Penyelenggaraan Ibadah Haji Di Dalam Negara Khilafah

Oleh: Hafidz Abdurrahman

Allah SWT telah menetapkan haji sebagai fardhu ain bagi kaum Muslim yang memenuhi syarat dan berkemampuan. Allah SWT menyatakan dalam al-Quran,
“Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah” [TMQ Ali Imran (3): 97].

Nabi SAW bersabda,“Wahai manusia, Allah SWT telah mewajibkan haji kepada kalian, maka berhajilah” [HR Muslim daripada Abu Hurairah].

Mengenai syarat wajibnya haji, menurut Ibn Qudamah ada lima syarat: (1) Islam; (2) berakal; (3) baligh; (4) merdeka (bukan budak); (5) mampu. Mampu itu dijelaskan dalam hadis Nabi meliputi dua perkara iaitu (1) bekal (az-zad); (2) kenderaan (ar-rahilah) [HR ad-Daruquthni daripada Jabir, Aisyah, Anas, Abdullah bin Umar]. (Lihat, Ibn Qudamah, al-Mughni, hal. 650).

Bagi setiap Muslim yang memenuhi syarat dan berkemampuan untuk menunaikannya, maka kewajipan haji tersebut telah jatuh kepadanya. Saat itu juga dia wajib berazam untuk menunaikan haji. Jika berlaku hal lain yang menyebabkan dia tidak boleh menunaikannya, kemudian dia meninggal sebelum sempat menunaikanya, maka dia dinyatakan tidak berdosa kerana telah berazam saat kewajipan tersebut jatuh kepadanya. Namun, jika dia mempunyai ghalabatud dzan (dugaan kuat) bahawa kemampuannya akan hilang sebelum menunaikan haji, maka dia tidak boleh menangguhkan hajinya. Sebaliknya, dia wajib menunaikan haji saat itu juga. Jika tidak, maka dia berdosa. (Lihat, al-‘Allamah Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani, as-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, Juz III/41; Ibn Qudamah, al-Mughni, hal. 660).

Penyelenggaraan Haji

Selain daripada masalah hukum syarak yang terkait dengan syarat wajib dan rukun haji, dalam penyelenggaraan ibadah haji juga terdapat masalah hukum ijra’i yang terkait dengan teknik dan administrasi, termasuk uslub dan wasilah. Hanya sahaja, oleh kerana ibadah haji ini dilaksanakan pada waktu (Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah) dan tempat (Mekah, Mina, Arafah dan Muzdalifah, termasuk Madinah) tertentu, maka diperlukan pengaturan yang baik oleh negara.

Hukum ijra’i adalah sebagai bentuk pengaturan yang merupakan bahagian daripada hukum syarak, maka sudah tentu ia tidak boleh melanggar hukum syarak itu sendiri. Sebagai contoh, ditetapkannya syarat usia 18 tahun dalam UU No 13/2008 tentang Penyelenggaraan Ibadah Haji jelas menyalahi hukum syarak khususnya ketentuan tentang usia baligh. Ketentuan seperti ini tidak boleh ada walaupun dijadikan sebagai bentuk pengaturan. Selain itu, Islam juga menetapkan prinsip dasar dalam masalah pengaturan (administratif), iaitu basathah fi an-nidzam (sistemnya sederhana), su’ah fi al-injaz (pelaksanaannya cepat) dan ditangani oleh orang yang profesional.

Oleh itu, Khilafah sebagai satu negara yang menaungi lebih daripada 50 negeri kaum Muslim boleh melakukan beberapa polisi:

1. Membentuk jabatan khusus yang mengurus urusan haji dan umrah daripada pusat hingga ke daerah. Oleh kerana hal ini terkait dengan masalah administrasi, maka urusan tersebut boleh didesentralisasikan, sehingga memudahkan calon jemaah haji dan umrah. Dengan prinsip basathah fi an-nidzam, sur’ah fi al-injaz dan ditangani oleh orang yang profesional, maka urusan ini akan dilayani dengan cepat dan baik. Jabatan ini akan mengurusi urusan haji yang terkait dengan persiapan, bimbingan, pelaksanaan sehingga kepada urusan pengembalian ke tempat asal. Jabatan ini juga boleh bekerjasama dengan jabatan kesihatan dalam kerja mengurus kesihatan jemaah, juga boleh bekerjasama dengan jabatan perhubungan dalam urusan pengangkutan awam.

2. Jika negara harus menetapkan kenaikan tambang haji, maka besar dan kecilnya tentu akan disesuaikan dengan biaya yang diperlukan oleh para jemaah berdasarkan jarak wilayahnya dengan Tanah Haram (Mekah-Madinah), serta penginapan yang diperlukan sepanjang tempoh pergi dan kembali dari tanah suci. Dalam penentuan harga ini, paradigma negara Khilafah adalah ri’ayatu syu’un al-hujjaj wa al-‘ummar (mengurus urusan jemaah haji dan umrah). Bukannya paradigma berniaga, untung dan rugi, apalagi menggunakan dana calon jemaah haji untuk bisnis, investasi, dan sebagainya. Khilafah juga boleh membuka pilihan kepada para jemaah sama ada hendak melalui jalan darat, laut atau udara yang mana setiap pilihan jalan itu dengan biaya yang berbeza. Di zaman Sultan Abdul Hamid II, Khilafah saat itu membangun sarana pengankutan awam dari Istanbul, Damaskus hingga Madinah untuk membawa jemaah haji. Jauh sebelum Khilafah Utsmaniyah, Khalifah Abbasiyyah iaitu Harun ar-Rasyid telah membina laluan untuk para jemaah haji dari Irak hingga Hijaz (Mekah-Madinah) yang mana disetiap pusatnya dibangun pondok perkhidmatan awam yang menyediakan kemudahan logistik termasuk dana zakat bagi yang kehabisan bekal.

3. Penghapusan visa haji dan umrah: Polisi ini merupakan konsekuensi daripada hukum syarak berkenaan kesatuan wilayah yang berada dalam satu negara. Hal ini kerana, seluruh jemaah haji yang berasal dari berbagai penjuru dunia Islam boleh bebas keluar masuk Mekah-Madinah tanpa menggunakan visa. Mereka hanya perlu menunjukkan pengenalan diri sama ada dengan kad pengenalan atau pasport. Visa hanya berlaku untuk kaum Muslim yang menjadi warganegara kafir, baik kafir harbi hukman mahupun fi’lan.

4. Pengaturan kuota haji dan umrah: Khalifah berhak untuk mengatur masalah ini, sehingga keterbatasan tempat tidak menjadi halangan bagi para calon jemaah haji dan umrah. Dalam hal ini, Khalifah harus memperhatikan: Pertama, kewajipan haji dan umrah hanya berlaku sekali seumur hidup. Kedua, kewajipan ini berlaku bagi mereka yang memenuhi syarat dan berkemampuan. Bagi calon jemaah yang belum pernah menunaikan ibadah haji dan umrah, sementara mereka sudah memenuhi syarat dan berkemampuan, maka mereka akan diutamakan. Pengaturan ini akan boleh berjalan dengan baik jika negara Khilafah mempunyai kumpulan data bagi seluruh rakyat di wilayahnya, sehingga pengaturan ini boleh dilaksanakan dengan baik dan mudah.

5. Pembangunan infrastruktur Mekah-Madinah: Pembangunan ini telah dilakukan terus-menerus sejak zaman Khilafah Islam mulai daripada perluasan Masjidil Haram, Masjid Nabawi, hingga kepada pembangunan pengangkutan awam dan penyediaan logistik bagi jemaah haji dan umrah. Hal yang sama akan terus-menerus dilakukan oleh Khilafah di masa akan datang. Namun, apa yang perlu diperhatikan adalah perluasan dan pembangunan ini tidak akan menghilangkan tapak-tapak bersejarah, kerana tapak-tapak ini boleh membangkitkan kembali memori jemaah haji tentang perjalanan hidup Nabi dalam membangun peradaban Islam, sehingga boleh memotivasikan mereka.

Manasik Haji Dan Umrah

Selain dari aspek ijra’i, perkara yang tidak kalah pentingnya adalah pelaksanaan manasiknya itu sendiri. Oleh kerana ia berkaitan dengan kaifiyyah manasik, maka negara tidak akan menetapkan (mentabanni) tatacara tertentu dalam pelaksanaan manasik. Sebaliknya diserahkan kepada setiap individu jemaah. Namun demikian, untuk memastikan manasik ini berjalan dengan baik, bimbingan boleh dilakukan khususnya bagi yang memerlukan. Maka, Khilafah akan menyediakan para pembimbing dan pendamping jemaah haji dalam jumlah yang memadai

Mulai tanggal 8 Zulhijjah, sarana dan prasarana di Mina telah dipersiapkan termasuk tempat penginapan dan logistik yang diperlukan oleh jemaah yang hendak melaksanakan Tarwiyah. Demikian juga Arafah, yang digunakan oleh para jemaah haji saat wukuf dan Muzdalifah yang digunakan mabit (untuk bermalam) pada tarikh 9 Zulhijjah. Demikian juga Mina yang digunakan untuk melakukan Jumrah Aqabah, menyembelih korban dan tahallul shughra, hinggamabit, baik bagi yang mengambil Nafar Awwal (11-12 Zulhijjah) mahupun Tsani (11-13 Zulhijjah) dipersiapkan sedemikian oleh negara, sehingga manasik yang dilakukan jemaah di tempat tersebut boleh dilaksanakan dengan sempurna.

Negara bukan hanya bertanggungjawab menyediakan tempat penginapan dan logistik, tetapi negara juga bertanggungjawab menyediakan pengangkutan awam yang memadai dan efektif, sehingga jemaah tidak terlibat dengan kesesakan sehingga menganggu jadual mereka. Dari Mekah-Mina (8 Zulhijjah) untuk melakukan Tarwiyah; Mina-Arafah (9 Zulhijjah) untuk melakukan Wukuf; Arafah-Muzdalifah (9-10 Zulhijjah) untuk melakukan Wukuf-Mabit, Muzdalifah-Mina (10 Zulhijjah) untuk melakukan Jumrah Aqabah, menyembelih korban dan tahallul shughra, hingga mabit; Mina-Makkah-Mina (10 Zulhijjah) untuk melakukan Thawaf Ifadhah-Sai dan Mabit, Mina-Mekah (12-13 Zulhijjah) kembali ke Baitullah bagi Nafar Awwal mahupun Tsani, selanjutnya untuk melakukan Thawaf Wada’.

Secara Khusus, Khalifah akan menyampaikan khutbah Arafah di Masjid Namirah dan memimpin Wukuf para jemaah. Di Arafah, negara akan memasang fasiliti sound system yang memadai termasuk layar raksasa di beberapa titik sehingga seluruh jemaah haji boleh menyaksikan dan mendengarkan khutbah Arafah Khalifah. Pesanan Khalifah ini merupakan pesanan penting yang akan mereka bawa ke negeri masing-masing. Dengan begitu, hanya ada satu khutbah saat Wukuf, iaitu Khutbah Khalifah bukan khutbah sendiri-sendiri, juga dengan satu bahasa iaitu bahasa Arab yang merupakan bahasa resmi negara. Mereka juga boleh menyampaikan syakwa (pengaduan) kepada Khalifah terhadap para ketua daerah mereka masing-masing sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Khalifah Umar terhadap para walinya. Wallahu a’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment