Lenyapkan Sekularisasi Haji dan Hijrah

Oleh: Ustazah Amani Mohamed (Ketua MHTM Cawangan Muar)

Bulan Zulhijah merupakan antara bulan yang istimewa dalam kalendar umat Islam. Di dalamnya terkandung pelbagai syariat yang hanya sah dilakukan ketika bulan ini. Syariat terbesar adalah mengerjakan rukun Islam kelima iaitu menunaikan ibadah wajib haji bagi yang berkemampuan. Manakala bagi ibadah sunat pula termasuklah berpuasa sunat Arafah pada 9 Zulhijah kepada yang tidak melaksanakan wukuf dan menyembelih haiwan tertentu sebagai korban pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijah) dan hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijah. Kesemua syariat ini datangnya daripada Rabb yang satu melalui RasulNya yang satu iaitu Muhammad SAW khusus buat umatnya yang satu. Kesatuan ini amat jelas apabila jutaan kaum Muslimin dari jalan darat, udara mahupun laut tanpa mengira status sosial dan ekonomi, berbondong-bondong memenuhi kota suci Mekah sebagai dhuyufurRahman. Bagi jemaah lelaki, semuanya membalut tubuh dengan dua keping kain ihram putih berwukuf di tempat yang sama, melakukan tawaf, saie serta rukun haji yang lain. Pengalaman seorang jemaah haji yang dikisahkan melalui blognya (www.isnadtadawi.my) merupakan model berskala kecil yang boleh menggambarkan kesatuan akidah tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Kejadian diceritakan berlaku di salah satu tempat mustajab doa iaitu Hijr Ismail. Ketika ramai orang berasak-asak untuk menunaikan solat sunat di situ, beberapa jemaah berlainan kewarganegaraan (Malaysia, Afrika, Arab) bersilih ganti menjadi penghadang kepada yang sedang bersolat daripada dirempuh oleh jemaah yang lain. Inilah antara bukti bahawa haji bukan hanya memiliki makna akan keagungan pelaksanaan ibadah mahdhah atau rukun Islam yang kelima sahaja, namun ia juga merupakan cerminan kesatuan umat Islam.

Setiap Muslim selayaknya merasakan persamaan antara mereka kerana Rasulullah SAW ketika Haji Wada’ telah bersabda dengan maksudnya,

"Wahai manusia, sesungguhnya Tuhan kalian adalah satu dan bapa kalian adalah satu. Ingatlah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang bukan Arab; juga tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit hitam atas orang yang berkulit merah, kecuali dengan takwa" [HR Ahmad, Ibn Hibban, dan al-Harits].

Haji Dan Hijrah

Cuba kita renung sejenak, dari mana datangnya jutaan manusia ketika musim haji ini? Tentu ada peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah umat Islam yang menjadi titik mulanya. Sebenarnya ini semua hasil usaha keras yang dimulakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat awal Baginda. Setiap kali tiba musim haji selepas dilantik menjadi Rasul, Baginda SAW menawarkan dirinya kepada kabilah-kabilah Arab lalu mengajak mereka kepada agama Allah, menjelaskan kepada mereka bahawa Baginda adalah nabi yang diutus Allah; meminta mereka mengimani kerasulannya dan melindunginya supaya Baginda boleh menjelaskan wahyu Allah SWT. Baginda konsisten tanpa putus asa melakukannya selama lebih daripada 10 tahun. Sebagai puncak kepada kejayaan dakwah tersebut, berlakulah Baiat al-Aqabah pertama dan kedua antara kaum Muslimin dengan Rasulullah di sela-sela waktu pelaksanaan ibadah haji. Baiat ini adalah bukti ketundukan kepada hukum Allah. Akhirnya, berlakulah peristiwa yang paling bersejarah iaitu hijrahnya Rasulullah dan para sahabat dari Kota Mekah ke Kota Yathrib (Madinah). Baiat yang telah diberikan oleh penduduk Yathrib menjadi momentum permulaan Islam diterapkan secara praktis dan kaffah (menyeluruh). Peristiwa hijrah memacu laju dakwah Islam di bumi Allah ini dengan misi membawa rahmat ke seluruh alam bagaikan nila yang dititiskan ke dalam air, merebak dengan pantasnya. Walaupun Baginda telah meninggalkan kita lebih daripada 1000 tahun, bilangan umatnya semakin bertambah di segenap pelusuk dunia sehinggakan kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota kemasukan jemaah haji setiap tahun!

Sekularisasi Haji Dan Hijrah

Setelah lenyapnya Khilafah yang menaungi umat Islam, virus sekularisme yang muncul dalam agama Nasrani semakin menular dalam kehidupan kaum Muslimin. Kesedaran hubungan dengan Rabb Yang Maha Agung hanya tersisa dalam hal ibadah dan akidah semata-mata. Maka, tidak hairanlah kesatuan dan perpaduan umat Islam saat melaksanakan ibadah haji semakin berkubur setelah musim haji berlalu. Setelah kembali ke tanah air masing-masing, muncul semula semangat nasionalisme yang merupakan buah daripada akidah sekularisme dek sempadan geografi yang ditetapkan oleh pihak kuffar. Kaum Muslimin kembali sibuk melayani kepentingan peribadi dan negaranya sahaja serta mengabaikan saudara seakidah di belahan dunia lainnya. Rakyat di Syria, Palestin, Yaman, Xinjiang, Myanmar, Pattani dan banyak lagi terus mengalami kesulitan hidup dan terpaksa meregang nyawa kerana pembantaian yang dilakukan oleh penguasa yang membelot dan patuh kepada telunjuk Barat. Namun, sikap ambil peduli terasa sangat kurang bahkan ada yang benar-benar tutup mata dan telinga kerana menganggap bahawa hal itu bukan permasalahan mereka.

Hal yang sama juga terjadi setiap kali menjelang 1 Muharam. Kita tidak pernah lupa menyambut kedatangannya. Malah, tarikh tersebut diberi penghormatan dengan pemberian cuti umum oleh pihak pemerintah. Pelbagai uslub sambutan Maal Hijrah dapat disaksikan seperti perarakan (termasuklah pertandingan pasukan perarakan terbaik), ceramah, pertandingan nasyid, selawat beramai-ramai dan sebagainya. Namun, ia hanya sekadar itu sahaja dan hari berikutnya umat masih dalam keadaan yang sama tanpa sedikit pun memunculkan rasa untuk mengambil ibrah daripada intipati hijrahnya Baginda SAW serta para sahabat. Ada yang terus hidup selesa dengan pemikiran sekularisme, liberalisme dengan jaminan sistem demokrasi. Bertambah sedih, mereka yang teruk dibantai dan disiksa semata-mata kerana mereka Muslim, terus menjadi santapan lazat pihak yang menzalimi. Lalu, apakah ertinya ibadah haji yang mabrur? Apakah ertinya sambutan Maal hijrah yang menelan belanja yang besar setiap tahun? Inilah yang dinamakan sekularisasi dalam ibadah haji serta dalam memperingati tarikh hijrah.

Saatnya Mengubah Masyarakat


Kedua-dua peristiwa besar di atas adalah waktu terbaik untuk menggerakkan perubahan dalam masyarakat Muslim. Teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW iaitu tidak pernah mensia-siakan musim haji kecuali hanya menyampaikan hukum Islam baik sebelum peristiwa hijrah mahupun selepas menegakkan Negara Islam di Madinah. Peluang melaksanakan haji bersama umat dari pelbagai penjuru dunia terutamanya di tanah lapang Arafah benar-benar menjadi pertemuan akbar (besar) tahunan umat Islam. Kesatuan sebagai ummatan wahidah amat dirasakan selepas kemenangan Islam yang ditandai dengan peristiwa hijrah. Hijrahnya Baginda SAW bukanlah semata-mata perpindahan tempat tetapi keluar daripada darul kufur menuju kepada darul Islam. Ini bermakna tiada lagi peluang kekufuran dengan segala pemikiran busuk sekularisme, liberalisme, kapitalisme untuk bertapak di dalam dunia umat Islam. Setelah hijrahlah penindasan dan kezaliman ke atas umat Islam berakhir. Setelah hijrah pula Islam bangkit dan berkembang pesat hingga menyebar ke seluruh Jazirah Arab serta mampu menembus ke seluruh pelosok dunia. Inilah gambaran hijrah yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin, Aisyah RA,

“Dahulu ada orang Mukmin yang lari membawa agamanya kepada Allah dan Rasul-Nya kerana takut difitnah. Tetapi sekarang (setelah hijrah) Allah SWT benar-benar telah memenangkan Islam, dan seorang Mukmin dapat beribadah kepada Allah SWT sesukanya” [HR al-Bukhari].

Sumber: FIKRATUL UMMAH Edisi September – Oktober 2016 [Bil. 80]
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment