Pokemon Go Membunuh Generasi Pembela Islam!

Pelbagai komentar dan pandangan daripada segenap lapisan tokoh dan masyarakat sejak aplikasi Pokemon Go telah mula boleh dimuat turun di Malaysia sejak 6 Ogos 2016. Tidak kurang juga fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos 2016 (https://www.malaysiakini.com/news/351284) yang tidak membenarkan umat Islam untuk bermainnya berdasarkan nas, faktor maslahah dan kemudaratan yang akan berlaku. Malah ada juga yang mengecam kerana aplikasi tersebut turut manjadikan masjid dan tanah perkuburan termasuk dalam lokasi pencarian pokeBall dan lokasi pertempuran dengan pemain lain. (http://www.ismaweb.net/2016/08/kata-pedang-pokemon-go-mula-cemari-masjid-tanah-perkuburan-islam/) .


Aplikasi yang baru sahaja di lancarkan awal Julai lalu di seluruh dunia manakala di sekitar Asia dan juga Malaysia dilancarkan pada awal Ogos lalu telah menjadi kegilaan orang ramai khususnya anak-anak muda. Malah kurang daripada seminggu sejak ia mula dilancarkan di Malaysia, telah berlaku kejadian kemalangan seorang wartawan jatuh motorsikal sewaktu mengejar karakter Pokemon di jalan raya. (http://www.bharian.com.my/node/181453) Ada juga yang di saman oleh polis trafik kerana leka melihat telefon bimbit ketika memandu dengan alasannya sedang memburu karakter Pokemon Go. (http://www.hmetro.com.my/node/157273)

Berita di luar negara pula telah mencatatkan berlakunya kes kematian pertama bagi pemain Pokemon Go yang diserang hendap di jalan raya ketika sedang asyik mencari makhluk maya permainan tersebut. Selain itu, berita juga melaporkan terdapat 20 orang remaja yang terkandas di tengah tasik selepas mencuri bot ketika bermain permainan tersebut. (http://www.hmetro.com.my/node/153470)

Komentar:

Kehadiran aplikasi permainan Pokemen Go ini tidak lain hanya menambahkan lagi kelalaian anak muda yang sedang bergelumang dengan keseronokan khayalan sosial media. Tidak cukup dengan permainan yang dimuat turun dalam alat-alatan yang mempunyai sistem ‘android’ serta di PC komputer, hiburan-hiburan yang dihidangkan sama ada dalam televisyen mahupun di luar, kini di tambah lagi dengan permainan yang menggunakan sistem realiti berperantara, yang pastinya ia dapat menarik perhatian setiap lapisan masyarakat oleh kerana keunikan yang ada pada permainan tersebut. Mana tidaknya, semenjak dilancarkan dua bulan lalu, jumlah capaian pemain yang aktif meningkat dengan pesatnya.

Dari satu aspek, masyarakat melihatnya hanya sebuah permainan biasa yang dimain untuk mengisi masa yang terluang. Namun, apabila kita mengamati dengan lebih dalam, hakikatnya hiburan ini merupakan serangan bertubi-tubi ke atas generasi Muslim agar tidak berganjak daripada dunia yang nyata. Nyatanya dunia kini memerlukan kekuatan fizikal dan kecergasan minda anak-anak muda terutamanya pemuda-pemuda Muslim, kerana satu waktu dahulu di tangan merekalah (para pemuda) pernah lahirnya sebuah peradaban Islam yang gilang gemilang, peradaban yang pernah digeruni dan disegani oleh sejagat.

Lihat sahaja pada susuk tubuh az-Zubair bin Awwam, seorang teman bicaranya Rasulullah SAW, salah seorang anggota pasukan berkuda, tentera yang berani merangkap pemimpin dakwah. Semua itu dilakukannya seawal usia 15 tahun. Begitu juga Sa’ad bin Abi Waqash merupakan seorang tentera berkuda kaum Muslimin yang paling berani di saat usianya mencecah 17 tahun. Beliau merupakan pemanah yang terbaik dan Sahabat Rasulullah SAW yang pertama kali mengalirkan darahnya untuk Islam. Usamah bin Zaid, namanya terkenal harum sejak berusia 12 tahun, seorang Muslim yang jiwanya kental dan kuat. Rasulullah SAW melantiknya sebagai panglima perang di usianya yang ke-20 dan memimpin armada perang menggempur negara adikuasa Romawi di perbatasan Syria dengan hasil kemenangan yang gemilang.

Tidak dilupakan juga, seorang pemuda yang tidak hidup bersama Rasulullah SAW namun beliau sangat meyakini terhadap janji-janji Rasulullah SAW. Beliau menggunakan masa keemasannya iaitu masa mudanya dengan penuh manfaat. Tidak dibiarkan walaupun seketika untuk terlalai oleh dunia yang fana. Buktinya apabila beliau sejak usia baligh hingga pengakhiran hidupnya tidak pernah meninggalkan solat wajib, solat sunat rawatib mahupun solat sunat tahajud disamping menyibukkan diri dengan pengkajian-pengkajian tsaqafah Islam dan ilmu-ilmu sains dan teknologi. Aktiviti itu menjadi aktiviti yang sering beliau laksanakan secara berterusan. Keperibadian itu membuatkan Allah memilih beliau sebagai pembuka kota Konstantinopel di saat usianya 21 tahun. Dialah Sultan Muhammad Al-Fateh, sebaik-baik pemimpin yang memimpin sebaik-baik pasukan sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Rasululullah SAW,

“Sungguh, Konstantinopel akan ditaklukkan oleh kalian. Maka, sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya yang menaklukinya” [HR Ahmad].

Mereka (para pemuda terdahulu) banyak memanfaatkan masa-masa keemasan mereka demi agamanya. Lebih-lebih lagi di saat Islam dan umatnya diperlekehkan dan dihina. Mereka saling berkejaran untuk menjadi pembela-pembela Islam. Semua tindakan mereka diarahkan kepada tujuan yang satu iaitu menaikkan martabat dan kemuliaan Islam.

Namun, berbeza dengan saat ini. Para pemuda berlumba-lumba untuk menduduki kedudukan yang teratas dalam permainan-permainan gajet yang ada, sibuk untuk merebut hadiah berupa wang imbalan daripada sesetengah permainan yang diadakan. Bukan sahaja tidak ada masa untuk sama-sama dalam perjuangan mengembalikan ke izzahan Islam, malah untuk memikirkan masalah-masalah umat Islam di serata dunia juga tidak dipedulikan. Walhal generasi muda inilah memiliki potensi besar dalam mengubah situasi politik dunia Islam sekarang melalui kebangkitan pemikiran mereka.

Dari sudut aspek inilah bahayanya permainan ini ketika mana ia membius pelakunya untuk mensia-siakan waktunya. Jika diberi pilihan antara bermain permainan di dalam gajet-gajet yang ada sekarang dengan mengkaji Islam, sudah tentu yang lebih dipilihnya adalah bermain. Hal ini kerana melakukan pengkajian memerlukan usaha yang serius dan hal itu tidah pernah diajarkan oleh budaya hedonisme. Sedarlah wahai kaum Muslimin, hari-harimu dibatasi jumlah masanya. Manfaatkan masa mudamu sebelum usia tuamu, dan manfaatkan masa luangmu sebelum datang masa sempitmu, untuk suatu hari dimana kamu tidak mampu mengambilnya kembali.

Sabda Rasulullah SAW,
“Manfaatkan lima keadaan sebelum datangnya lima; masa hidup sebelum datang matimu, masa sihat sebelum datang sakitmu, masa luang sebelum datang masa sempitmu, masa muda sebelum datang masa tuamu dan masa kaya sebelum datang masa fakirmu” [HR al-Hakim].

Oleh: Dr Aslam Diyana Selamat (AJK Pusat MHTM)

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment