Puasa Arafah Berbeza Dengan Waktu Wukuf di Arafah, Bolehkah?

Soalan:
Ustaz, bolehkah seorang Muslim berpuasa Arafah dengan waktu yang berbeza dengan waktu di Arafah?


Jawapan:

Haram hukumnya bagi seorang Muslim berpuasa Arafah pada hari yang berbeza dengan waktu wukuf di Arafah. Inilah pendapat terkuat (rajih) dalam masalah ini berdasarkan dua dalil yang huraiannya seperti berikut:

Pertama, kerana puasa hari Arafah yang berbeza dengan hari wukuf di Arafah telah menyimpang daripada definisi syariah (al ta’rif al syar’i) untuk puasa hari Arafah tersebut. Imam Badruddin Al ‘Aini menjelaskan bahawa hari Arafah (yauma ‘Arafah) menunjukkan waktu (al zamaan) dan tempat (al makaan) sekaligus. Dari segi waktu, hari Arafah adalah hari ke-9 bulan Zulhijjah. Sedangkan dari segi tempat, hari Arafah adalah hari di mana para jemaah haji berwukuf di Arafah. (Badruddin Al ‘Aini, ‘Umdatul Qari Syarah Shahih Al Bukhari, syarah hadis No. 603, 5/339; Ibnu Qudamah, Al Mughni, 5/44).

Jadi, definisi syarie untuk hari Arafah (yauma ‘Arafah) adalah hari yang para jemaah haji berwukuf di Arafah (al yaumu alladzi yaqifu fiihi al hajiij bi-‘arafah). Definisi inilah yang dianggap kuat (rajih) oleh al-Lajnah ad-Da`imah Lil Buhuts al-‘Ilmiyyah wal Ifta` (Dewan Tetap untuk Pengkajian Ilmiah dan Fatwa Saudi) di bawah pimpinan Syeikh Abdul Aziz bin Baz, juga oleh Lajnah al-Ifta` al Mashriyyah (Dewan Fatwa Mesir), Syeikh Hisamuddin ‘Ifanah dari Jordan, Syeikh Abdurrahman As Sahiim, dan lain-lain. (Abu Muhammad bin Khalil, An Nuur As Saathi’ min Ufuq Al Thawaali’ fi Tahdiid Yaumi ‘Arafah Idzaa Ikhtalafal Mathaali’, hlm. 3).

Definisi tersebut didasarkan pada beberapa dalil hadis. Di antaranya sabda Rasulullah SAW, “Arafah adalah hari yang kamu kenal.” (’arafah yauma ta’rifuun). [HR Baihaqi, As Sunan Al Kubra, 5/176, disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih Al-Jami’, No. 4224].

Oleh itu, jika seorang Muslim berpuasa Arafah pada hari yang dianggapnya 9 Zulhijjah, namun bukan hari wukuf di Arafah, misalnya berpuasa satu hari sebelumnya mahupun sesudahnya, bererti dia telah menyalahi hukum syariah.

Padahal Islam telah melarang seorang Muslim untuk melakukan amal yang menyalahi hukum syariah berdasarkan dalil umum daripada sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa melakukan suatu perbuatan (amal) yang tidak ada perintah kami atasnya, maka perbuatan itu tertolak” [HR Bukhari No. 2550; Muslim No. 1718].

Kedua, kerana berpuasa Arafah berbeza waktu dengan wukuf di Arafah telah menyalahi kaedah wajib untuk menentukan Aidil Adha dan rangkaian manasik haji di bulan Zulhijjah, iaitu rukyatul hilal yang dilakukan oleh Wali Mekah (penguasa Mekah). Dengan kata lain, kaedahnya bukanlah hisab dan juga bukan rukyatul hilal di tempat negeri kaum Muslim masing-masing berdasarkan prinsip ikhtilaful mathali’(perbezaan mathla’).

Pandangan yang lebih tepat, perbezaan mathla’ tidak dapat dijadikan kaedah (laa ‘ibrata bikhtilaf al mathali’), kerana telah terdapat dalil khusus yang menunjukkan bahawa penentuan Aidil Adha termasuk waktu manasik haji seperti wukuf di Arafah, wajib mengikuti rukyatul hilal Wali Mekah, bukan yang lain. Namun, jika Wali Mekah tidak berhasil merukyah hilal, maka Wali Mekah akan mengambil rukyah dari negeri-negeri Islam di luar Mekah.

Daripada Husain bin Al-Harits Al-Jadali RA daripada Jadilah Qais, dia berkata“Amir (penguasa) Mekah berkhutbah kemudian dia berkata, “Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita agar kita menjalankan manasik haji berdasarkan rukyah. Lalu jika kita tidak melihat hilal dan ada dua orang saksi yang adil yang menyaksikannya, maka kita akan menjalankan manasik haji berdasarkan kesaksian keduanya” [HR Abu Dawud, hadis No. 2340. Imam Daruquthni berkata, “Hadis ini isnadnya muttashil dan sahih” Lihat Sunan Ad-Daruquthni, 2/267. Syeikh Nashiruddin al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Dawud (2/54) berkata, “Hadis ini sahih”].

Hadis ini menunjukkan bahawa yang mempunyai kuasa untuk menetapkan hari-hari manasik haji seperti hari Arafah dan Aidil Adha adalah Amir Mekah (penguasa Mekah), bukan yang lain. Maka berpuasa Arafah pada hari yang berbeza dengan hari Arafah kerana mengikuti rukyah di masing-masing negeri kaum Muslim, haram hukumnya kerana telah meninggalkan kaedah wajib yang ditetapkan Rasulullah SAW, iaitu rukyatul hilal penguasa Mekah.

Wallahu a’lam.[]

Oleh: M Shiddiq A lJawi (Lajnah Tsaqafiyah HTI)

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment