Haji, Permudahkanlah!

Oleh: Ummu Zahrah (Aktivis MHTM)

Kadar caj visa haji dan umrah yang dinaikkan oleh kerajaan Arab Saudi akan berkuatkuasa pada 2 Oktober ini. Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet Arab Saudi yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Putera Mahkota Muhammad Naif. Berdasarkan peraturan baharu itu, kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma tetapi bagi kemasukan kedua mereka akan dikenakan caj visa sebanyak SR2,000 (RM2,150). Manakala bayaran caj visa kemasukan pelbagai kepada rakyat asing turut dinaikkan iaitu SR3,000 (RM3,220) bagi tempoh enam bulan, SR5,000 (RM5,370) untuk tempoh setahun dan SR8,000 (RM8,597) untuk dua tahun. Caj bagi visa transit ditetapkan pada kadar SR300 (RM320), sementara bayaran visa keluar untuk sesiapa sahaja yang meninggalkan negara itu melalui pelabuhannya akan dikenakan sebanyak SR50 (RM 53.35). [Utusan online, 11 Ogos 2016]

Bagi jemaah Malaysia, kos atau bayaran untuk menunaikan ibadah haji bersama Tabung Haji pada tahun ini (2016) bersamaan 1437 Hijriah dikekalkan sebanyak RM9,980 seperti tahun sebelumnya bagi seorang jemaah. Kos tersebut dikekalkan walaupun berlaku kenaikan dalam kos penginapan, pengangkutan, upah mutawwif serta tambang penerbangan pergi dan balik dari Malaysia ke Arab Saudi. 

Sistem Sekular-Nasionalis Menyusahkan Umat Menunaikan Haji

Mengerjakan ibadah haji sememangnya bukanlah suatu perkara yang mudah. Oleh kerana itu, Allah mewajibkan haji bagi orang yang mampu sahaja, sama ada mampu dari segi kewangan atau pun fizikal. Maka, bagi mereka yang mampu tetapi tidak mahu mengerjakan haji, kemurkaan Allah akan menimpanya. Allah SWT berfirman,

“Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah” [TMQ Ali Imran (3):97].

Sebenarnya sejumlah besar umat di dunia amnya dan di Malaysia khususnya memiliki kemampuan untuk pergi menunaikan haji. Namun, apa yang menyedihkan adalah sistem sekular-nasionalis yang menyebabkan umat Islam terpecah-belah menjadi banyak negara telah membuatkan umat terhalang untuk bersegera melaksanakan kewajipannya terhadap rukun Islam kelima ini. Pelbagai sekatan sama ada dari kerajaan Arab Saudi mahupun dari negara masing-masing telah menyusahkan umat Islam dalam melaksanakan ibadah haji yang rata-ratanya telah mempunyai kemampuan untuk menunaikannya. Bermula daripada kewajipan memiliki pasport, visa haji sehinggalah kepada penerapan sistem kuota oleh kerajaan Arab Saudi kepada setiap negara telah membuatkan ramai orang harus menunggu bertahun-tahun malah puluhan tahun untuk mengerjakan haji. Akhirnya, apabila sudah lanjut usia atau kesihatan mulai bermasalah, barulah giliran mereka sampai.

Dilihat dari sudut permasalahan dalaman negara pula, bebanan kos haji yang tinggi serta pelbagai karenah administrasi telah turut megundang masalah. Banyak kes penipuan berlaku akibat daripada sistem kuota yang digunakan. Seawal tahun 2012, akhbar tempatan telah melaporkan terdapatnya sindiket ‘haji ekspres’ beroperasi secara haram menawarkan orang ramai melangkau giliran bagi menunaikan ibadah haji. Masalah ini telah mengakibatkan kekecewaan dan kesedihan dalam kalangan umat, khususnya bakal jemaah.

Pengurusan Haji Oleh Daulah Khilafah

Berbeza pula suasana pengurusan haji dalam Daulah Khilafah. Pemerintah Islam akan melakukan penghapusan visa haji dan umrah dalam Daulah Khilafah. Hal ini dilakukan bersesuaian dengan hukum syarak tentang kesatuan wilayah Islam yang berada di bawah satu negara sahaja. Sempadan negara yang dilukis oleh puak kuffar di atas peta negara umat Islam saat ini akan dilenyapkan. Seluruh jemaah haji yang berasal daripada berbagai penjuru dunia Islam bebas untuk keluar masuk Mekah-Madinah tanpa visa. Mereka hanya perlu menunjukkan kad pengenalan diri. Sementara itu, visa hanya terpakai bagi kaum Muslim yang menjadi warganegara kafir, baik kafir harbi hukman mahupun fi’lan.

Pengaturan kuota haji dan umrah juga turut diatur dengan baik di bawah Daulah Khilafah. Khalifah berhak untuk mengatur masalah ini sehingga keterbatasan tempat tidak menjadi suatu masalah bagi bakal jemaah haji dan umrah. Dalam hal ini, Khalifah perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara berikut: Pertama, kewajipan haji dan umrah hanyalah sekali seumur hidup. Kedua, kewajipan ini terkena hanya kepada mereka yang telah memenuhi syarat dan berkemampuan sahaja. Bagi bakal jemaah yang belum pernah menunaikan haji dan umrah tetapi sudah memenuhi syarat dan berkemampuan, maka mereka akan diutamakan. Peraturan dan pengaturan ini akan dapat berjalan dengan baik dan mudah sekiranya negara Khilafah mempunyai data seluruh rakyat di wilayahnya. Hal itu pasti akan melancarkan lagi proses pengaturan ibadah haji.

Berkenaan dengan urusan tambang pula, ia akan disesuaikan dengan kos yang diperlukan oleh para jemaah berdasarkan jarak antara tempat tinggalnya dengan Tanah Haram (Mekah dan Madinah), serta penginapan yang diperlukan selama tempoh keberadaan di tanah suci sehinggalah kembali dari tanah suci. Dalam penentuan tambang ini, Khalifahlah yang akan menentukan kadarnya. Khalifah juga boleh memberi pilihan sama ada para jemaah ingin menggunakan jalan darat, laut atau udara. Sebagai contoh, Sultan Abdul Hamid II telah membangunkan sarana pengangkutan awam dari Istanbul, Damaskus sehingga ke Madinah untuk membawa para jemaah haji. Sebelum masa kekhilafahan Utsmaniyah, Khalifah Abbasiyyah, Harun ar-Rasyid telah membangunkan laluan haji dari Irak sehingga Hijaz (Mekah-Madinah). Di setiap kawasan dibina pondok perkhidmatan awam yang menyediakan kemudahan logistik termasuk dana zakat bagi yang kehabisan bekalan.

Begitulah prihatinnya para pemerintah Islam (Khalifah) terdahulu yang sedaya upaya berusaha memudahkan rakyatnya untuk menunaikan haji. Hal ini kerana para Khalifah memainkan peranan mereka sebagai pelayan umat. Mereka amat menyedari tanggungjawab mereka di hadapan Allah SWT.

Khatimah

Ibadah haji tanpa negara Khilafah sememangnya dapat terlaksana. Namun, perlaksanaannya menjadi kurang sempurna kerana masih terdapat banyak sekatan dan halangan. Misalnya, dalam masalah urusan pasport, visa haji dan kuota. Dengan keberadaan Khilafah yang akan menghapuskan negara-bangsa di dunia Islam segala masalah itu menjadi tidak relevan dan tidak diperlukan lagi. Ini kerana warga Malaysia, Indonesia, Mesir dan kesemua negara-negara Muslim yang telah bersatu dalam naungan Daulah Khilafah tatkala pergi ke Mekah tidak akan dianggap pergi ke luar negeri melainkan masih perjalanan dalam negeri. 

Sesungguhnya Mekah dan Madinah adalah milik Daulah Islam dan mereka semua adalah warganegara Daulah Islam. Daulah Khilafah nanti akan mengatur dengan adil dan saksama agar setiap Muslim yang mampu berkesempatan mengerjakan haji dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, pengelolaan administrasi haji akan lebih sederhana, menjimatkan kos pengeluaran dan yang paling penting adalah makna haji sebagai penyatuan umat yang hakiki akan kembali terwujud dengan berdirinya Daulah Khilafah ‘ala minhaj nubuwwah tanpa ada sekatan-sekatan negara nasionalis yang palsu.

Sumber:
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment