Muhammad Bin Sirin

Muhammad bin Sirin dilahirkan di Basrah pada tahun 33 Hijriyah. Beliau adalah maula (tuan) Anas bin Malik. Beliau pernah bertemu dengan 30 orang Sahabat Nabi SAW.

Muhammad bin Jarir at-Tabari berkata, “Ibnu Sirin adalah seorang ulama yang sangat fakih, alim, warak, berakhlak tinggi dan memiliki banyak hadis yang disahkan oleh ahlul ilmi dan kemuliaan.” (Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 4/601).

Perkara yang sama dikemukakan oleh Ibnu Saad.
Mengenai kefakihannya, Uthman al-Bhitti berkata. “Tidak ada di Kota Basrah seorang pun yang paling memahami keputusan hukum syariah selain Muhammad bin Sirin.” (Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala’, 4/6o8).

Bahkan Ibnu Yunus berkata, “Ibnu Sirin lebih pandai daripada al-Hasan al-Basri dalam pelbagai perkara.”

Ibnu Sirin juga seorang ahli ibadah. Beliau selalu melakukan puasa Nabi Daud (Ibn Saad, At-Tabaqat al-Kubra, 7/200).

Beliau juga banyak berzikir mengingati Allah SWT. Abu Awanah berkata, “Tidak seorang pun melihat Ibn Sirin tanpa sedang berzikir kepada Allah SWT.” (Ibnu Hajar Asqalani, Tahzib at-Tahzib, 9/241)

Berkaitan kewarakannya, Bakr bin Abdillah al-Muzani berkata, “Siapa ingin melihat seorang yang paling warak yang pernah aku temui, lihatlah Muhammad bin Sirin.” (Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala’ 4/614).

Al-Khatib al-Baghdadi juga berkata, “Muhammad bin Sirin adalah seorang ulama yang terkenal dengan kewarakannya pada zamannya.” (Al-Baghdadi,Tarikh Baghdad, 5/300).

Berkaitan dengan itu, Gabenor Iraq pada zamannya, sebagai contoh pernah cuba hendak memberi wang kepadanya sebanyak 40 ribu dirham. Namun, Ibnu Sirin menolak. Anak saudaranya berasa hairan, mengapa beliau menolak pemberian tersebut. Beliau mengingatkan anak saudaranya dan berkata, “Ketahuilah, dia memberi aku hadiah kerana dia fikir aku seorang yang baik. Jika aku baik maka aku tidak layak untuk menerima wang tersebut. Sebaliknya, jika aku tidak sebaik yang dia sangka, lebih tidak layak lagi aku mengambil hadiah itu.” (Dr. Abdurrahman Ra’at Basya, Suwaru min Hayati at-Tabi’in).

Dalam kehidupan seharian, Muhammad bin Sirin membahagi masanya untuk melakukan tiga aktiviti; beribadat, menuntut ilmu dan berniaga. Sebelum subuh sehingga waktu Duha beliau berada di Masjid al-Basrah. Di sana beliau belajar dan mengajar pelbagai ilmu Islam. Selepas Duha sehingga waktu petang beliau berniaga di pasar. Ketika berniaga beliau selalu menghidupkan suasana ibadat dengan sentiasa berzikir dan melakukan amar makruf nahi munkar. Pada malam harinya beliau khaskan untuk bermunajat kepada Allah SWT.

Dalam menceburi dunia perniagaan, beliau sangat berhati-hati. Beliau bimbang kalau-kalau terjebak ke dalam perkara yang haram.

Pada suatu ketika, ada seseorang datang untuk menagih hutang daripadanya sebanyak dua dirham. Beliau sendiri tidak merasakan telah berhutang dengan orang tersebut. Orang tersebut tetap dengan tuduhannya. Dengan memaksa, dia meminta Muhammad bin Sirin untuk bersumpah. Ketika beliau hendak bersumpah, ramai orang yang merasa hairan mengapa beliau mengikut kehendak penuduh tersebut. Salah seorang rakan Muhammad bin Sirin bertanya, “Syeikh, mengapa kamu mahu bersumpah hanya untuk masalah yang remeh, dua keping dirham, sedangkan semalam baru sahaja kamu telah merelakan 30 ribu dirham untuk diinfakkan kepada orang lain.”

Lantas Muhammad bin Sirin menjawab, “Ya, aku bersumpah kerana aku tahu bahawa dia memang telah berbohong. Jika aku tidak bersumpah, bermakna dia akan memakan barang yang haram.”

Berkaitan keberaniannya dalam menentang kemungkaran, Ibn Sirin pernah dipanggil oleh Gabenor Iraq, Umar bin Hubairah. Gabenor menyambut kedatangannya dengan meriah. Setelah beramah mesra sebentar, Gabenor bertanya kepadanya, “Bagaimana pendapat Syeikh tentang kehidupan di negara ini?”

Tanpa berbasa-basi, Ibnu Sirin menjawab, “Kezaliman hampir merata di negara ini. Saya melihat Tuan selaku pemimpin kurang memberi perhatian terhadap rakyat jelata.”

Belum lagi Muhammad bin Sirin selesai bercakap, anak saudaranya yang juga ikut ke istana Gabenor mencubit lengan Muhammad bin Sirin supaya beliau menghentikan kritikan pedasnya kepada Gabenor. Dengan tegas beliau berkata kepada anak saudaranya itu, “Diamlah engkau! Kalau aku tidak mengkritik Gabenor, nanti akulah yang akan ditanya di akhirat. Apa yang aku lakukan adalah bukti dan amanah umat. Sesiapa sahaja yang menyembunyikan amanah ini, nescaya dia berdosa.” (Dr. Abdurrahman Ra’at Basya, Suwar min Hayah at-Tabi’in).

Kelebihan lain yang ada pada diri Ibnu Sirin adalah akhlak mulia yang sentiasa menghiasi hidupnya. Ibnu Auf berkata, jika ada orang yang menyebut perkara-perkara buruk tentang seseorang di hadapan Ibnu Sirin, maka sebaliknya beliau akan menyebut perkara yang terbaik pada orang itu yang beliau tahu.

Berkaitan akhlaknya pula, Hafsah binti Sirin berkata, “Aku tidak pernah melihat Muhamad bin Sirin bersuara kuat di hadapan ibunya. Jika beliau berkata-kata dengan ibunya, beliau seperti seorang yang berbisik-bisik (sangat lembut)” (Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala’).

Salah satu nasihat emas Muhammad bin Sirin yang sering dinukilkan oleh para ulama adalah ucapannya, “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Oleh itu perhatikanlah daripada siapa kalian mengambil agama kalian.”

Muhammad bin Sirin meninggal dunia pada usianya 77 tahun di Basrah, seratus hari selepas kewafatan Hasan al-Basri, iaitu pada tahun 110 Hijriyah. Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh. 

Oleh: Arief B. Iskandar
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment