Kita Belum Merdeka

Disunting oleh: Dr Ummu Hani (Ahli Lajnah Tsaqafiyah MHTM)

Sudah 59 tahun Malaysia mengisytiharkan kemerdekaannya. Namun, sebenarnya rakyat negara ini belum benar-benar merdeka. Malaysia sebenarnya masih dijajah. Sebagai contohnya, lihat kepada tahap kemakmuran rakyat yang masih jauh daripada apa yang dicita-citakan dalam perlembagaan. Global Competitiveness Report 2015-2016, yang diterbitkan oleh World Economic Forum (WEF) pada 30 September 2015, meletakkan Malaysia di kedudukan ke-18 daripada 140 ekonomi teratas dunia, dengan jumlah USD10,110 dan anggaran pendapatan bulanan sebanyak RM5,173. Selain itu, berdasarkan data KDNK dari World Bank, Malaysia menduduki tempat ke 55 daripada 252 negara-negara dunia bagi purata pertumbuhan ekonomi daripada tahun 2010 hingga 2015 iaitu kenaikan sebanyak 5.78 peratus. Malah, Malaysia dapat mengatasi pertumbuhan ekonomi negara maju seperti Amerika Syarikat yang hanya meningkat sebanyak 2.21 peratus di tangga ke 154 dan United Kingdom sebanyak 1.96 peratus di tangga ke 165 bagi jangka tahun yang sama. Malah jika dilihat daripada pariti kuasa beli (PPP) Malaysia masih lebih baik berbanding dengan kedua-dua negara tersebut termasuk negara jiran Singapura dan Brunei.


Namun, ternyata rakyat masih belum sejahtera. Ketidakseimbangan golongan yang berpendapatan tinggi dan golongan yang berpendapatan rendah amat ketara. Kita sentiasa mendengar keluh-kesah tentang kenaikan harga pada setiap tahun dan bermacam-macam persoalan lagi. Padahal Malaysia adalah negara dengan kekayaan semula jadi yang luar biasa; di darat mahupun di lautan, di permukaan mahupun di perut bumi. Malangnya, kekayaan yang berlimpah ruah itu bukan untuk kesejahteraan rakyat, tetapi lebih banyak dinikmati oleh pihak-pihak asing. Keadaan ini tidak banyak berbeza daripada zaman penjajahan dahulu; mirip pada zaman British dahulu.

Negara ini juga masih sangat bergantung kepada pihak asing dalam pelbagai aspek. Bukan sahaja syarikat-syarikat asing yang mencengkam negara ini. Bahkan para pembuat dasarnya juga adalah titipan asing atau yang benar-benar dapat menjamin kepentingan pihak asing di negara ini. Penguasaan pihak asing keatas tanah dan air serta kekayaan negara ini, juga pengaruh pihak asing dalam dasar negara ini, hanyalah potret daripada ‘kemunafikan (hipokritisme)’ para pemimpin negara ini di tengah-tengah rasa cinta tanah air dan seruan mempertahankan negara yang dilaung-laungkan pada bulan Ogos ini.

Masih Terjajah

Penjajahan (imperialisme) adalah politik untuk menguasai wilayah lain demi kepentingan pihak yang menguasainya. Penjajahan gaya lama dilakukan dengan menggunakan kekuatan tentera, mengambil alih dan menduduki satu wilayah serta membentuk pemerintahan kolonial di negara/wilayah jajahan. Namun, cara ini secara amnya telah ditinggalkan kerana membangkitkan tentangan daripada penduduk wilayah yang dijajah yang merasakan penjajahan langsung dengan ketara. Oleh kerana itu, penjajahan kemudian berubah dengan gaya baharu yang tidak mudah dirasakan oleh pihak yang dijajah. Penjajahan dilakukan melalui kawalan dan menanamkan pengaruh ke atas ekonomi, politik, pemikiran, budaya, undang-undang dan pertahanan ke atas wilayah yang dijajah. Namun, tujuannya tetap sama, iaitu untuk mengeksploitasi kekayaan wilayah itu dan mengalirkannya ke negara penjajah.

Penjajahan inilah yang disebut oleh Syaikh Taqiyyuddin an-Nabhani, dalam kitab Mafâhim Siyâsiyah, sebagai metod baku negara-negara pengusung utama ideologi Kapitalisme untuk menyebarkan fahamannya dan mempertahankan pengaruhnya ke seluruh penjuru dunia.

Dengan melihat bentuk penjajahan gaya baharu ini, dikaitkan dengan fakta yang terjadi di negara ini, adalah amat jelas bahawa negara ini belum bebas daripada penjajahan. Jelas sekali, negara ini masih dicengkam oleh penjajahan gaya baharu.

Kemerdekaan Hakiki

Kemerdekaan hakiki adalah ketika manusia bebas daripada segala bentuk penjajahan, eksploitasi dan penghambaan kepada sesama manusia. Mewujudkan kemerdekaan hakiki itu merupakan misi Islam. Islam diturunkan oleh Allah SWT untuk menghapuskan segala bentuk penjajahan, eksploitasi, penindasan, kezaliman dan penghambaan kepada manusia oleh manusia secara umum.

Yunus bin Bukair RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah menulis surat kepada penduduk Najran, yang antara kandungannya berbunyi,

أَمّا بَعْدُ فَإِنّي أَدْعُوكُمْ إلَى عِبَادَةِ اللّهِ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ وَأَدْعُوكُمْ إلَى وِلاَيَةِ اللّهِ مِنْ وِلاَيَةِ الْعِبَادِ

“…Amma ba’du. Aku menyeru kamu kepada penghambaan kepada Allah daripada penghambaan kepada hamba (manusia). Aku juga menyeru kamu kepada kekuasaan (wilâyah) Allah daripada kekuasaan hamba (manusia) …” (Ibn Kathir, Al-Bidâyah wa an-Nihâyah, v/553, Maktabah al-Ma’arif, Beirut).

Misi mewujudkan kemerdekaan hakiki untuk semua umat manusia itu juga dinyatakan secara jelas dalam dialog Jeneral Rustum (Parsi) dengan Mughirah bin Syu’bah yang diutus oleh Panglima Saad bin Abi Waqas RA. Kenyataan misi itu diulang lagi dalam dialog Jeneral Rustum dengan Rab’i bin ‘Amir (utusan Panglima Saad bin Abi Waqas RA) yang diutus setelah Mughirah bin Syu’bah dalam Perang Qadisiyah untuk membebaskan Parsi. Jeneral Rustum bertanya kepada Rab’i bin ‘Amir, “Apa yang kamu bawa?” Rab’i bin menjawab, “Allah telah mengutus kami. Demi Allah, Allah telah mendatangkan kami supaya kami mengeluarkan sesiapa sahaja yang mahu keluar daripada penghambaan kepada hamba (manusia) menuju penghambaan hanya kepada Allah; daripada kesempitan dunia menuju kelapangannya; dan daripada kezaliman agama-agama (selain Islam) menuju keadilan Islam…” (Ibnu Jarir at-Tabari, Târîkh al-Umam wa al-Mulûk, II/401, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, Beirut).

Penghambaan kepada sesama manusia bukan hanya diterjemahkan secara literal sebagai penghambaan seperti dahulu. Penghambaan kepada sesama manusia pada zaman moden ini ditunjukkan dalam bentuk peraturan dan undang-undang buatan manusia yang menggantikan peraturan Allah SWT. Inilah yang menjadi doktrin demokrasi; kedaulatan ada di tangan rakyat (manusia). Lebih buruk lagi jika peraturan, dan undang-undang tersebut diimport daripada pihak asing/penjajah. Bermakna, peraturan dan undang-undang pihak asinglah yang dijalankan. Inilah penjajahan moden kerana ia masih berterusan di negara ini.

Islam, dengan teras ajarannya iaitu tauhid akan membebaskan manusia daripada penghambaan ala demokrasi ini. Sebabnya, dalam Islam penyerahan kekuasaan membuat hukum (menentukan halal-haram) kepada manusia—mengikut doktrin demokrasi—adalah salah satu bentuk syirik. Syirik seperti itulah yang telah berakar umbi dalam Bani Israel.

اِتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ

“Mereka menjadikan para pendeta dan para rahib mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah…” [TMQ at-Taubah (9): 31].

Makna ayat tersebut dijelaskan dalam riwayat daripada jalur Adi bin Hatim RA. Beliau menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah membaca ayat tersebut lalu bersabda,

أَمَا إِنَّهُمْ لَمْ يَكُونُوا يَعْبُدُونَهُمْ وَلَكِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا أَحَلُّوا لَهُمْ شَيْئًا اسْتَحَلُّوهُ وَإِذَا حَرَّمُوا عَلَيْهِمْ شَيْئًا حَرَّمُوهُ

“Mereka memang tidak menyembah para rahib dan pendeta mereka. Namun, jika para rahib dan pendeta mereka menghalalkan atas mereka sesuatu, maka mereka pun menghalalkannya, dan jika para rahib dan pendeta mereka mengharamkan atas mereka sesuatu, maka mereka pun mengharamkannya” [HR at-Tirmizi].

Di sinilah Islam datang untuk membebaskan manusia daripada segala bentuk penghambaan kecuali penghambaan hanya kepada Allah SWT. Islam datang untuk membebaskan manusia daripada kesempitan dunia akibat penerapan peraturan buatan manusia menuju kelapangan dunia (rahmatan lil alamin). Islam juga datang untuk membebaskan manusia daripada kezaliman agama-agama dan sistem-sistem selain Islam menuju keadilan Islam. Hal itu diwujudkan oleh Islam dengan membawa ajaran tauhid yang memestikan pengaturan kehidupan manusia dengan hukum dan undang-undang yang bersumber daripada wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT, Zat Yang Maha Adil dan Maha Sempurna.

Semua itu akan menjadi kenyataan di tengah-tengah kehidupan dan boleh dirasakan oleh masyarakat ketika ajaran tauhid, hukum dan undang-undang yang dibawa oleh Islam itu diambil dan diterapkan untuk mengatur semua urusan kehidupan. Tanpa itu, maka kemerdekaan hakiki, kelapangan dunia dan keadilan Islam itu tidak akan menjadi kenyataan. Selama peraturan, hukum dan sistem buatan manusia yang bersumber daripada akal dan hawa nafsunya terus diterapkan dan dipertahankan maka selama itu pula akan terus terjadi penjajahan, kesempitan dunia dan kezaliman. Allah SWT telah memperingatkan hal itu,

وَمَنْ أَعْرَضَ عَن ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

“Sesiapa yang berpaling daripada peringatan-Ku maka sungguh dia akan menjalani kehidupan yang sempit dan Kami akan mengumpulkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Taha (20): 124].

Wahai umat Islam,
Kemerdekaan hakiki itu sesungguhnya ada dalam penerapan sistem hukum Islam secara keseluruhan. Oleh kerana itu, perjuangan dengan bersungguh-sungguh untuk menerapkan peraturan dan hukum Allah SWT iaitu syariah Islam, untuk mengatur segala urusan kehidupan dalam masyarakat perlu terus dilakukan sehingga Khilafah Rasyidah yang mengikuti manhaj kenabian dapat ditegakkan. Hanya dengan itu kemerdekaan hakiki dapat benar-benar terhasil, kelapangan dunia dapat dirasai oleh seluruh rakyat dan keadilan dapat dinikmati oleh sesiapa sahaja. Hal itu pasti akan terwujud kerana ia adalah janji Allah SWT dan khabar gembira daripada Rasulullah SAW.

WalLâh a’lam bi as-sawâb. 

Artikel asal: Nasyrah al-Islam “Kita Belum Merderka”

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment