Islamofobia dan Syariahfobia

Seorang British, Runnymede Trust mentakrifkan Islamofobia sebagai rasa takut dan kebencian terhadap Islam dan umat Islam. Orang yang dijangkiti dengan sentimen Islamofobia biasanya mempunyai persepsi bahawa Islam tidak mempunyai norma yang sesuai dengan budaya lain, lebih rendah berbanding budaya Barat dan lebih berupa ideologi politik yang bengis daripada berupa suatu agama. Syariahfobia pula adalah rasa takut dan kebencian terhadap syariat Islam dan menolak apa sahaja yang berasal daripada sumber hukumnya. Islamofobia sebenarnya telah wujud sejak Rasulullah SAW diutus. Pada masa itu tokoh-tokoh kafir Quraisy menolak dakwah Rasulullah SAW dengan pelbagai cara. Mereka memulakan dengan cara yang halus iaitu dengan melobi serta menawarkan harta, takhta dan wanita supaya Baginda menghentikan dakwah. Namun, apabila semuanya gagal, mereka memulakan dengan cara kasar iaitu melakukan ‘black campaign’ dengan memanggil Rasulullah sebagai ahli sihir kemudian menganiaya sehingga memboikot Baginda dan para pengikutnya selama kira-kira tiga tahun.

Mengapa Muncul Islamofobia dan Syariahfobia?

Ketika Rasulullah SAW diutus, masyarakat Arab Jahiliyah sudah mempunyai keyakinan dan peraturan tersendiri yang telah berlangsung selama beratus-ratus tahun. Bagi mereka, kedatangan Islam dan Muhammad SAW adalah satu ancaman kepada kewujudan dan kedudukan mereka selama ini. Mereka benar-benar memahami bahawa Muhammad SAW datang membawa kebaikan. Mereka juga tidak dapat menafikan kebenaran risalah yang dibawa oleh Baginda. Malah mereka juga amat menyedari bahawa lambat-laun peraturan kehidupan yang selama ini mereka pertahankan akan digantikan dengan Islam. Hal ini yang membuatkan mereka bimbang.

Hal ini tidak jauh beza dengan keadaan ketika ini . Golongan elit politik dan ekonomi sedaya upaya mempertahankan sistem Kapitalisme kerana mereka sudah stabil dan selesa dalam sistem tersebut. Mereka benar-benar menyedari bahawa sistem Kapitalisme tidak membawa kebaikan kepada masyarakat. Namun, golongan elit ini bimbang jika sistem Kapitalisme yang selama ini memperkayakan kehidupan mereka apabila digantikan dengan sistem Islam, maka akan menyebabkan kewujudan dan kedudukan mereka terancam. Sesungguhnya mereka mengetahui bahawa sistem Islam akan membawa perubahan kepada yang lebih baik. Namun, kerana alasan pragmatisme dan kepentingan dunia yang seketika, maka mereka perlu menolak Islam.

Di sebalik Isu Toleransi

Apabila berbicara tentang toleransi sebenarnya kita berbicara tentang sejarah hitam Eropah (baca: Barat) sebagai reaksi kepada keadaan sosial dan politik pada ketika itu. Mereka menyebut waktu itu sebagai ‘zaman kegelapan’ (the dark age) iaitu ketika gereja Kristian menguasai kehidupan masyarakat. Mereka melakukan banyak penyelewengan dan penindasan kepada rakyat di atas nama agama. Gereja melakukan inkuisisi (pengadilan daripada gereja yang mengatasnamakan agama), iaitu hukuman kepada kaum yang disebut heretic (dicop menyimpang daripada doktrin gereja) dengan satu bentuk penyeksaan yang kejam.

Kemudian, bagi menanggapi kekejaman dan penindasan di atas nama agama tersebut, Jhon Lock kemudian menggagas kepentingan toleransi dengan beberapa doktrin pemikiran. Pertama, hukuman yang layak untuk individu yang keluar daripada mazhab tertentu bukanlah hukuman fizikal tetapi hanya pengusiran. Kedua, tidak boleh ada yang memonopoli kebenaran sehingga satu mazhab tidak boleh mengkafirkan mazhab yang lain. Ketiga, pemerintah tidak boleh memihak salah satu mazhab kerana isu keagamaan adalah isu peribadi. Tiga doktrin inilah yang kemudiannya membentuk doktrin toleransi di dunia Barat.

Amat jelas, istilah dan idea toleransi adalah tindak balas dan reaksi kepada kekejaman dan penindasan gereja di atas nama agama. Malangnya idea ini kemudian dieksport ke negara-negara Islam dengan menjadikan agama Islam sebagai sasarannya. Seolah-olah ketika Islam berkuasa dan menerapkan syariah Islam akan berlaku penindasan seperti yang dialami oleh Barat dalam zaman kegelapan. Trauma sejarah inilah yang mereka sebarkan kepada “intelektual” Muslim di seluruh dunia sehingga menyebabkan mereka menolak sebarang bentuk penerapan syariah Islam.

Sedangkan dalam sejarah penerapan syariah Islam selama berabad-abad lamanya, tidak pernah berlaku tragedi gelap seperti yang dialami oleh negara-negara Barat pada abad pertengahan. Sejarah penerapan syariah Islam adalah sejarah kegemilangan dalam pelbagai aspek termasuk kesamarataan layanan terhadap warga negara non-Muslim di wilayah kekuasaan Khilafah Islam.

Oleh itu, ketika mereka mengeksport idea toleransi ke negara Islam dan menjadikan intelektual Muslim sebagai ejennya, selain daripada salah tempat dan tidak berasas, kemungkinan besar terdapat motif jahat di sebaliknya iaitu tidak lain tidak bukan motif anti Islam dan anti syariah Islam.

Di Sebalik Islamofobia dan Syariahfobia

Sesungguhnya isu toleransi hanyalah alat untuk menghalang penerapan syariah Islam dengan cara yang lebih sopan dan lebih diterima semua kalangan. Idea sesat di sebalik itu sekurang-kurangnya ada tiga iaitu Sekularisme, Hak Asasi Manusia (HAM) dan Pluralisme.

1. Sekularisme.

Pada dasarnya Sekularisme (pemisahan agama daripada kehidupan) dijadikan dasar negara. Agama hanya berfungsi mengatur urusan-urusan individu, moral dan ritual. Agama dilarang masuk campur dalam urusan politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain. Oleh kerana agama adalah urusan peribadi, negara tidak boleh masuk campur dalam kepercayaan seseorang. Negara tidak boleh menghakimi kepercayaan rakyatnya. Oleh kerana itu di dalam negara sekular, tidak boleh ada hukum agama yang diterapkan secara formal untuk mengatur hal ehwal masyarakat majmuk. Bagi golongan sekular, penerapan hukum agama secara formal termasuk syariah Islam dianggap sebagai tidak bertoleransi atau dengan kata lain mengganggu toleransi antara umat beragama. Pandangan sekular di atas jelas ditolak oleh Islam dan berbahaya. Apabila pandangan ini diterima bukan sahaja akan berlaku pengerdilan terhadap Islam bahkan Islam akhirnya dihadkan kepada urusan individu, ritual dan moral sahaja. Akhirnya, penerapan syariah Islam dalam pelbagai bentuk akan ditolak.

2. HAM.

Idea Hak Asasi Manusia (HAM) berasal daripada pandangan Barat yang menganggap sifat manusia pada dasarnya adalah baik dan tidak jahat. Jenayah yang muncul daripada manusia disebabkan oleh pengekangan terhadap kehendaknya. Oleh kerana itu, kehendak manusia perlu dibiarkan bebas supaya dia mampu menunjukkan sifat baiknya yang asal. Dari sinilah muncul idea kebebasan (freedom) yang menjadi salah satu idea yang menonjol dalam ideologi Kapitalisme. Pandangan-pandangan tersebut menjadi asas kepada apa yang disebut sebagai ‘kebebasan individu’—yang perlu dipelihara—sebagai landasan HAM, yang meliputi kebebasan beragama (freedom of religion), kebebasan berpendapat (freedom of speech), kebebasan hak milik (freedom of ownership) dan kebebasan bertingkahlaku (personal freedom). Oleh kerana itu, negara yang menganut prinsip HAM pasti akan menolak penerapan syariah Islam kerana dianggap tidak bertoleransi dan mengekang kebebasan individu masyarakat. Pandangan ini jelas berbahaya dan bertentangan dengan Islam.

3. Pluralisme.

Fahaman Pluralisme muncul berdasarkan keinginan untuk menghapuskan ‘tuntutan kebenaran’ (truth claim) yang dianggap sebagai pencetus kepada kemunculan sikap ekstrem, radikal, perang di atas nama agama, konflik horizontal, serta penindasan di atas nama agama. Menurut kaum pluralis, konflik dan keganasan di atas nama agama akan terhapus jika setiap agama tidak lagi menganggap agamanya yang paling benar. Kaum pluralis juga akan menolak dominasi agama tertentu dalam sebuah masyarakat majmuk, termasuk menolak penerapan syariah Islam dalam sebuah negara kerana dianggap tidak bertoleransi terhadap pemeluk agama lain dan dianggap bertentangan dengan Pluralisme. Fahaman ini juga jelas berbahaya dan bertentangan dengan Islam.

Toleransi dalam Pandangan Islam

Tuduhan Barat dan golongan sekular bahawa ajaran Islam tidak bertoleransi terhadap pemeluk agama lain sama sekali tidak munasabah, tidak sesuai dengan realiti sejarah dan bercanggah dengan konsep Islam dalam melayani non-Muslim.

Dalam hukum Islam, warganegara Khilafah yang non-Muslim disebut sebagai dzimmi. Istilah dzimmi berasal daripada kata dzimmah, yang bermaksud kewajipan untuk memenuhi perjanjian. Islam menganggap semua orang yang tinggal di dalam Negara Khilafah sebagai warganegaranya. Mereka semua berhak menerima layanan yang sama dan tidak boleh ada diskriminasi antara Muslim dan dzimmi. Negara perlu menjaga dan melindungi keyakinan, kehormatan, akal, kehidupan dan harta benda mereka.

Berikut adalah konsep layanan Khilafah Islam terhadap warganegara non-Muslim:

1. Non-Muslim berhak mempraktikkan kepercayaan mereka.
Di dalam Islam, Negara Khilafah tidak boleh memaksa non-Muslim untuk meninggalkan kepercayaan mereka (Lihat: TMQ al-Baqarah [2]: 256). Namun, orang bukan Islam wajib menerima Islam apabila telah meyakini akidah Islam secara intelektual. Ini terbukti melalui fakta bahawa hingga ke hari ini masih terdapat komuniti Yahudi dan Kristian yang tinggal di kawasan Timur Tengah walaupun Negara Islam telah berkuasa di kawasan tersebut selama 1300 tahun.

2. Non-Muslim mengikuti peraturan agama mereka dalam hal makanan dan pakaian.
Dalam hal makanan dan pakaian, orang bukan Islam berhak mengikuti peraturan agama mereka. Mazhab Imam Abu Hanifah menyatakan, “Islam membolehkan ahlu dzimmah meminum minuman keras, memakan daging babi dan menjalankan semua peraturan agama mereka dalam wilayah yang diatur oleh syariah.” Selagi ia dilakukan secara tertutup dan tidak dilakukan di tempat awam, Negara Islam tidak mempunyai hak untuk mengganggu urusan peribadi mereka. Namun, jika terdapat seorang ahlu dzimmah membuka kedai yang menjual minuman keras untuk umum, maka dia akan dihukum berdasarkan peraturan syariah Islam.

3. Urusan pernikahan dan perceraian antara non-Muslim dilakukan mengikut peraturan agama mereka.
Orang bukan Islam diizinkan untuk berkahwin sesama mereka berdasarkan kepercayaan mereka. Mereka boleh dikahwinkan di gereja atau Sinagog oleh Pendeta atau Rabi. Mereka juga boleh bercerai mengikut peraturan agama mereka.

4. Kesetaraan di sisi undang-undang.
Di sisi undang-undang tidak ada perbezaan antara non-Muslim dan Muslim. Hakim (qâdhi) wajib memeriksa bukti yang disyaratkan mengikut syariah semata-mata, bukan mengikut peraturan lain. Banyak contoh yang menunjukkan bagaimana non-Muslim dapat mengalahkan seorang Muslim di mahkamah. Pada masa Khalifah Umar bin al-Khaththab RA, pernah beberapa orang Muslim mengambil alih tanah milik seorang Yahudi dan mendirikan masjid di atas tanah tersebut. Ini jelas melanggar hak Yahudi tersebut sebagai ahlu dzimmah. Khalifah Umar RA kemudian memerintahkan supaya masjid tersebut dirobohkan dan tanah tersebut dikembalikan pada orang Yahudi tersebut.

Dalam kes yang lain, pada masa pemerintahan Imam Ali RA, seorang Yahudi mencuri baju perisai milik Khalifah. Imam Ali RA kemudian mengadu tentang Yahudi tersebut kepada mahkamah dan membawa anak lelakinya sebagai saksi. Hakim menolak tuntutan Khalifah dan menyatakan bahawa seorang anak tidak dapat dijadikan saksi dalam perkara yang melibatkan ayahnya di mahkamah. Setelah menyaksikan keadilan tersebut, Yahudi itu kemudian mengaku bahawa dia memang mencuri baju tersebut. Dia akhirnya memeluk Islam.

5. Kesamaan hak ekonomi.
Di dalam Negara Khilafah, non-Muslim daripada kalangan Ahli Kitab mempunyai hak yang sama dengan Muslim untuk apa-apa yang berasal daripada Baitul Mal. Oleh kerana itu golongan miskin ahlu dzimmah juga berhak mendapat bantuan daripada Baitul Mal (Perbendaharaan Negara).

Selain itu, dalam Negara Khilafah, sesiapa sahaja yang mempunyai kewarganegaraan dan mempunyai kemampuan sama ada lelaki ataupun perempuan; Muslim ataupun non-Muslim, boleh dipilih sebagai pengarah atau pegawai jabatan pentadbiran. Ini diambil daripada peraturan tentang pekerja (ijârah), yang membolehkan menggaji orang tidak kira apa agamanya. Rasulullah SAW sendiri pernah menggaji seorang lelaki non-Muslim dari Bani ad-Dail. Ini menunjukkan bahawa menggaji seorang non-Muslim dibolehkan sebagaimana menggaji seorang Muslim.

6. Non-Muslim mempunyai hak politik.
Sesiapa yang mempunyai kewarganegaraan, apabila dia dewasa dan berakal sihat, dia mempunyai hak untuk menjadi anggota Majlis Umat. Dalam hal ini, dia mempunyai hak untuk memilih anggota-anggota Majlis baik perempuan mahupun lelaki; baik Muslim mahupun non-Muslim. Non-Muslim berhak menjadi anggota Majlis Umat untuk memenuhi aspirasi golongan mereka terhadap layanan hukum oleh penguasa kepada diri mereka atau untuk melakukan muhasabah terhadap kesalahan implementasi hukum Islam ke atas diri mereka.

Toleransi dan Keadilan Islam

Layanan adil Negara Khilafah terhadap non-Muslim bukan sekadar konsep tetapi benar-benar diaplikasikan. Bukan juga berdasarkan kepada tuntutan toleransi ala Barat melainkan kerana menjalankan hukum syariah Islam. T.W. Arnold, dalam bukunya The Preaching of Islam menyatakan, “Sekalipun bilangan orang Yunani lebih ramai daripada bilangan orang Turki di pelbagai wilayah Khilafah yang ada di bahagian Eropah, toleransi keagamaan diberikan kepada mereka. Perlindungan nyawa dan harta benda yang mereka peroleh menyebabkan mereka mengakui kepemimpinan Sultan ke atas semua orang Kristian.”

Arnold kemudian menjelaskan, “Layanan terhadap warga Kristian oleh Kerajaan Uthmaniyah selama lebih kurang dua abad setelah penaklukan Yunani, telah memberikan contoh toleransi kepercayaan yang sebelum ini tidak diketahui di tanah besar Eropah. Kaum Kalvinis Hungary dan Transylvania, serta negara Unitarian (kesatuan) yang kemudian menggantikan kedua-dua negara tersebut, juga lebih suka tunduk kepada pemerintahan Turki daripada berada di bawah pemerintahan Hapsburg yang fanatik. Kaum Protestan Silesia juga sangat menghormati pemerintah Turki dan bersedia membayar kemerdekaan mereka dengan tunduk kepada hukum Islam. Kaum Cossack yang merupakan penganut kepercayaan kuno dan selalu ditindas oleh Gereja Rusia menghirup suasana toleransi dengan kaum Kristian di bawah pemerintahan Sultan.”
WalLâhu a’lam bi as-sawâb.

Oleh: Luthfi Afandi, SH, MH; (Pegawai Perhubungan Awam DPD I HTI Jawa Barat)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment