Semangat Patriotik Hanya Memecah-belahkan Umat

Berita:

KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mahu rakyat di negeri ini menyerlahkan semangat patriotisme, menghayati erti kemerdekaan negara dan mengibarkan Jalur Gemilang bersempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 pada 31 Ogos ini. Beliau kesal dengan sikap sebahagian besar rakyat di negeri ini yang masih kurang menghayati erti kemerdekaan negara termasuk enggan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat atau premis perniagaan mereka.

Katanya walaupun kini merupakan sambutan Bulan Kebangsaan, semangat patriotisme yang ditunjukkan kurang menyerlah seolah-olah masyarakat sudah tidak berminat untuk menyambut kemerdekaan negara yang diperjuangkan pemimpin terdahulu. (Sinar Harian 20/8/2016)

Komentar:

Sememangnya semangat nasionalisme dan patriotisme ini telah ditanam dalam benak masyarakat sejak di bangku sekolah lagi. Pendoktrinan ini ditanamkan melalui mekanisme nyanyian lagu Negaraku, upacara sambutan Hari Kemerdekaan dan juga di dalam beberapa mata pelajaran di sekolah terutamanya Sejarah.

Sedangkan Rasulullah SAW telah bersabda,
“Bukan termasuk umatku orang yang menyeru kepada assobiyyah, bukan termasuk umatku orang yang berperang atas dasar assobiyyah, dan bukan termasuk umatku orang yang mati atas dasar assobiyyah” [HR Abu Dawud].

Seruan terhadap nasionalisme dan patriotisme adalah jelas seruan kepada assobiyyah kerana ia telah memecah-belahkan umat Islam menjadi lebih 50 buah negara di bawah panji Negara Bangsa. Doktrin Negara Bangsa ini telah tertancap sempurna sehingga umat bukan sahaja merasa selesa dengannya bahkan sanggup mempertahankan sebuah negara yang berprinsipkan assobiyah. Atas dasar prinsip Negara-Bangsa, negara kita termasuk negara-negara kaum Muslim yang lain menganggap kesengsaraan yang dihadapi oleh umat Islam di seluruh dunia adalah masalah dalaman negara itu sendiri dan kita tidak boleh serta tidak ada kuasa untuk campur tangan. Sedangkan, jelas Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran,

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Kerana itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat” [TMQ al-Hujurat (49):10].

Apakah hujah kita di hadapan Allah kelak sekiranya kita tidak mengambil tahu nasib saudara kita di Iraq, Palestin, Syria, Mesir, dan lain-lain? Oleh itu, sebagai umat Islam kita mesti menyatukan kembali seluruh umat Islam di bawah panji Daulah Islamiyyah yang dulunya bersatu dan bukan panji-panji assobiyyah yang memisahkan dan melemahkan kita.

Sesungguhnya doktrin Negara Bangsa itu bukanlah menyatukan bahkan memecah belahkan kita yang akhirnya mengundang kemurkaan Allah S.W.T. Maka marilah saudaraku sekalian kita mencari keredhaan Allah dengan melaksanakan kewajipan dakwah mengembalikan semula Kehidupan Islam serta membuang jauh doktrin kufur yang menyesatkan.

Oleh: Norhidayati Nor (Ahli Lajnah Tsaqafiyah MHTM)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment