan yang sebenar-benarnya dapat dinikmati oleh seluruh umat Islam di dunia ini.

Menjadi harapan saya dan harapan kita semua semoga Syawal 1437H merupakan Syawal terakhir kita sambut tanpa naungan Khilafah, institusi penyelamat umat Islam.

Oleh: Ummu Hajar (Ahli Lajnah Mubalighah MHTM)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment