Kejumudan Pemikiran Politik Islam: Hizbut Tahrir Sebagai Model?

Penulis Qasim Qusair membuat kesimpulan dalam artikel beliau, ''Kejumudan Pemikiran Politik Islam : Hizbut Tahrir sebagai Model" yang disiarkan di laman web 'The Arabi 21' pada 24/8/2016. Beliau membuat kesimpulan dengan pertanyaan dan mengarahkan seruan kepada HT untuk "Menyemak semula pelbagai tulisan dan analisis bagi mengelakkan daripada kekakuan/kebakuan penyelesaian yang masih dipegang teguh oleh HT meskipun 63 tahun telah berlalu sejak penubuhannya, sedangkan dunia dengan jelas telah menyaksikan pelbagai peristiwa dan perkembangan baru". Kekakuan ini telah keterlaluan dan menurut pandangan Qasim Qusair, "Pandangan dan model yang sempit yang menjadikan HT tidak bergerak. Bahkan telah menyerupai Penghuni Gua (Ashabul Kahfi) berkaitan dengan cara pandang dan kebakuan pemikirannya..."

Namun, ada yang perlu dipersoalkan. Adakah yang dimaksudkan adalah penghuni gua yang al-Quran menjadikan mereka abadi dengan menyebut kisah mereka yang memiliki keyakinan yang teguh dalam iman mereka serta keengganan untuk tunduk kepada penguasa yang salah yang menjajah seluruh tanah dan manusia pada masa itu? Maka, mereka memilih untuk berhijrah di jalan Allah demi menjaga akidah mereka; meninggalkan rumah mereka dan rumah nenek moyang mereka dan rumah ayah-ayah mereka kerana enggan untuk mengkompromikan iman mereka. Kami bertanya, adakah mereka salah? Adakah lebih baik mereka menggunakan kecerdasan dan kebijaksanaan mereka dan memeluk agama taghut serta menyembunyikan iman dan akidah mereka yang sedang bergejolak di dalam hati dan dada mereka?

Persoalan yang sama juga berkenaan peristiwa penolakan ahli-ahli sihir Firaun terhadap semua perkara kecuali untuk mengisytiharkan secara terbuka penolakan mereka terhadap taghut dan menegaskan keimanan mereka kepada Musa nabi Allah. Termasuk juga orang-orang yang tertindas bersamanya. Selepas iman yang benar memenuhi hati mereka, kemudian mereka mengumumkannya tanpa segan silu.

''Maka putuskanlah apa sahaja yang akan engkau putuskan. Maka (apa sahaja yang engkau putuskan) hanya akan terjadi di dunia ini" [TMQ Taha (20): 7].


Sesungguhnya, jika kita meneliti dengan baik dan menyeluruh tentang perjalanan pelbagai bangsa, pelbagai Nabi dan Rasul yang berkaitan dengan perjuangan mereka melawan raja-raja yang zalim dan penguasa yang menindas, kita akan dapati bahawa persoalan yang sama terpakai kepada mereka semua. Maka, jalan yang dipilih oleh para Nabi dan pengikutnya yang beriman tidak lain adalah jalan yang suci dan penuh ketakwaan terhadap Allah Tuhan Pencipta yang mendarah daging dalam perjuangan menentang sekelompok kecil penguasa zalim yang telah termakan bisikan syaitan; bahawa mereka akan mampu menutup suara kebenaran dengan cara menindas dan menyiksa seperti pemikiran Firaun tanpa mengira bilangan dan cara penindasan yang mereka gunakan sepanjang zaman.

Memang, HT sejak hari pertama penubuhannya telah mengumumkan secara jelas dan terbuka bahawa isu yang penting bagi umat Islam hanya satu iaitu membebaskan manusia daripada sikap tunduk kepada penjajahan Barat dan untuk merealisasikan makna ibadah yang benar kepada Allah semata-mata dengan cara menerapkan syariah-Nya secara menyeluruh. Hizbut Tahrir tidak bermuka-muka dalam membentangkan ideanya, tidak melakukan kemunafikan, tidak pula berbicara menyimpang atau samar. Sebaliknya HT menyuarakan ideanya dengan suara lantang oleh syababnya baik yang ikhwan mahupun akhawat serta daripada para penyokongnya yang terdiri daripada kalangan Muslim dalam menentang penguasa jahat yang rela menjadi alat murahan terhadap negara-negara penjajah, selepas mereka yang terdahulu bekerjasama dengan Britain untuk memusnahkan Khilafah melalui tangan Mustafa Kamal pada tahun 1924. Dengan berbuat demikian, mereka telah melakukan satu tindakan pengkhianatan yang menggoncangkan umat Islam sehingga jatuh ke dalam cengkaman tangan penjajah. Sehingga kini, umat Islam masih perlu membayar harga yang mahal selain menanggung pelbagai kengerian dan ketakutan yang selalu menemani kehidupan mereka, bermula dari Turkistan Timur ke Afrika Barat, dari Tatarstan hingga Crimea serta dari Yaman ke Afrika Tengah.

Lalu adakah Qasim Qusair meminta kita untuk mencampakkan penyelesaian, pidato dan pemikiran tegar ini untuk digantikan dengan sesuatu yang bersumber pada realiti praktikal (menjadi pragmatik)? Sebagaimana yang diserukan oleh Faisal Qasim dalam artikelnya ketika beliau mengingatkan akan sempitnya ruang berfikir Hizbut Tahrir walaupun setelah realiti telah membuktikan dengan jelas. Bagi pandangan Qasim, barangsiapa yang percaya kepada neraka penjajahan Barat, nasibnya adalah untuk hidup di luar ‘masa dan tempat’ kerana Barat sudah mendomanasi semua ‘masa dan tempat’.

Kami ingin bertanya kepada kedua-duanya. Sejak bila perjuangan menentang kebatilan dan kezaliman menjadi penyelesaian jumud/kaku? Bukankah manusia telah menyaksikan sepanjang zaman terdapatnya permusuhan berterusan antara kelompok yang haq (benar) dan yang batil (salah)? Bukankah peradaban materialis- dalam apa jua bentuk yang dia ambil atau apa jua nama yang digunakan sepanjang sejarah- telah membina perhambaan kepada sekelompok kecil dewa-dewa palsu, baik mereka dipanggil Firaun, Kaisar, Kisra atau Ahli Falsafah atau Parlimen Demokrasi pada masa ini yang memperhambakan manusia dengan undang-undang yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi? Ini kerana semua kelompok tersebut telah memperhambakan seluruh masyarakat ketika permulaannya, kemudian mereka terus memperhambakan semua manusia dengan kekuatan api dan besi (senjata), atau kuasa Bank Dunia, atau Bangsa-Bangsa Bersatu, yang pada hakikatnya tidak lebih daripada sepotong kain untuk menutup kerosakan sistem penjajahan global yang merompak kekayaan banyak negara. Mereka yang berbuat demikian atas dasar percaya kepada asas materialisme tidak memberikan timbangan sedikit pun kepada nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan. Mereka tidak tahu apa-apa selain daripada makna kekerasaan dan keganasan. Ini adalah kerana mereka menganuti teori Machiavelli: matlamat menghalalkan cara, iaitu kemenangan berdasarkan hukum rimba yang memberikan kekuasaan kepada kekuatan raja rimba untuk menentukan definisi kebenaran. Hal itu merupakan sesuatu yang begitu jauh daripada kekuatan pemikiran, bukti dan kebenaran.

Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada Malek Bennabi yang tergoncang di tempat tidurnya ketika menyaksikan penyebaran penerimaan terhadap penjajahan di tengah-tengah umat yang sebelum ini sentiasa merdeka, bangga dan dipenuhi dengan kemuliaan dalam iman kepada Allah dan Rasul-Nya yang telah menjadikan mereka umat terbaik yang dikeluarkan untuk seluruh manusia. Tipu daya orang-orang kafir sama sekali tidak menyakiti kita, namun hati kita sedih apabila membaca tulisan Qasim Qusair sedangan dia mengenali syabab Hizbut Tahrir, termasuk saya yang menulis respon ini. Qasim malah menyematkan kepalsuan dengan mengutip beberapa tulisan tidak dikenali yang menyatakan bahawa Hizbut Tahrir dahulunya berpandangan bahawa untuk menegakkan Khilafah tidak memerlukan lebih daripada 13 tahun untuk mencapainya, menurut pemahaman HT terhadap sirah Nabi SAW. Kalaulah dia mengetuk pintu rumah kami atau sedikit prihatin untuk menelefon saya, kami pasti sudah akan menjelaskan apa yang menjadi masalahnya.

Tulisan ini adalah untuk Qasim Qusair dan Faisal Qasim serta orang-orang seperti mereka yang menawarkan nasihat beracun mengenai kewajipan untuk meninggalkan penyelesaian kaku dan perlunya menerima pakai dasar dan pragmatisme untuk berserah diri kepada penjajah, inilah urusan mereka...

Sementara bagi kita dan untuk sesiapa yang percaya kepada Allah dan Rasulullah SAW serta percaya kepada janji Allah dan khabar gembira Rasulullah SAW, maka kita tidak akan pernah tunduk kepada selain Allah dan kita tidak akan pernah menerima perhambaan dan ibadah kepada penjajahan selagi kita masih hidup. Malah, tugas kita adalah berjuang dan berjihad di jalan Allah, Pencipta langit dan bumi. Kita sama sekali tidak ragu walaupun untuk seketika, bahawa kita akan kembali menang dengan kuasa dan kekuatan daripada Allah, bahkan kalau sekalipun ia berlaku dalam tempoh waktu yang lama, namun kami telah membuktikan bahawa kami telah menang dalam perang pemikiran dan idea, sejak kita menolak tipu daya penjajah.

Allah SWT berfirman, "Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut mereka, tetapi Allah akan menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang tidak beriman tidak menyukainya. Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan petunjuk dan agama yang benar dan memenangkannya atas seluruh agama, meskipun para Musyrikin membencinya" [TMQ As Saff (61): 8-9].

Dan Nabi Muhammd SAW telah berbicara kebenaran ketika Baginda bersabda, "Allah telah menguasakan bumi untukku sehingga aku melihat baratnya dan timurnya, sungguh kekuasaan umatku akan mencapai semua hal yang Allah telah kuasakan kepadaku’".

Oleh: Osman Bakhach (Pejabat Media Hizbut Tahrir)

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment