Parti Politik Dan Jalan Perubahan

Ketidakstabilan politik yang wujud di Malaysia hari ini, di samping menyaksikan perpecahan parti-parti politik sedia ada, dalam masa yang sama telah memunculkan parti-parti baru dan gabungan-gabungan baru sesama mereka. Terbaru, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed bersama bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan lain-lain penyokong mereka yang kesemuanya telah disisihkan dan kecewa dengan UMNO, telah membentuk satu parti baru yang diberi nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Dalam pergolakan politik sebelumnya, kita menyaksikan kemunculan Parti Amanah Negara (PAN), yang terdiri daripada mereka yang kecewa dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS), keluar parti dan menubuhkan PAN yang kini menjadi saingan kepada PAS. Setelah keluar dari Pakatan Rakyat, PAS pula telah bergabung dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang juga sebuah parti yang agak baru ditubuhkan iaitu pada 2012, hasil kekecewaan Presidennya, Tan Sri Abdul Kadir bin Syeikh Fadzir dengan parti lamanya UMNO.

Kini kesemua ‘parti kecewa’ tersebut, walaupun sebenarnya tidak sehaluan, tetapi tetap berusaha bergabung untuk menjatuhkan UMNO, meski pun dalam keadaan buntu mencari titik temu hasil ketidaksefahaman sesama mereka. Akhirnya, UMNO yang juga sebenarnya dalam keadaan sangat lemah, masih terus dapat bertahan sebagai parti pemerintah dek kelemahan dan percakaran antara musuh-musuhnya. Dalam masa yang sama parti assabiyyah terbesar Melayu itu mendapat sedikit kekuatan apabila PAS dilihat cuba mendampinginya, walaupun dinafikan oleh parti Islam tersebut. Hasil daripada kemelut dan suasana yang tidak menentu ini, rakyatlah yang menjadi mangsa, sama ada terus ditindas dengan parti pemerintah yang terdesak dan sedang berusaha bermati-matian untuk mengekalkan kuasa, atau “tertipu” dengan parti-parti lain yang cuba mengambil hati mereka demi undi menuju Putrajaya.

Parti Politik Dalam Demokrasi

Umum mengetahui bahawa parti-parti yang sedang memegang kekuasaan sekarang ialah parti sekular dan bercorak kebangsaan. Konsekuensinya, sistem, undang-undang dan cara hidup yang diamalkan ialah yang terpisah daripada agama. Mereka mengekalkan aturan-aturan peninggalan penjajah dan mencipta aturan-aturan sendiri sebagaimana diajar oleh penjajah kepada mereka. Manakala sistem ekonomi yang diamalkan juga adalah ekonomi Kapitalis yang dibawa dan diamalkan oleh penjajah. Kekayaan negara yang sepatutnya menjadi milik rakyat dan diagihkan kepada rakyat, diberikan oleh pemerintah sekular ini kepada kuasa asing atau dimiliknegarakan agar keuntungan dapat mereka kaut secara peribadi. Penerapan sistem ekonomi Kapitalis ini telah mengempiskan perut rakyat dan membuncitkan perut mereka. Dengan segala kezaliman dan penindasan yang berlaku, walaupun mereka namakan pemerintahan mereka sebagai demokrasi, hakikatnya tidak ada beza dengan pemerintahan kuku besi!

Masalah ini diparahkan lagi dengan kewujudan parti-parti Islam yang pada awalnya ingin merubah keadaan atau keburukan yang sedia ada, tetapi akhirnya mereka pula tenggelam dengannya. Hal ini tidak lain kerana mereka juga mengambil sistem demokrasi dan berjuang di dalam sistem kufur ini dan tidak mahu keluar darinya, yang akhirnya menjadikan mereka sama sahaja dengan parti sekular yang ada. Mereka tidak memiliki fikrah yang jelas dan tegas serta sering menundukkan Islam dengan realiti. Hasilnya, fikrah Islam sering diubahsuai agar berjalan seiring dengan demokrasi dan lebih buruk, mereka mengatakan bahawa demokrasi yang jelas-jelas berasal dari Barat itu, sebagai berasal dari Islam. Mereka terus keliru dan mengelirukan umat Islam dengannya. Sudahnya, sistem tidak berubah, tetapi mereka berjaya diubah oleh sistem.

Inilah realiti yang wujud dalam sistem demokrasi di mana parti-parti yang ada hanya menumpukan perjuangan dan kekuatan mereka kepada pilihan raya! Baik parti kafir, sekular mahupun parti Islam, perjuangan besar mereka adalah untuk menang dalam pilihan raya. Atas dasar ini, seluruh orientasi parti, aktiviti, kewangan dan kekuatan parti digerakkan ke arah memenangi pilihan raya. Begitu juga dengan kritikan dan hentaman kepada pihak lawan, juga dihalakan kepada pilihan raya dan yang paling penting, apa pun perhatian dan keprihatinan yang diberikan oleh parti kepada rakyat, juga dalam rangka memenangi pilihan raya. Lebih buruk, dalam rangka memenangi pilihan raya, berapa banyak parti dalam demokrasi, termasuklah parti Islam, mengamalkan konsep “matlamat menghalalkan cara”.

Fungsi Dan Tugas Parti Politik Menurut Islam

Muslim mana pun yang mahu menubuhkan parti, wajib baginya menjadikan Islam sebagai asas. Haram untuk mendirikan parti/gerakan atas dasar sekularisme, nasionalisme, patriotisme, komunisme dan lain-lain tujuan yang menyalahi Islam. Satu-satunya tujuan penubuhan parti yang dibenarkan oleh Islam ialah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 104 yakni untuk menyeru manusia kepada Islam dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Inilah fungsi dan tugas parti politik menurut Islam. Sungguh malang apabila kita saksikan pada hari ini, berapa banyak dari parti/gerakan yang ditubuhkan oleh orang Islam, tetapi menyalahi perintah Allah SWT daripada aspek ini, kerana apa yang mereka pentingkan ialah tidak menyalahi demokrasi. Malah, berapa banyak dari parti-parti Islam yang sedia ada, turut telah tersasar daripada peranan kewujudan mereka yang sebenar, dek bergelumang dengan demokrasi dan memfokuskan perjuangan kepada memenangi pilihan raya, bukan lagi kepada mematuhi perintah dan larangan Allah SWT. Kerana tunduk kepada realiti, mereka hilang pertimbangan bahawa pilihan raya bukanlah jalan yang telah ditempuh oleh Rasulullah SAW untuk mendirikan pemerintahan Islam.

Aktiviti amar makruf nahi mungkar yang wajib dilakukan oleh parti politik adalah amat luas dan yang paling utama ialah menyeru kepada pemerintah untuk berbuat makruf (menerapkan hukum Islam) dan melarangnya berbuat mungkar (menerapkan hukum sekular). Malah, seruan amar makruf nahi mungkar kepada pemerintah merupakan aktiviti politik yang amat penting dan paling menonjol dilakukan oleh parti politik. Atas dasar ini, parti politik Islam hendaklah sebuah parti yang berideologi Islam, mentabanni (mengambil dan menetapkan) fikrah-fikrah Islam serta mengambil hukum-hukum dan penyelesaian setiap masalah semata-mata dari Islam. Para anggotanya hendaklah terdiri daripada mereka yang ditasqif (dibina) dengan Islam untuk menjadi pejuang Islam, menjadi ulama dan umara’ yang bakal memimpin umat dan memerintah negara dengan Islam. Parti politik Islam juga wajib mengambil thariqah (jalan) dakwahnya sebagaimana thariqah Rasulullah SAW dalam menegakkan sebuah Negara Islam.

Selain itu, parti politik juga berperanan untuk membina dan menyedarkan masyarakat untuk berjuang bersamanya bagi mengembalikan semula kehidupan Islam secara kaffah. Tugas parti politik bukanlah untuk membujuk rayu, menjanji atau menawarkan itu dan ini atau menipu masyarakat dalam rangka untuk mendapatkan undi daripada masyarakat. Dengan kata lain, tugas parti politik bukanlah untuk meraih kepentingan duniawi atau diri sendiri, melainkan berjuang untuk kepentingan Islam dan umat Islam dalam rangka menghapuskan kebatilan dan kemungkaran (termasuk sistem sekular) dan menjadikan Islam sebagai satu-satunya sistem dan peraturan yang mengatur kehidupan individu, masyarakat dan negara.

Perjuangan Politik Di Luar Parlimen

Sama ada menepati atau menyalahi syarak, setiap parti politik semestinya ditubuhkan dengan objektifnya yang tersendiri. Apa yang pasti, penubuhan setiap parti politik adalah dalam rangka ingin melakukan perubahan, sama ada perubahan yang bersifat sebahagian (partial) mahupun sepenuhnya (total). Parti politik yang berjuang dalam demokrasi percaya bahawa perubahan hanya boleh ditempuh melalui parlimen, malah ada yang percaya dan membelenggu diri dengan menjadikan Parlimen sebagai satu-satunya jalan untuk melakukan perubahan dan mendapat kuasa. Lebih malang, parti politik Islam juga percaya kepada mitos ini, yakni jalan perubahan dan jalan untuk menuju kekuasaan hanyalah melalui sistem yang sedia ada. Dengan memenangi pilihan raya dan menguasai Parlimen, maka sistem dan undang-undang akan dapat diubah kepada Islam, dakwa mereka. Lebih menyedihkan, ada yang menganggap perjuangan dalam demokrasi sebagai jihad! Atas dasar itu, mereka bersungguh-sungguh mengabdikan diri kepada demokrasi, walaupun berpuluh-puluh kali ditipu dan dipatuk dari lubang yang sama.

Sihir demokrasi telah berjaya menutup akal mereka yang waras terhadap fakta bahawa perubahan yang mereka ingini atau penerapan hukum Islam tidak pernah dapat terjadi melalui jalan Parlimen. Mereka tidak nampak bahawa perjuangan melalui Parlimen bukanlah metode untuk melakukan perubahan. Parlimen bukan sahaja tidak dapat dijadikan sebagai metode perubahan, malah terdapat unsur lain yang menjadikannya sebagai haram untuk dijadikan sebagai metode. Jalan perubahan melalui Parlimen hanya bersifat teori dan angan-angan belaka dan langsung tidak praktikal. Fakta yang ada menunjukkan dengan jelas bahawa parti-parti politik demokrasi dan ahli-ahli Parlimen sejak awal lagi telah “diikat” dengan Perlembagaan beserta segala undang-undang yang ada yang menghalang penerapan hukum Allah SWT. Ini bererti pilihan raya dan Parlimen bukannya wujud dalam rangka membenarkan perubahan dilakukan, sebaliknya dalam rangka memastikan tidak akan berlakunya perubahan mendasar pada sistem dan undang-undang yang sedia ada. Sihir demokrasi telah berjaya menutup akal mereka yang waras bahawa sistem demokrasi itu bukannya di design untuk menerapkan Islam, sebaliknya bagi memastikan hukum Islam tidak terlaksana!

Mungkin ada yang bertanya baik secara sinis mahupun ikhlas, apakah perjuangan Islam di luar Parlimen berhasil dan bagaimana caranya? Jawapannya, apa yang utama di sini bukanlah hasil (kemenangan), tetapi apakah jalan yang diambil itu benar (syarie) atau tidak. Ini kerana kemenangan itu datangnya dari Allah SWT dan Dia tidak akan bertanya kenapa kita gagal, tetapi Dia akan bertanya apakah usaha yang kita lakukan itu menurut apa yang Dia perintahkan atau tidak? Rasulullah SAW adalah suri teladan yang wajib kita ikuti, bukan sahaja dalam solat, puasa dan haji, tetapi juga dalam menegakkan negara. Ternyata, perjuangan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sehingga tegaknya Negara Islam di Madinah bukanlah dilakukan melalui jalan yang diperuntukkan oleh sistem Jahiliyyah pada waktu itu, bukan juga dengan cara bergabung dengan pemerintahan kufur yang ada dan bukan juga dengan cara tadarruj (sedikit demi sedikit).

Malah, selogiknya dan seandainya mahu, pada waktu itu Rasulullah SAW telah pun ditawarkan dengan kekuasaan oleh kafir Quraisy, namun ternyata Junjungan Besar itu menolaknya mentah-mentah dan tidak mahu berkompromi dengan sistem kufur walau pun sedikit. Sesungguhnya perjuangan Rasulullah SAW adalah di luar daripada sistem kufur yang sedia ada, kerana jalan itulah yang diperintahkan oleh Allah SWT dan ternyata jalan perjuangan itu telah membuahkan hasil (dalam mendirikan negara dan menerapkan Islam). Jadi, jika ada persoalan perjuangan manakah di luar daripada Parlimen, di luar daripada pilihan raya dan di luar daripada sistem demokrasi yang telah berjaya? Maka jawapannya adalah perjuangan Rasulullah SAW.

Mungkin masih ada yang berhujah bahawa kita hendaklah realistik atau berpijak di bumi nyata. Sesungguhnya hujah seumpama ini menunjukkan kecetekan berfikir dan ketidakyakinan si penghujah terhadap Islam sebagai solusi dan satu-satunya jalan menuju perubahan. Siapakah yang tidak realistik sebenarnya, adakah golongan yang memperjuangkan demokrasi atau golongan yang memperjuangkan Islam? Realitinya, di sepanjang sejarah sehingga kini, seluruh perubahan masyarakat di dunia yang bersifat menyeluruh dan mendasar selalu berlaku di luar Parlimen dan di luar kotak demokrasi. Sejarah juga menyaksikan betapa banyak parti politik Islam yang berjuang dalam demokrasi terus gagal menerapkan hukum Allah, hatta setelah mereka berkuasa sekalipun. Realiti juga berbicara bahawa negara-negara Eropah berubah dari negara teokrasi ke negara-bangsa yang sekular tanpa melalui Parlimen. Rusia berubah dari sistem feudal ke sistem komunis, lalu berubah lagi menuju sistem kapitalis, juga tanpa melalui Parlimen.

Demikian juga perubahan di Turki dari sebuah Negara Islam (Khilafah Islamiyyah) menjadi negara republik sekular, juga di luar Parlimen dan di luar proses demokrasi. Daulah Khilafah (Turki) berubah menjadi negara sekular juga sama sekali bukan kerana kelompok Turki Muda berjuang menuntut perubahan melalui Parlimen. Turki Muda di bawah pimpinan Mustafa Kamal Ataturk berjaya menguasai Turki setelah didukung oleh kekuatan penjajah British. Mereka meniupkan semangat assabiyyah dan wathaniyyah ke dalam masyarakat dan berjaya meracuni pemikiran masyarakat sehingga dengan cara itu, mereka kemudian berjaya merombak bentuk negara dan undang-undang yang berlaku, menurut hawa mereka. Dengan dukungan dari kuffar British, Kamal Ataturk akhirnya berjaya meraih pemerintahan, lalu mengisytiharkan Republik Turki sekular, yang sekali gus menandakan berakhirnya pemerintahan Khilafah Islamiyyah yang telah berdiri dan menaungi dunia selama lebih 1300 tahun.

Khatimah

Wahai kaum Muslimin! Wahai parti politik dan gerakan Islam! Sepanjang Islam menguasai dunia selama 13 abad, tidak pernah timbul di benak kaum Muslimin bahawa sistem demokrasi itu adalah sistem Islam atau satu-satunya jalan melakukan perubahan ialah melalui Parlimen. Hanya setelah Barat menguasai dunia, termasuklah dunia Islam, barulah semua khurafat dan idea karut-marut tentang demokrasi muncul. Sedarlah bahawa demokrasi merupakan bentuk penjajahan moden kuffar Barat yang menusuk masuk ke negara dan tubuh umat Islam dengan cara yang amat halus. Selagi umat Islam berpegang kepada demokrasi, selagi itulah perubahan yang didambakan oleh umat Islam tidak akan dapat direalisasikan. Ingatlah bahawa perubahan masyarakat dan negara yang terjadi di jazirah Arab yang dipimpin oleh Rasulullah SAW adalah bermula dengan perubahan pemikiran. Baginda mengubah masyarakat yang pada waktu itu berpegang teguh dengan kekufuran, fanatisme jahiliah dan nasionalisme, menjadi masyarakat yang berpegang teguh dengan akidah Islam, dengan al-Quran dan al-Sunnah, melalui jalan dakwah dan thalab al-nusrah sehingga berdirinya Negara Islam yang lantas menjadi super power dan membawa rahmat kepada dunia. Wallahu a’lam.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment