Kempen Kesatuan Hijrah: Celik Syariah Tegak Khilafah

Tibanya bulan Zulhijjah dan bulan Muharram tahun baru tidak lama lagi membawa beberapa makna penting bagi umat Islam. Ibadah haji dalam bulan Zulhijjah terus memperlihatkan kepada dunia peristiwa perjalanan umat Islam dari seluruh penjuru dunia berbondong-bondong menuju ke Mekah. Di sana, umat Islam merasakan semangat kesatuan kerana semuanya datang dengan satu tujuan iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT walaupun berlainan bangsa, warna kulit dan pangkat. Ketibaan bulan Muharam pula akan terus diperingatkan dengan peristiwa hijrah yang membawa kepada kesatuan umat Islam. Ibadah haji (yang di dalamnya terkandung ibadah korban) dan peristiwa hijrah sekaligus memaparkan kisah pengorbanan hamba-hamba Allah SWT dalam melaksanakan perintah dan meninggalkan laranganNya walau dengan nyawa sekalipun.


Persoalannya, adakah kita dapat merasakan semangat kesatuan dan pengorbanan di luar ibadah dan peristiwa tersebut? Lihatlah hari ini, kaum muslim tinggal di dalam darul kufur, bukannya darul Islam. Natijahnya, pemikiran, perasaan dan sistem kehidupan masyarakat berorientasikan aqidah sekularisme (pemisahan agama dengan kehidupan) yang mendasari ideologi kapitalisme. Kehidupan kita dibelenggu oleh sistem kufur dan pemikiran-pemikiran kufur yang mendominasi masyarakat seperti demokrasi, hak asasi manusia (HAM), liberalisme, feminisme, nasionalisme, hedonisme, kapitalisme dan lain-lain. Tidak cukup dengan itu, umat Islam di pelosok dunia yang lain seperti Syria, Palestin, Kashmir, Selatan Thailand, kaum Rohingya di Myanmar dan kaum Uighur di Xin Jiang, China masih terus ditindas, dizalimi dan dibunuh oleh musuh Islam.

Inilah kesan sekularisasi makna haji dan hijrah. Apabila agama dipisahkan fungsinya dalam mengatur kehidupan manusia, maka ibadah seperti haji hanya dipandang sebagai ibadah ritual yang bersifat individu tanpa pengamalan aspek politiknya. Kesatuan umat dalam ibadah haji seolah-olah tiada maknanya dalam seluruh hidupan kaum Muslim. Umat hanya melihat kesatuan ini dalam ibadah haji semata-mata, tanpa menyedari bahawa mereka perlu bersatu bagi menyelesaikan masalah umat Islam di seluruh dunia. Hilangnya kesatuan dalam tubuh umat Islamlah yang menyebabkan jiwa-jiwa umat Islam dibunuh dengan sesuka hati tanpa pembelaan daripada saudara seaqidahnya sendiri kerana kita dipisahkan oleh sempadan negara-bangsa dan semangat nasionalistik. Peristiwa hijrah pula hanya diperdengarkan sebagai sejarah umat Islam yang perlu diingati sehingga umat Islam reda dan pasrah hidup dalam negara yang menerapkan sistem kufur ciptaan manusia.

Oleh itu, umat Islam perlu sedar bahawa bila dia hidup di sebuah negeri yang menerapkan aturan–aturan kufur sehingga tidak diterapkan hukum-hukum Islam secara kaffah dan menghalang kesatuan mereka untuk saling melindungi serta membela, maka mereka perlu berusaha sekuat tenaga untuk mengubah aturan-aturan kufur tersebut dan diganti dengan aturan-aturan Islam agar mereka bisa menjalankan semua perintah Allah SWT tanpa ada halangan lagi. Dengan kata lain, mereka selalu memikirkan berbagai macam upaya dan cara agar keadaan masyarakatnya yang kufur itu berubah (berpindah) menuju masyarakat yang Islami.

Dengan kata lain, konsep kesatuan dalam ibadah haji dan hijrah sekarang wajib diwujudkan dengan cara bersatu dalam perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyyah. Umat Islam perlu sedar bahawa institusi politik Islam tersebut diperlukan dalam merealisasikan makna dan tujuan haji dan hijrah secara benar. Umat Islam juga tidak boleh hanya menunggu-nunggu tegaknya Daulah Islamiyyah di negeri lain, sehingga ia boleh pergi hijrah ke sana, akan tetapi dia berusaha bersungguh-sungguh menegakkan kekuasaan Islam di negerinya, dan turut serta berjuang bersama kaum Muslim yang lain untuk mewujudkan kembali masyarakat dan negara yang diatur dengan syariat Islam. Caranya tidak lain adalah dengan menentang segala dominasi pemikiran, perasaan, dan sistem sekular di tengah-tengah masyarakat saat ini. Kemudian menggantinya dengan dominasi pemikiran, perasaan, dan sistem Islam.

Maka, kami daripada Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) menganjurkan Kempen Kesatuan Hijrah: Celik Syariah Tegak Khilafah yang bertujuan untuk:

1. Menyedarkan Umat tentang sekularisasi makna haji dan hijrah.
2. Memberi pencerahan pada umat tentang kesatuan syariah dan politik dalam hukum haji dan hijrah.
3. Memberi kefahaman tentang kepentingan tegaknya kembali Khilafah Islam untuk mengembalikan makna haji dan hijrah yang sebenar.

Sahutlah seruan Allah SWT, “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk” [TMQ Ali-Imran (3):103].

Akhir kata, kami menyeru agar semua pihak bergabung dan berkorban bersama saudara-saudara kita di seluruh dunia demi mewujudkan kembali kesatuan umat dalam satu institusi politik Islam iaitu Daulah Khilafah yang akan menyatukan kaum Muslimin di bawah satu payung pemerintahan, membebaskan kaum Muslimin dari cengkaman musuh-musuh Allah serta mengembalikan kemuliaan kaum Muslimin sebagaimana dahulunya.

Wallahu `alam bi sshawab.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment