Layakkah Kita Turut Merayakan Hari Raya?

Hari Raya adalah hari kemenangan. Bagi siapa? Bagi sesiapa sahaja yang berjaya meraih ketakwaan, setelah menempuhi selama sebulan penuh berpuasa. Oleh kerana takwa adalah hikmah di sebalik perintah berpuasa, maka tidak semua orang yang berpuasa dapat meraihnya. Kerana itulah Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,


كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلاَّ الجُوْعُ وَالْعَطْشُ

Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa, kecuali hanya lapar dan dahaga” [HR. An-Nasa’i, Ibn Majah, ad-Darimi, al-Hakim].

Orang yang bertakwa itu, kata Saidina Ali, adalah orang yang takut kepada Rabb yang Maha Agung (khauf min ar-Rabb al-Jalil); menjalankan apa yang diperintahkan oleh Allah (al-‘amal bi at-tanzil); rela terhadap yang sedikit (ar-ridha bi al-qalil), dan bersedia untuk menghadapi Hari Kebangkitan (isti’dad li yaumi ar-rahil), ketika di bawa ke Padang Makhsyar, dan diminta pertanggungjawaban satu per satu di hadapan Allah.

Dengan takwa yang ada di dalam dada, kita dapat menunaikan puasa sebulan penuh dengan keyakinan penuh, semata-mata kerana Allah, serta hanya mengharap redha-Nya, bukan kerana apa-apa, dan sesiapa pun. Begitu juga dengan takwa, kita dapat melaksanakan qiyam Ramadhan sebulan penuh dengan keyakinan penuh, semata-mata kerana Allah, serta hanya mengharap reda-Nya, bukan kerana apa-apa dan sesiapa pun. Dengan semuanya itu, Nabi juga menegaskan bahawa dosa-dosa kita sebelum ini akan diampunkan oleh Allah.

Bukan itu sahaja, sepanjang Ramadhan, kerana takwa di dalam dada, kita menghidupkan siang dan malamnya dengan ketaatan. Dengan itu, kita berjaya menuai amal soleh sebanyak-banyaknya. Belum lagi, ketika nilainya dilipatgandakan oleh Allah, sehingga keberkatannya mengalir deras. Lebih-lebih lagi, ketika kita berjaya merealisasikan misi-misi dan kerja-kerja besar dalam bulan yang agung dan mulia ini.

Wajarlah, jika kerana semuanya itu, kemudian kita merayakan Hari Raya Aidilfitri, untuk merayakan kemenangan dan kejayaan kita. Kemenangan dan kejayaan kita mengalahkan syaitan, musuh nenek moyang kita, sama ada syaitan jin mahu pun manusia, termasuk diri kita sendiri. Kita juga berjaya menjaga diri kita dalam ketaatan dan tiada rekod dalam berbuat dosa atau maksiat. Oleh itu, kejayaan ini layak kita rayakan, sebagai Hari Raya kita. Sambil terus berikhtiar dan berdoa, supaya kita dapat sampai ke Hari Raya yang akan datang.

Di saat kita terus berikhtiar dalam ketaatan, sehingga ketika ajal menjemput kita, kita juga tetap istiqamah dalam ketaatan. Ini juga merupakan Hari Raya yang layak kita rayakan. Sambil terus berikhtiar, dan berdoa, memohon kepada-Nya, supaya kita dapat sampai ke Hari Raya yang akan datang, dimana ketika kita dibangkitkan dari kubur dan memperoleh catatan amal perbuatan kita, dan berjaya melepasi semua pertanggungjawaban kata dan perbuatan kita di hadapan Allah ‘Azza wa Jalla. Kita juga berjaya melepasi ketika melintas titian sirat, kerana tidak ada jaminan bagi sesiapapun untuk terlepas darinya.

Sebagaimana firman Allah:

وَإِنْ مِنْكُمْ إِلاَّ وَارِدُهَا، كَانَ عَلَى رَبِّكَ حَتْمًا مَقْضِيًّا

Tidak seorang pun di antara kalian, kecuali pasti menjadi santapan neraka. Hal itu bagi Tuhan-Mu merupakan keputusan yang pasti” [TMQ Maryam: 71].

Hal itu merupakan sesuatu yang membuatkan ‘Abdullah bin Rawwahah, Jeneral yang begitu garang dalam menghadapi 100 000 tentera Rom, itu menangis teresak-esak ketika mendengar ayat ini. Ketika dia tidak dapat memastikan dirinya terlepas atau tidak daripada azab api neraka. Maka, ketika kita melintasi titian sirat dan terlepas dari neraka, itu merupakan kemenangan dan kejayan kita yang layak kita rayakan.

Setelah itu, kita juga dapat menjejakkan kaki kita di syurga, sekaligus merayakan Hari Raya kita yang keempat. Setelah kita dapat memastikan, bahawa syurga yang dijanjikan Allah itu dalam genggaman kita. Setelah kita berharap-harap cemas, sambil terus melaksanakan ketaatan dan menjauhi kemaksiatan. Ia merupakan sesuatu yang mendorong para sahabat, siang-malam bekerja keras tidak mengenal lelah. Bahkan, membuat seorang Imam Ahmad tidak kurang setiap malam, dikatakan menunaikan solat sehingga 1000 rakaat. Ketika ditanya oleh anak lelakinya, “Wahai ayah, bilakah ayah akan berehat?” Beliau menjawab, “Bagaimana kita boleh berehat, sedangkan syurga di hadapan kita, belum kita gapai.” Maka, ketika syurga yang dirindukan itu benar-benar dalam genggaman, itu merupakan kemenangan yang layak kita rayakan.

Akhirnya, kita pun sampai kepada kemuncak Hari Raya, ketika kita dikumpulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam syurga-Nya. Dalam kitab Raudhatu al-Muhibbin, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah mengutip hadis Nabi yang mengatakan bahawa ketika itu Allah bertanya, “Wahai hamba-hamba-Ku, adakah yang Aku janjikan kepada kalian belum Aku tunaikan?” Para penghuni syurga itu pun menjawab, “Ya Allah, apa yang Engkau janjikan kepada kami, semuanya telah Engkau tunaikan kecuali, melihat wajah-Mu.” Maka, Allah pun titahkan kepada Jibril untuk membuka tabir-Nya. “Wahai Jibril, angkatlah tabir-Ku yang pertama.” Jibril pun mengangkat tabir-Nya yang pertama. Para penghuni syurga itu pun menyaksikan cahaya-Nya yang begitu terang. Mereka pun membayangkan itulah Allah, lalu mereka bersimpuh dan bersujud kepada-Nya. Allah titahkan kepada mereka, “Wahai hamba-hamba-Ku, bangunlah kalian. Ini adalah syurga, tempat menuai hasil, bukan tempat beramal lagi.” Mereka pun bangkit. Allah kembali menitahkan kepada Jibril untuk mengangkat tabir-Nya yang kedua. Jibril pun mengangkatnya, sehingga terlihat bayangan yang lebih jelas. Ketika itu, para penghuni syurga itu pun bersimpuh dan bersujud kepada-Nya. Allah titahkan kepada mereka, “Wahai hamba-hamba-Ku, bangunlah kalian. Ini adalah syurga, tempat menuai hasil, bukan tempat beramal lagi.” Mereka pun bangkit. Allah kembali menitahkan kepada Jibril untuk mengangkat tabir-Nya yang ketiga. Jibril pun mengangkatnya, hingga terlihatlah “wajah”-Nya. Ketika itu, para penghuni syurga itu pun bersimpuh dan bersujud kepada-Nya. Air mata mereka pun tumpah, fikiran mereka melayang dan semua nikmat yang pernah mereka rasakan sirna, kalah dengan kenikmatan melihat “wajah”-Nya.

Itulah kemuncak Hari Raya, yang perlu kita rayakan. Semoga kita dapat meraihnya, bukan hanya satu Hari Raya, tetapi kelima-limanya. Bukan hanya di dunia yang fana ini, tetapi juga di sana, negeri abadi, di Akhirat dan jannah-Nya.

Oleh: KH Hafidz Abdurrahman

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment