Hanya Dengan Ikatan Akidah Islam, Umat Islam Akan Bersatu

Berita:

“Tanpa Melayu berkuasa di negeri ini maka merempatlah kita di tanah sendiri”, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau menambah lagi, pihak pembangkang telah berjaya memecah-belahkan orang Melayu serta Umno melalui isu 1MDB. Sebelum ini orang Melayu hanya brpecah kepada empat parti tetapi selepas Amanah dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) ditubuhkan kita telah berpecah kepada enam parti. Kerana itulah Umno tidak akan berganjak walau diasak macam mana sekali pun dan akan terus mempertahankan Melayu dan Islam. (Sinar Harian, 4/9/2016)

Komentar:

Bila bercakap tentang kesatuan Umat Islam pada hari ini, secara fakta dan realitinya memang terbukti umat Islam terpecah-belah. Secara umumnya umat Islam terpecah-belah lebih 50 buah negara, kita dipisahkan oleh garisan-garisan sempadan nasionalisme yang dibuat oleh negara kafir penjajah. Dan khususnya di Malaysia sendiri umat Islam telah terpecah-belah dengan bermacam-macam parti yang asas penubuhannya bukan untuk memartabatkan Islam bahkan hanya didasarkan dengan perkauman dan kesukuan. Dan ikatan yang mengikat diantara individu-individu dalam parti hanya didasarkan kepada ikatan nasionalisme, patriotisme dan manfaat semata-mata.

Nasionalisme ataupun dalam bahasa arab Ashobiyyah diambil dari kata ashobah, yang bermaksud kerabat dari pihak bapa. Menurut Ibnu Manzhur, ashobiyyah adalah ajakan seseorang untuk membela keluarga, sama ada keluarganya zalim atau dari sesiapapun yang menyerang mereka. Sementara itu, Al-Qari menambahkan, tolong-menolong kerana hawa nafsu.

Kesan dari adanya perasan ashobiyyah yang berjaya dihembuskan oleh pihak kuffar ke dalam benak dan pemikiran umat Islam inilah yang menjadi salah satu punca runtuhnya Daulah Khilafah dan kesannya hinggalah ke hari ini. Keharaman tentang ashobiyyah telah jelas sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada ashobiyyah, berperang atas dasar ashobiyyah dan mati kerana mempertahankan ashobiyyah” [HR Abu Daud].

Ini sangat berbeza sekali dengan Islam, bila kita menelusuri sekilas tentang cara Rasulullah SAW mempersatukan manusia, maka kita simpulkan Rasulullah SAW mendakwahi dan menbentuk sebuah kutlah (kelompok)maka Islam disebarkan di tengah-tengah masyarakat arab jahiliyyah. Sehingga terjalin ikatan (akidah Islam) yang kuat dalam diri para sahabat. Dan dalam konteks yang lebih besar yaksi dalam sebuah negara Rasulullah SAW berjaya mempersatukan seluruh umat hanya didasrkan pada akidah Islam.

Inilah bukti yang paling nyata dalam Islam apabila mampu mempersatukan umat Islam tidak kira latar belakang, suku kaum ataupun bangsa. Islam mampu menyatukan semuanya dalam satu wadah yakni negara Khilafah. Bahkan dengan ikatan Akidah Islam juga, telah mampu dan menyatukan seluruh bangsa-bangsa dari Timur ke Barat dan dari Selatan ke Utara, sesuatu yang menakjubkan dan bukti yang amat ketara sekali kekuatan Islam dalam mempersatukan manusia.

Waallahu A’lam

Oleh: Hidayah Muhammad (Ketua MHTM Cawangan Sandakan)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment