Kes Penculikkan Kanak-Kanak: Kesan dari Negara Tidak Menerapkan Islam

KUALA LUMPUR - Mayat Noor Amila Edrus Norsham, kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang dilaporkan hila
ng di Jinjang Utara sejak lapan hari lalu (11 Ogos) dan dijumpai dalam keadaan menyayat hati di kawasan semak Kampung Kemensah, Hulu Kelang hari ini adalah antara beberapa kes kanak-kanak hilang di negara ini, sejak 1996.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak lelaki bernama Ting Song Seng, 9, dilaporkan hilang ketika menunggu bas di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina), Taman Rasah, Klang untuk pulang ke rumah pada 15 Januari 1996. Song Seng masih gagal ditemui sehingga sekarang.

Pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin Jazimin dilaporkan hilang selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Misteri kehilangan akhirnya terjawab apabila mayatnya yang tidak berbaju dipercayai mangsa deraan seks, ditemui oleh pemilik lot kedai di Jalan PJS 1, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya pada 17 Sept 2007 dan setelah ujian DNA dijalankan, ia mengesahkan mayat tersebut adalah Nurin Jazlin. Mangsa dibunuh 24 jam sebelum mayatnya ditemui dalam beg yang ditinggalkan di tangga premis perniagaan tiga tingkat di kawasan itu.

Pada 9 Jan 2008, Sharlinie Mohd. Nashar, 5, dilaporkan hilang ketika bermain bersama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di No. 29, Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya. Sharlinie masih gagal ditemui sehingga hari ini.

Pada 9 Mac 2008 murid lelaki 11 tahun, Muhamad Asmawi Jalaludin dilaporkan hilang ketika pulang dari sebuah taman permainan berdekatan rumahnya di Lot 127, Rumah Banglo Kayu, Jalan Permai Tujuh. Muhamad Asmawi ketika itu dikatakan dalam perjalanan pulang bersama rakannya dari taman itu berdekatan Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi. Muhamad Asmawi masih belum ditemui hingga kini.

Pada 1 Mac 2012, Nurul Nadirah Abdullah atau Dirang dilaporkan hilang dari rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam, Johor Baharu ketika membeli mi segera dan telur pada 10.30 pagi. Tiga individu termasuk sepasang suami isteri ditahan bagi membantu siasatan. Pada 8 Mac mayatnya ditemui rentung di dalam satu lubang di kawasan perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai. Seorang buruh, Muidin Maidin, 26, didapati bersalah membunuh mangsa di ladang kelapa sawit Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, antara 1 Mac dan 2 Mac 2012 dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Pada 24 Jan 2013 seorang kanak-kanak Wiliam Yau Zhen Zhon, 6, ditemui mati di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, 24 Jan lalu selepas seminggu hilang. William dilaporkan hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Pada 8 November 2013, Freddie Joseph, berusia setahun lapan bulan yang diculik dari rumah ibunya di Bangsar. Freddie kemudian dijumpai keesokan harinya bersendirian dalam keadaan lapar dan letih di Taman Tasik Titiwangsa oleh seorang pemandu lori dan seorang pemandu teksi yang kebetulan melalui laluan tersebut kira-kira 12.55 tengah hari.

Pada 21 November 2014, kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun Mohd Shariqal Sidek hilang ketika bermain di kawasan kebun getah di Kampung Selagon, Beaufort, Sabah. Dua hari selepas itu, pada 23 November kanak-kanak tersebut ditemui mati dipercayai dibunuh berhampiran Sekolah Menengah St John di sini kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang. (Sinar Harian, 18/8/2016)

Komentar:

Realiti pada hari ini menyaksikan begitu ramai kanak-kanak menjadi mangsa penculikan. Ada yang ditemui dan ada yang belum ditemui sehinggalah sekarang. Dan yang lebih sadis lagi ada yang dirogol lalu dibunuh. Di mana letaknya perikemanusian manusia yang melakukan kelemahan terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa itu?

Kes kehilangan kanak-kanak bukanlah satu isu yang baru, bahkan isu ini telah lama berlaku, antaranya beberapa kes kanak-kanak hilang di negara ini sejak 1996. Bayangkan sebanyak 8842 jumlah kes melibatkan kanak-kanak hilang di bawah umur 18 tahun dicatatkan dalam tempoh 5 tahun sehingga Mei 2014. (Sinar Harian, 9/7/2015). Terbaru kes penculikan dan kematian kanak-kanak berumur 5 tahun, Noor Amila Edrus Norsham sekali lagi mecetuskan kebimbangan dalam masyarakat. (Sinar Harian, 18/8/2016)

Kronologi dan statistik di atas menunjukkan bahawa kes penculikan kanak-kanak seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian. Pelbagai pihak telah mengambil langkah-langkah keselamatan untuk kanak-kanak, termasuk ibu bapa diseru untuk sentiasa mengawasi anak-anak mereka, pihak sekolah pula disarankan untuk memasang CCTV di luar kawasan sekolah dan pihak sekolah juga disarankan untuk tidak membenarkan orang yang tidak dikenali untuk mengambil kakak-kanak tersebut selain daripada ibu bapa mereka sendiri.

Tidak ketinggalan juga badan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya diwujudkan pendidikan mengenai keselamatan terhadap kanak-kanak seperti dilaksanakan kempen katakan“tidak” kepada orang yang tidak dikenali. Dan yang terbaru pihak berkuasa telah melancarkan portal kanak-kanak hilang. Portal ini bertujuan untuk meningkatkan peluang kanak-kanak hilang ditemui, dan memberikan kesedaran kepada pihak ibubapa. Namun malangnya langkah-langkah yang dilakukan tidak memberikan penyelesaian yang tuntas. Jadi, sampai bila kita mahu terus berharap kepada penyelesaian yang dangkal ini? Persoalannya lagi penyelesaian yang diambil adakah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya?

Bila kita ingin mencari penyelesaian yang benar-benar berkesan maka perlulah terlebih dahulu mencari punca bagi masalah dan jenayah ini dilakukan. Masalah ini berlaku dan berleluasa apabila Islam iaitu agama yang diturunkan untuk mengatur kehidupan manusia tidak diterapkan secara kaffah (menyeluruh) menyebabkan individu-individu tidak dididik untuk menjadi individu yang bertakwa. Segelintir masyarakat pula tidak mengambil peduli dan tidak menjalankan tanggungjawabnya dalam amar makruf nahi mungkar. Negara pula sebagai pihak yang berkuasa tidak menerapkan sistem-sistem Islam.

Hanya dengan penerapan Islam secara kaffah mampu untuk menyelesaikan segala permasalahan yang ada sekarang. Firman Allah SWT,

“Dan hendaklah engkau memutuskan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, bahawasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” [TMQ Al- Maidah:49].

Sebagai contoh, dasar pendidikan Islam yang menjadikan aqidah Islam sebagai teras kurikulum mampu melahirkan individu yang bertakwa. Sistem uqubat Islam pula bersifat zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus dosa) . Namun, sistem Islam hanya dapat dizahirkan dalam konteks negara Khilafah. Bukan seperti sekarang di mana negara menerapkan sistem ciptaan akal manusia iaitu sekular-kapitalis yang telah terbukti kerosakannya.

Waallahu A’lam

Pn Hidayah Muhammad
(Ketua MHTM Cawangan Sandakan)

Sumber berita:

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment