Soal Jawab Seputar Zakat Perdagangan

بسم الله الرحمن الرحيم

Soalan:
Assalamualaikum, saya mempunyai soalan tentang zakat. Saya akan jelaskan fakta masalahnya. Saya mendapat keuntungan melalui penjualan pangsapuri. Sebagai contoh, saya membeli pangsapuri dengan harga 30 000 dan saya jual dengan harga 35 000. Selepas setahun saya memperoleh keuntungan sebanyak 20 000. Pada tahun lalu saya mempunyai harta sebanyak 100 000 dan kini harta saya menjadi 120,000. Jumlah mana yang wajib dibayar zakatnya? 20 000 atau 120 000?

Jawapan:

Waalaikumsalam wa rahmatullah wa barakatuh.

Jelas daripada soalan saudara bahawa saudara menjalankan urusan perniagaan dengan jual beli pangsapuri. Oleh itu, zakat di sini termasuk dalam zakat perdagangan dan komoditi yang diperdagangkan wajib dizakatkan tanpa ada perbezaan pendapat dalam kalangan para sahabat. Daripada Samurah bin Jundub beliau berkata,

“Amma ba’du, sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan kita mengeluarkan zakat daripada apa yang kita sediakan untuk jual beli” [HR Abu Dawud].

Kewajipan zakat dalam perdagangan telah diriwayatkan daripada Umar, Abdullah bin Umar, Ibn Abbas dan tujuh fuqaha; al-Hasan, Jabir, Thawus, an-Nakha’iy, at-Thawri, al-Awza’iy, asy-Syafi’iy, Ahmad, Abu Ubaid, Ashabu ar-Ra’yi dan selain mereka.

Zakat diwajibkan ke atas komoditi perdagangan jika nilainya telah mencapai nilai nisab emas atau nilai nisab perak dan telah berlalu satu haul.

Jika seorang peniaga memulakan perniagaannya dengan harta kurang daripada nisab dan pada akhir haul hartanya meningkat sehingga sampai nisab, maka tidak ada zakat ke atasnya kerana nisab tidak tercapai selama tempoh satu haul. Namun, wajib ke atasnya zakat pada nisabnya ini selepas berlalu satu haul penuh.

Jika seorang peniaga memulakan perniagaannya dengan harta yang melebihi nisab, contohnya dia memulakan perniagaannya dengan 1000 Dinar dan pada akhir tahun perniagaannya berkembang dan nilainya menjadi 3000 Dinar, maka dia wajib mengeluarkan zakat daripada 3000 Dinar, bukan 1000 Dinar yang dia gunakan untuk memulakan perniagaannya dan bukan daripada keuntungan sahaja yang dia peroleh. Tetapi daripada jumlah penuh yang dia miliki iaitu daripada 3000 Dinar sebab pertumbuhan harta yang dia mulakan itu mengikuti harta pokok ini dan haul keuntungan hasil daripadanya juga adalah haul harta pokok itu.

Dengan erti kata lain, masalah tersebut adalah seperti berikut:
1. Ketika nilai barang yang diperniagakan sama dengan nisab, 20 Dinar emas iaitu 85 gram emas, atau 200 Dirham perak iaitu 595 gram perak, ketika itu tarikh tersebut dicatat dan menjadi awal haul “tahun berjalan”.
2. Pada akhir haul dikira nilai barang yang dimiliki iaitu yang diperniagakan; pokok dan keuntungan, kemudian dikeluarkan zakatnya sebanyak 1/40 atau 2.5%.
3. Atas dasar itu, maka jawapan kepada soalan saudara adalah seperti berikut:
4. Pada tahun lalu saudara mempunyai 100 000 untuk perniagaan dan jumlah ini lebih daripada nisab.
5. Hasil perniagaan jual beli pangsapuri dengan keuntungan setahun 20 000.
6. Akhir tahun “haul” saudara telah mempunyai 120 000.
7. Zakat yang wajib adalah ke atas semua harta perniagaan, bukan hanya ke atas keuntungan, bermakna ke atas jumlah penuh perniagaan iaitu 120 000, zakatnya sebanyak 2.5% iaitu 3000.

Saudaramu,
Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
13 Jamadil Awal 1435 H
14 Mac 2014 M

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment