Fikratul Ummah Edisi September-Oktober 2016

MUQADDIMATUL KALAM

Oleh: Pn. Afiqah Hazwani Abdullah (Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM)

Assalamualaikum wbt buat para pembaca FU yang dikasihi Allah SWT sekalian. Alhamdulillah, pejam celik kita kini sudah berada dalam bulan Zulhijah di mana umat Islam yang berkemampuan sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Haji sering dikaitkan dengan penyatuan umat. Namun, disebalik penyatuan ini terdapat satu mesej besar yang tersirat di dalamnya. Di musim haji sebegini, Rasulullah SAW menggunakan kesempatan itu untuk mendekati masyarakat daripada kabilah-kabilah luar Mekah dengan tujuan untuk menyampaikan dakwah sekaligus mendapatkan nusrah (perlindungan) sehingga Allah SWT megirimkan golongan Aus dan Khazraj untuk memberi perlindungan kepada Baginda dan umat Islam lainnya. Bermula saat itu, berlakulah peristiwa hijrah yang memberi 1001 makna buat kaum Muslimin. Peristiwa hijrah itu bukan hanya sekadar perpindahan tempat sahaja, namun jauh lebih bermakna apabila ia menjadi momentum perubahan besar terhadap peta dunia Islam; terhadap nilai persaudaraan sesama manusia; juga terhadap penyatuan umat yang menjangkau sehingga 2/3 dunia. Semua itu dapat disatukan di bawah kalimah La ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah hasil yang dibayar oleh Allah atas pengorbanan yang dilakukan oleh kaum Mukmin terdahulu.

Namun, segala usaha jerih perih yang dilakukan kaum Mukmin terdahulu hancur sekelip mata sehingga menyebabkan reputnya tali persaudaraan sesama Muslim serta tercerai-berainya negara-negara kaum Muslim. Maka dengan itu, keluaran FU kali ini dengan bertemakan ‘Kesatuan Hijrah: Celik Syariah, Tegak Khilafah’ akan menjelaskan tentang konsep kesatuan dalam ibadah haji dan hijrah yang wajib diwujudkan dengan cara bersatu dalam perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyyah. Umat Islam perlu sedar bahawa institusi politik Islam tersebut diperlukan dalam merealisasikan makna dan tujuan haji dan hijrah secara benar. InsyaAllah semua ini akan diperjelaskan di dalam artikel-artikel yang telah disajikan khas untuk para pembaca.

Wallahhu’alam..










SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment