Wanita Mencuri Demi Anak, Bukti Negara Kapitalis Gagal Memelihara Hak

Fitrah seorang ibu yang sayangkan dan kasihkan anaknya. Naluri itulah yang mendorongnya berusaha melakukan apa sahaja demi memastikan anaknya hidup dan membesar dengan keperluan yang cukup dan sesuai. Maka tidak hairanlah jika ada ibu yang sanggup melakukan kerja haram seperti pelacur demi membeli susu anak. Terbaru, seorang ibu didakwa atas kesalahan mencuri pakaian bayi. (Berita Harian Online, 10/8/2016).

Banyaknya kes-kes curi dan jenayah lain bukan semata-mata salah individu yang tidak bertakwa sehingga tidak takut melakukan kejahatan. Juga bukan semata-mata salah suami atau ahli keluarga yang tidak mampu atau sengaja mengabaikan kewajipan mereka. Tetapi inilah kegagalan sistemik yang berlaku kerana pemerintah tidak memelihara hak dan kewajipan rakyatnya sesuai dengan Islam.

Dalam Islam, pakaian termasuk dalam nafkah yang wajib diberikan oleh suami/ayah kepada isteri dan anak-anaknya selain makan minum dan tempat tinggal. Allah SWT berfirman,

“Dan kewajipan ayah memberikan makanan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang makruf” [TMQ al- Baqarah(2):233].

Rasulullah SAW bersabda, “Dan mereka (para isteri) mempunyai hak diberi rezeki dan pakaian (nafkah) yang diwajibkan ke atas kamu sekalian (wahai para suami)" [HR Muslim 2137].

Justeru, Negara (pemerintah) yang berkewajipan memelihara urusan rakyatnya akan memastikan peluang kerja yang cukup tersedia untuk golongan suami/bapa supaya mereka dapat menyara keluarga. Rasulullah SAW bersabda,

"Pemimpin yang mengurusi urusan masyarakat adalah pemelihara dan dia bertanggung jawab atas urusan rakyatnya" [HR al-Bukhari dan Muslim].

Namun, jika suami/bapa tidak berkemampuan atas sebab-sebab syarie seperti sakit, cacat atau tua, kewajipan memberikan nafkah tersebut beralih kepada lelaki yang menjadi waris atau kerabat terdekat yang mempunyai lebihan harta. Allah S.W.T berfirman,

“Kewajipan ayah memberikan makanan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang maaruf. Seseorang tidak dibebani, selain menurut kadar kemampuannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan pewaris pun berkewajipan demikian” [TMQ al-Baqarah(2):233].

Tetapi, jika tiada seorang pun waris/kerabat yang berkemampuan, nafkah wajib diambil dari Baitul Mal. Di sinilah juga peranan penting negara sebagai pemelihara urusan rakyatnya. Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Siapa sahaja yang meninggalkan harta, maka harta itu menjadi hak para ahli warisnya. Siapa sahaja yang meninggalkan orang yang sebatang kara, maka ia menjadi kewajipan kami” [HR Muslim].

Walaubagaimanapun, jika Baitul Mal Tidak mempunyai harta sama sekali, maka kewajipan itu beralih ke atas seluruh kaum Muslimin. Sekali lagi, Islam meletakkan kewajipan pada negara dalam memastikan rakyatnya hidup dengan keperluan asas yang cukup. negara mesti mewajibkan dharibah ke atas harta orang-orang yang kaya untuk diserahkan kepada para fakir miskin. Nabi SAW bersabda,

“Siapa sahaja yang menjadi penduduk suatu daerah, lalu di antara mereka terdapat seseorang yang kelaparan, maka perlindungan Allah S.W.T telah terlepas dari mereka” [HR Ahmad].

Maka, umat Islam tiada pilihan lain kecuali kembali hidup dalam Daulah Islam (Khilafah) di bawah pemerintahan Khalifah yang bertakwa yang menerapkan Islam secara kaffah. Sistem Islam adalah satu-satunya pilihan yang mampu memecahkan masalah nafkah dengan cara sistematik kerana masalah nafkah bukanlah masalah individu semata-mata. Negara berkewajipan sebagai pemelihara rakyatnya dalam memastikan hak setiap individu terpenuhi dan setiap kewajipan individu terlaksana sehingga mampu mencegah kemungkaran. Inilah gambaran kehidupan dalam Daulah Islam. Rasulullah SAW sendiri menggambarkan Madinah (Daulah Islam pertama) dengan sabdanya,

“Madinah itu seperti tungku (tukang besi) yang boleh membersihkan debu-debu yang kotor dan membuat cemerlang kebaikan-kebaikannya” [HR al-Bukhari].

Oleh: Ustazah Syamsiyah Mohd Jamil (AJK Pusat MHTM)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment