Haji dan Khilafah: Pengorbanan dalam Ketaatan

Oleh : Ustazah Husna Suriani (Aktivis Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia)

Ibadah haji merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah SWT. Firman Allah SWT,

“Dan serulah manusia supaya mereka mengerjakan haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan berjenis-jenis unta yang kurus. Mereka datang dari seluruh pelusuk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka, serta mereka dapat mengingati dengan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu dengan sebab Allah telah mengurniakan mereka binatang-binatang ternakan untuk dijadikan korban. Dengan yang demikian makanlah daripadanya (daging korban itu) dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir, (kemudian hendaklah membersihkan diri mereka, dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu)” [TMQ al-Hajj (22):27-29].

Dalam ayat di atas Allah SWT memerintahkan bahawa ibadah haji tersebut hendaklah disempurnakan sekalipun dengan berjalan kaki atau menunggang unta yang kurus walaupun jauhnya perjalanan dan susahnya menghadapi halangan dan rintangan. Sememangnya Allah SWT menyediakan semua itu untuk kita ambil pengajaran bahawa biar pun hebat kedudukan kita di dunia, namun kita masih lagi tertakluk kepada hukum alam dan ketentuan yang telah Allah SWT tetapkan dengan penuh kesabaran dan pengorbanan.

Kesatuan Hakiki

Maka, kita melihat kemampuan umat Islam daripada seluruh dunia untuk mendatangi Mekah al-Mukarramah di bawah seruan lambaian Baitullah dengan pelbagai keadaan dan cara untuk menyampaikan diri masing-masing ke sana. Kesatuan yang luar biasa ini mampu mereka lahirkan di saat menunaikan ibadah haji, namun mengapa tidak dizahirkan ketika saudara kita di Palestin dihujani bom, di Syria diperangi , di Kashmir dibantai keras dan juga di Rohingya yang di bakar hidup-hidup? Kenapa kita tidak mampu bersatu untuk membela nasib saudara kita?

Jawapannya mudah. Hal itu kerana umat Islam ketiadaan pemimpin yang satu yang akan menyerukan kesatuan umat di seluruh dunia. Pemimpin dalam naungan Daulah Khilafah inilah yang akan memelihara urusan umat dalam mengerjakan haji dan dalam masa yang sama menyerukan jihad terhadap musuh-musuh Islam. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Imam (Khalifah) adalah laksana benteng (junnah); orang-orang akan berperang mengikutinya dan berlindung dengannya” [HR al-Bukhari dan Muslim].

Ketiadaan Khalifah menyebabkan umat Islam terpecah belah dengan sempadan negara bangsa masing-masing. Saat mengerjakan haji, mereka datang dengan visa dan pasport masing-masing. Setelah selesai haji, mereka kembali ke negara asal dengan urusan masing-masing. Walau bagaimanapun, masih belum terlambat untuk kita mengubah peta dunia hari ini, untuk menzahirkan kesatuan ibadah haji bagi seluruh umat Islam ke dalam realiti kehidupan umat Islam hari ini. Firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka” [TMQ ar-Ra`d (13):11].


Kesatuan Menuntut Pengorbanan

Syariah Islam sangat menekankan kesatuan kepemimpinan (Khalifah) menjadi perisai umat. Abdullah bin Amr bin Ash RA pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Siapa sahaja yang telah membaiat seorang imam (Khalifah), kemudian memberikan huluran tangan dan buah hatinya, maka hendaklah dia mentaati imam itu sekuat kemampuannya. Kemudian, jika ada orang lain yang hendak merebutnya, maka penggallah leher orang tersebut” [HR Muslim].

Seperti mana ketaatan Ismail dan Ibrahim menuntut pengorbanan, seperti itulah perjuangan untuk mewujudkan kesatuan hakiki juga menuntut pengorbanan daripada kita kerana kesatuan umat juga lambang ketaatan kepada Allah. Nabi Ismail dengan tanpa ragu-ragu mendorong ayahandanya Nabi Ibrahim AS untuk mentaati perintah penyembelihan tersebut dengan berkata, “Ayah, kerjakanlah apa yang telah diperintahkan kepada engkau. InsyaAllah engkau akan mendapati diriku termasuk orang-orang yang sabar” [TMQ Ash Shaffat (37): 102].

Ketaatan memerlukan pengorbanan. Teladan inilah yang wajar kita contohi dan ikuti serta menjadi pegangan sepanjang perjuangan menegakkan agama Allah SWT iaitu perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyah yang akan menerapkan syariah secara menyeluruh. Maka asas dalam perjuangan ini menuntut ketaatan dan pengorbanan apa sahaja yang kita miliki termasuk harta mahupun jiwa.

Rasulullah SAW sendiri telah memberikan uswah hasanah bagaimana Baginda tetap istiqamah ketika menghadapi pelbagai ujian. Rasulullah SAW sendiri tidak tergoda ketika ditawarkan harta, kekuasaan dan wanita untuk Baginda meninggalkan dakwah yang mulia ini. Pelbagai siksaan dan propaganda busuk terhadap Baginda SAW dan para sahabat, malah diboikot serta dipinggirkan sehingga bekalan makanan mereka disekat. Namun penyiksaan ini tidak sedikitpun menggoyahkan keimanan Baginda dan para sahabat dalam menghadapi musuh Islam. Penindasan ini langsung tidak menggoda mereka untuk berkompromi, baik secara pemikiran atau amalan.

Khatimah

Pengorbanan pada jalan yang hak pasti membuahkan kebaikan dan keredhaan Allah SWT. Kesabaran Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS dibalas dengan mendapat ganjaran seekor kibas dan pujian daripada Allah SWT. Kesabaran Rasulullah SAW dan umat Islam membuahkan sebuah kejayaan dengan berdirinya Daulah Islam di Madinah. Bermula saat tertegaknya Daulah Islam, umat Islam mendapat kebahagian dan kebaikan serta pembelaan daripada sebarang bentuk penindasan. Inilah yang kita harapkan bagi membentuk kesatuan ummah yang hakiki dan menampilkan kekuatan umat Islam yang satu. Bangunlah! Bangkitlah wahai umat Islam khususnya Muslimah, marilah kita bersama-sama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia bergerak dalam satu wadah bagi merealisasikan matlamat menerapkan syariah di dalam kehidupan dengan penegakan Khilafah Islamiyah `ala minhajinnubuwwah.

Wallahu ‘alam
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment