Etika Menasihati

Mu’awiyah bin Hakam Salmi r.a. berkata, “Ketika aku mengujungi kota Madinah kerana hendak memeluk agama Islam, aku telah belajar banyak hal. Salah satunya ialah aku hendaklah mengucapkan Yarhamukallah apabila seseorang bersin dengan mengucapkan Alhamdulillah.

Oleh kerana aku baru memeluk agama Islam, aku tidak mengetahui hal itu tidak boleh dilakukan ketika sedang solat. Suatu ketika kami sedang menunaikan solat tiba-tiba seseorang bersin, spontan aku berkata Yarhamukallah. Tiba-tiba semua orang melirik dengan marah ke arahku.

Oleh kerana aku tidak mengetahui bahawa di dalam solat dilarang berbicara, aku pun membantah dengan berkata, “Mengapa kalian marah kepadaku?”

Dengan memberi isyarat mereka menyuruh agar aku diam, tetapi aku tidak memahami isyarat mereka walaupun kemudian aku terdiam.

Setelah solat selesai, Rasulullah SAW memanggilku. Baginda Rasulullah SAW tidak memukul, mengherdik atau berlaku kasar kepadaku, baginda Rasulullah SAW hanya bersabda, “Tidak boleh berbicara dalam solat. Solat adalah untuk memuji kebesaran Allah, menganggungkan-Nya dan membaca Al-Qur’an.”

Demi Allah, aku belum pernah menjumpai seorang guru yang begitu penyayang seperti baginda Rasulullah SAW.

Kisah yang terdapat di dalam kitab Fadhail A’mal karya Maulana Muhammad Zakariyya al Kandhalawi di atas, memberikan pelajaran kepada kita bagaimana cara kita memberikan nasihat kepada saudara kita, yakni dengan cara memanggilnya dan menasihatinya dengan kata-kata yang baik dan bijaksana.

Itu kerana tujuan kita memberi nasihat kepada saudara kita bukan untuk mempermalukannya, tetapi menyampaikana kebaikan kepadanya agar saudara kita dapat mengetahui kesalahannya dan memperbaiki kekeliruan atau kehilafannya tanpa merasa dihakimi dan direndahkan.

Abu Amr bin Ash-shalah berkata, “Nasihat adalah kalimat yang mengandungi pengertian di mana pemberi nasihat menginginkan kebaikan pada yang diberi nasihat.

''Orang yang memberi nasihat di depan umum yang disertai herdikan dan kata-kata kasar, sama dengan orang yang jahat kerana ia meruntuhkan dan menghancurkan martabatnya.

Al-fudhail bin Iyad berkata, “Orang Mukmin menutupi (aib saudaranya) dan memberi nasihat, sedangkan orang jahat menghancurkan dan menghina.” (Jami’ul ulum wa al-hikam).

Para ulama salaf mengatakan, “Barangsiapa mengingatkan saudaranya, lalu ia melakukannya hanya antara dia dengan saudaranya itu, maka itulah nasihat. Adapun yang menasihatinya di hadapan orang lain, bererti telah mempermalukannya.”

Imam syafi’i berkata, “Barangsiapa menasihati saudaranya dengan sembunyi-sembunyi, bererti ia telah menasihati dan mengindahkannya. Barangsiapa menasihati dengan terang-terangan, bererti ia telah mempermalukan dan memburukkannya.” [Sahih Muslim Bisyar An-Nawawi (2/24)].

Untuk itu, bila kita menasihati saudara kita yang berbuat salah kita hendaklah mencontohi Rasulullah SAW yakni dengan memanggilnya atau menghampirinya.

Dan berkatalah dengan kata-kata yang baik dan bijaksana, agar apa yang kita nasihatkan dapat diterima dan mengubah kesalahannya dan ia mendapatkan kebaikan sebagaimana yang kita inginkan.

Sumber:

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment