Mahasiswa Berpolitik: Antara Ketakutan dan Tuntutan?

Berita:
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata penuntut universiti awam dan swasta boleh berpolitik, namun perlu mematuhi ruang lingkup ditetapkan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2012 bagi memastikan mahasiswa tidak bertindak keterlaluan sehingga menjejaskan pelajaran dan masa depan mereka. Beliau mengingatkan mahasiswa agar tidak bertindak keterlaluan dan jangan mudah dipergunakan oleh pihak luar. Mahasiswa juga perlu ada sikap tanggungjawab dan memberi perhatian kepada pelajaran kerana mereka merupakan harapan kepada ibu bapa dan negara. (Utusan Online, 25/8/2016)

Komentar:

Golongan mahasiswa sekali lagi dimomokkan dengan ketakutan dan kebimbangan akan kesan dan tindakan yang bakal dihadapi jika terlibat aktif dalam aktiviti luar kuliah mahupun kampus terutama aktiviti politik. Antaranya, gagal dalam pelajaran dan bakal dikenakan tindakan undang-undang. Ini dibuktikan dengan berkuatkuasanya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Walaubagaimanapun, masyarakat sendiri menyaksikan perjuangan mahasiswa dalam arena politik terutamanya dalam hal-hal yang menyangkut kepentingan mereka. Suatu ketika dahulu pernah muncul gerakan mahasiswa untuk menghapuskan PTPTN dan kritikan demi kritikan dilemparkan apabila yuran pengajian dinaikkan. Ini membuktikan bahawa sesetengah pelajar berani ke hadapan bagi menyuarakan hak mereka. Malah saban tahun semakin ramai golongan tersebut yang nekad memperjuangkan nasib mereka sehingga tidak gentar dengan tindakan undang-undang yang bakal dikenakan seperti yang berlaku pada saudara Adam Adli.

Daripada isu ini terdapat dua persoalan yang mesti dijelaskan. Pertama, hukum pelajar terlibat dalam aktiviti politik. Bagi Muslim, setiap perbuatannya terikat dengan hukum syarak. Siyasah (politik) mengikut pengertian bahasa adalah pemeliharaan (pengurusan) kepentingan. Siyasah menurut pengertian syar’ie bermaksud ri’ayah asy-syu’un al-ummah dakhiliyyan wa kharijiyan (mengatur/memelihara urusan umat sama ada dalam atau luar negeri) [Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimah ad-Dustur]. Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa (bangun) di pagi hari dan perhatiannya kepada selain Allah, maka Allah akan berlepas diri dari orang itu. Dan barang siapa (bangun) di pagi hari tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk dari mereka (kaum Muslimin)” [HR Hakim].

Mengambil tahu urusan kaum Muslimin dan melakukan muhasabah (menasihati) pemerintah dengan Islam merupakan aktiviti politik yang menjadi kewajipan setiap Muslim. Tuntutan ini bersifat jazm (tegas) kerana orang yang mati kerana menasihati pemimpin adalah mati syahid. Rasulullah SAW bersabda,

“Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Mutallib dan seorang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim lalu menasihatinya, kemudian dia dibunuh oleh penguasa tersebut” [HR Hakim].

Persoalan kedua, apakah ciri-ciri parti politik yang benar untuk diikuti oleh seorang Muslim? Banyaknya parti politik dalam negara hari ini secara tidak langsung menjadikan mahasiswa keliru memilih hala tuju. Sekali lagi, mahasiswa wajib terikat dengan hukum syarak dalam memilih parti. Firman Allah SWT,

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (Islam), mengajak kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar” [TMQ Ali Imran (3):104].

Allah SWT memerintahkan hambaNya untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu kutlah atau gerakan yang menyeru kepada Islam dan melaksanakan amar ma'ruf nahi mungkar. Jadi, mahasiswa wajib memilih parti politik yang aktivitinya adalah menyeru kepada Islam dan melaksanakan amar ma'ruf nahi mungkar dalam rangka memenuhi kewajipan berpolitik.

Sehingga hari ini, bukan sedikit dari golongan mahasiswa yang sedar akan kewajipan berpolitik. Namun dalam masa yang sama kekhuatiran terhadap pelbagai risiko yang bakal dihadapi seperti digantung kuliah, dibuang daripada universiti atau lebih teruk lagi dikenakan tindakan undang-undang di bawah AUKU telah menghalang mereka dari bertindak. Sedarlah bahawa andaian ini semua berpangkal dari pemikiran kapitalis. Pemikiran ini mengarahkan manusia melakukan sesuatu bertujuan untuk mendapatkan manfaat duniawi semata dengan mengabaikan persoalan apakah itu perintah atau larangan Allah dan RasulNya. Sedarlah juga bahawa AUKU adalah jerat demokrasi yang memerangkap mahasiswa untuk tunduk kepada undang-undang dan hukuman ciptaan manusia melebihi undang-undang dan hukuman Allah SWT. Maka, kembalilah kepada Islam dan berpolitiklah secara Islam semoga dengan aktiviti ini, urusan umat senantiasa terpelihara dan kehidupan mereka sejahtera di bawah naungan syariat Islam. Wallahu’alam

Oleh: Syamsiyah Jamil (Pimpinan Pusat MHTM)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment