Kewajipan Bertudung: Mudahnya Hukum Allah Dipermainkan

Mudahnya hukum Allah dipermainkan. Alasan putus cinta, khilaf dan bimbang tidak istiqamah hanyalah justifikasi semata-mata. Demikianlah kenyataan Uqasha, seorang selebriti menyerlahkan keengganannya untuk terus melaksanakan hukum syarak yang merupakan kewajipan bagi setiap Muslimah.

Dia turut berkomentar, “Soal dosa dan pahala itu biarlah antara diri ini dengan Tuhan." (Berita Harian, 28/8/2016)

Komentar:

Situasi sebegini tidaklah menghairankan di mana hak dan kebebasan individu diiktiraf dalam negara bersistemkan demokrasi. Sudahlah tiada penerapan syariat Islam secara menyeluruh, kepedulian masyarakat dalam melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar juga semakin pudar. Akhirnya keperibadian Islam dalam diri individu terhakis sedikit demi sedikit.

Setiap Muslim yang baik pasti tahu bahawa kewajipan memakai tudung (khimar) bagi Muslimah adalah tidak boleh disangkal lagi berdasarkan dalil syarak,

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ

“….dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung (khimar) mereka hingga (menutupi) dada mereka…” [TMQ An-Nuur (24) : 31].

Namun, apakah yang mendorong si selebriti membuka tudung sekaligus auratnya? Tentunya ketiga-tiga aaspek di atas tidak berjalan serentak demi terwujudnya suasana keimanan. Media cetak dan elektronik seringkali memaparkan gaya hidup bebas dan hedonisitik. Hal ini tentunya mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku seseorang.

Lebih mengecewakan apabila wujudnya golongan daie yang menggunakan pendekatan kurang sesuai dengan mengungkapkan ayat-ayat ‘mengurat’ dan kata-kata yang kononnya ‘sporting’ didengar serta berharap diterima baik oleh masyarakat di luar sana. (Malaysiakini, 30/8/2016) Sedangkan masyarakat yang prihatin khususnya para daie, sewajarnya menggunakan kesempatan ini dengan menyeru umat dengan benar, agar umat bersungguh-sungguh kembali kepada nilai-nilai yang diajarkan Islam tanpa sebarang kompromi.

Allah swt berfirman:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلاً۬ مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحً۬ا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?" [TMQ Fushilat (41): 33].

Uqasha dan mana-mana Muslimah yang terjebak dalam hal yang seumpama ini, mungkin tidak tergamak untuk membuka tudungnya ketika mana merasakan suasana keimanan menyelubungi dirinya. Suasana bilamana muslimin dan muslimat patuh menutup aurat dan menjaga pergaulan serta tingkahlaku mereka. Suasana Islami inilah yang mesti diwujudkan. Bahkan akan segera diwujudkan dengan tegaknya institusi kemuliaan umat Islam, iaitu Khilafah ‘ala minhaj Nubuwwah.

Khilafah adalah negara yang menerapkan seluruh syariat Islam. Bukan sekadar menerapkan, malah mendidik umatnya agar menjaga ketakwaan dengan mempelajari hukum syarak bagi mengatur perbuatannya. Masyarakat pula memainkan peranan dengan mengajak kepada kema’rufan dan mencegah sedaya upaya dari sebarang kemungkaran. Sinergi yang saling berintegrasi ini tentu mampu mewujudkan suasana keimanan di tengah-tengah masyarakat. Dan bila terjadinya perlanggaran, maka penerapan hukum Islam tadi wajib dipertahankan dengan mengenakan hukuman sesuai perintah Allah. Ini bagi menghentikan segala bentuk penyimpangan dan perlanggaran hukum dari terus berleluasa. Ayuh kita realisasikan perintah Allah dan zahirkan keyakinan terhadap firman Allah,


كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah...” [TMQ Ali Imran (3): 110].

Wallahu’alam.

Oleh: Pn Rahmah Nadzri (Pimpinan Pusat MHTM)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment