Wartawan Terkemuka Jerman Masuk Islam Di Saat Aidilfitri

Beratus-ratus jemaah solat hari raya Aidilfitri 1437 Hijriah di Masjid Arresala, Berlin terkejut apabila seorang wartawan Jerman yang terkenal, Martin Lejeune dengan beraninya pergi ke hadapan mereka dan menyatakan hasrat untuk menjadi seorang Muslim.

Martin mendapat peluang pada masa itu juga untuk mengucapkan kalimah syahadah dan disaksikan oleh seluruh jemaah masjid yang akan menunaikan solat Aidilfitri.

Ikrar syahadah Lejeune telah disambut dengan ucapan tahniah oleh jemaah Masjid Arresala, menurut laporan Muslim Issues yang dipetik oleh Mi’raj Islamic News Agency (MINA).

Dalam video ikrar syahadah Lejeune yang dimuat naik dalam akaun media sosialnya, Imam Masjid Arresala yang memimpin ucapan kalimah syahadah Lejeune memuji usaha wartawan perang itu, dengan mengucapkan tahniah kepadanya dalam mencari jalan Islam yang benar.

“Islam bermakna perdamaian. Saya mengambil keputusan untuk menjadi seorang Muslim kerana saya merasa damai berada di dalam masjid sambil berdoa,” katanya.

Lejeune lelaki yang lahir pada tahun 1980 adalah seorang wartawan bebas dan wartawan perang Jerman yang terkenal.

Dia dikenali kerana kritikannya terhadap Israel dan atas laporannya mengenai perang saudara di Syria. Dia juga pernah membuat liputan daripada jarak jauh konflik Gaza-Israel pada tahun 2014 yang lalu.

Sumber : Miraj News


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment