Bolehkah Menerapkan Syariah Secara Bertahap? (Bahagian 1)

Pendapat tentang kebolehan tadarruj (gradualisasi) atau bertahap dalam penerapan syariah Islam merupakan perkara yang sangat berbahaya. Penyeru tadarruj beralasan bahawa penerapan Islam secara sekaligus itu tidak mungkin. Oleh kerana itu, penerapan syariah Islam perlu dilakukan satu demi satu. Hal itu bererti akan ada penerapan hukum-hukum kufur pada sebahagian masalah dan hukum-hukum Islam pada sebahagian yang lain.


Jelas sekali terdapat dosa dan kerosakan yang besar dalam perkara ini. Ia juga jelas bahawa yang dijadikan dalil oleh para penyeru tadarruj kebanyakannya dipaksakan. Mereka tidak mengistinbat hukum daripada dalil syarie. Mereka memutuskan terlebih dahulu bahawa tadarruj adalah penting kemudian mereka mula mencari dalil-dalil pembenaran atas kebolehan tadarruj tersebut. Ini jelas menyalahi tatacara sahih dalam melakukan istinbat.

Cara Istinbat Hukum yang Benar

Dalam mengistinbat hukum syariah untuk satu masalah, perlu dikaji faktanya terlebih dahulu dengan baik kemudian dikumpulkan dalil-dalil yang berkaitan dengan fakta itu. Dalil-dalil ini dikaji secara ushul kemudian daripada dalil-dalil itu lalu dilakukan proses istinbat hukum.
Selanjutnya jika ada dua dalil yang bertentangan, wajib dikerahkan segenap tenaga untuk mempertemukan (kompromi) di antara dalil-dalil tersebut. Sebab mengamalkan dua dalil lebih utama daripada mengabaikan salah satunya.

Jika usaha kompromi tersebut tidak berjaya, barulah dilakukan tarjih (pengesahan) untuk mengetahui dalil yang manakah lebih kuat (rajih) sesuai ushul yang diikuti. Al-Muhkam tentu dirajihkan daripada al-mutasyabbih; yang qathie dirajihkan daripada yang zhanni. Jika sama-sama zhanni maka dikaji kekuatan dalil dari sisi sanad dan dari sisi umum. Yang lebih kuat sanadnya dirajihkan atas yang lebih lemah sanadnya. Dalil yang khusus (khas) dirajihkan atas yang umum (am). Al-Muqayyad dirajihkan atas yang al-muhtlaq. Al-Manthuq dirajihkan atas al-mafhum. Demikianlah juga dengan seterusnya.

Tadarruj Haram

Dengan mengkaji dalil-dalil syariah yang ada, jelas sekali bahawa tadarruj (pertahapan) dalam menerapkan Islam—dengan menerapkan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain—adalah terlarang (haram). Dalil-dalil tentang keharamannya bersifat qathie ats-tsubut dan qathie ad-dalalah. Berikut kami menyebutkan sebahagiannya.

Pertama:

Firman Allah SWT,

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللّهُ إِلَيْكَ

“Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang telah Allah turunkan. Janganlah mengikuti hawa nafsu mereka. Berhati-hatilah terhadap mereka agar jangan sampai mereka memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah Allah turunkan kepada kamu” [TMQ al-Maidah (5): 49].

Ini merupakan perintah tegas daripada Allah SWT kepada RasulNya, juga kepada para penguasa kaum Muslim setelah Baginda agar berhukum dengan seluruh hukum yang telah Allah turunkan. Sebab lafaz “ma” yang dinyatakan di dalam ayat tersebut termasuk redaksi umum sehingga mencakup seluruh hukum yang diturunkan. Allah SWT telah melarang RasulNya dan para penguasa kaum Muslim setelah Baginda untuk mengikuti hawa nafsu manusia dan tunduk pada kehendak mereka [Lihat: TMQ al-Maidah (5): 49].

Allah SWT memperingatkan RasulNya dan para penguasa kaum Muslim setelah Baginda agar jangan sampai dipalingkan oleh manusia daripada penerapan sebahagian hukum yang telah Allah turunkan. Bahkan mereka wajib menerapkan seluruh hukum yang telah Allah turunkan tanpa menoleh sedikit pun pada apa yang diinginkan oleh manusia [Lihat: TMQ Al-Maidah (5): 49].

Kedua:

Firman Allah SWT,

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللّهُ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

“Siapa sahaja yang tidak memutuskan hukum berdasarkan apa yang telah Allah turunkan, maka mereka itulah kaum kafir” [TMQ Al-Maidah (5): 44].

Dalam ayat lain, Allah SWT mengatakan bahawa mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah SWT disebut zalim [TMQ Al-Maidah (5): 45] dan fasik [TMQ Al-Maidah (5): 47]. Hal itu kerana kalimah “ma” yang dinyatakan dalam ketiga-tiga ayat tersebut termasuk redaksi umum sehingga mencakup seluruh hukum syariah yang telah Allah turunkan.

Ketiga:

Khulafaur Rasyidun tegas menerapkan hukum-hukum Islam secara kaffah atas semua negeri yang ditakluki. Tentu mereka adalah orang-orang paling memahami Kitabullah dan Sunnah RasulNya. Mereka menerapkan seluruh hukum secara sekaligus tanpa penundaan, penangguhan atau bertahap. Sebagai contoh, mereka tidak mengizinkan orang yang masuk Islam untuk meminum khamr atau berzina untuk satu tahun, kemudian setelah itu dilarang. Sebaliknya, hukum syariah diterapkan seluruhnya. Ini adalah realiti yang mutawatir dalam penerapan hukum atas negeri-negeri yang ditakluki.

Keempat:

Atas dasar itu, dalil zhanni tidak berpengaruh dalam hukum ini. Keharaman tadarruj dan kewajipan penerapan hukum Islam secara kaffah ditetapkan oleh nas yang qathie. Ini bererti bahawa dalil zhanni manapun yang di dalamnya terdapat syubhat dalalah yang bertentangan dengan qathie tidak boleh digunakan.

Kelima:

Mungkinkah dalam konteks ini menerapkan dua dalil? Dalam hal ini, kita perlu memaparkan terlebih dahulu dalil-dalil yang dijadikan hujah atas kebolehan bertadarruj.

Hadis Aisyah RA Tentang Khamar.

Yusuf bin Mahak berkata, “Aku pernah berada di hadapan Aisyah Ummul Mukminin RA ketika seseorang dari Iraq datang dan berkata, “Kafan manakah yang lebih baik?” Aisyah berkata, “Celaka kamu! Apa yang memudaratkanmu?” Dia berkata, “Ummul Mukminin, tunjukkan kepadaku mushafmu?” Aisyah bertanya, “Mengapa?” Dia berkata, “Agar aku menulis al-Quran berdasarkan hal itu kerana yang dibaca tidak ditulis.” Aisyah berkata, “Apa yang memudaratkanmu? Mana yang kami baca sebelumnya? Tidak lain yang paling awal diturunkan adalah surat al-Mufashshal, di dalamnya disebutkan tentang syurga dan neraka sehingga ketika manusia ramai masuk Islam turunlah al-Halal dan al-Haram, seandainya yang pertama kali turun adalah, ‘Jangan kalian meminum khamar,’ niscaya mereka berkata, ‘Kami tidak akan meninggalkan khamar selamanya.’ Seandainya yang turun adalah, ‘Jangan kalian berzina,’ nescaya mereka berkata, ‘Kami tidak meninggalkan zina selamanya.’ Telah turun di Mekah kepada Muhammad SAW dan aku ketika itu masih gadis yang masih bermain-main (yang ertinya): “Sebenarnya Hari Kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka dan Kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit” [TMQ al-Qamar (54): 46]. Tidaklah turun surah al-Baqarah dan an-Nisa kecuali aku ada di sisi Baginda.”

Yusuf berkata, “Aisyah lalu mengeluarkan mushhaf. Dia kemudian menentukan kepada orang itu surah-surah.”

Pertanyaannya: Dimana dalalah di dalam ucapan Aisyah RA yang menunjukkan tadarruj dalam penerapan hukum syariah?

Sesungguhnya Aisyah RA menjelaskan kepada orang Iraq yang bertanya bahawa surah daripada al-Quran yang pertama diturunkan adalah surah-surah yang berbicara tentang akidah Islamiyah agar orang-orang beriman dengan Islam. Ketika mereka telah beriman, diturunkan surah-surah yang berbicara tentang halal dan haram iaitu tentang hukum-hukum syariah. Tidak ada di dalamnya tadarruj dalam penerapan halal dan haram. Pernyataan Aisyah RA ini justeru menunjukkan sebaliknya iaitu penerapan seluruh perkara halal dan haram.

Terkait hadis di atas, di dalam Fathu al-Bari dinyatakan, “Ini mengisyaratkan pada hikmah Ilahiah dalam tertib (urutan) turunnya ayat, iaitu yang pertama turun adalah seruan pada tauhid dan berita gembira kepada kaum Mukmin dan yang taat dengan syurga serta untuk orang kafir dan yang bermaksiat dengan neraka.”

Urutan ayat al-Quran yang berkaitan dengan akidah terlebih dahulu, kemudian setelah itu ayat-ayat tentang hukum adalah sesuai dengan hakikat perkara. Kaum yang kufur kepada Allah, Rasul-Nya dan Hari Akhir tidak akan menyahut perintah Allah SWT. Oleh kerana itu, pertama sekali mereka mesti diseru pada iman dan tauhid. Jika mereka menerimanya, barulah mereka dibebani dengan hukum-hukum syariah. Jika demikian, lalu apa hubungannya dengan tadarruj dalam penerapan hukum-hukum syariah atas kaum Muslim di negeri-negeri kaum Muslim?

Penundaan Had Pencurian Pada Masa Khalifah Umar RA

Umar RA tidak melakukan tadarruj dalam penerapan had pencurian. Had pencurian diterapkan langsung setelah ayat tentang itu turun pada zaman Nabi SAW, kemudian terus diterapkan pada zaman Khalifah Abu Bakar, Khalifah Umar dan seluruh Khalifah setelah mereka. Adapun yang dilakukan oleh Umar RA dengan tidak menerapkan had pada saat itu kerana ada keadaan-keadaan yang memang memungkinkan di situ tidak boleh dilakukan potong tangan, di antaranya keadaan kebuluran (kerana ketika kebuluran orang mungkin akan mencuri kerana lapar).

Dalil atas larangan potong tangan pada tahun kebuluran antara lain:

Pertama, riwayat yang dinukil oleh as-Sarakhsi dalam al-Mabsuth daripada Makhul RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

لاَ قَطْعَ فِي مَجَاعَةِ مُضْطَرٍّ

“Tidak ada potong tangan pada masa kelaparan yang memaksa”.

Kedua, di dalam al-Mabsuth as-Sarakhsi juga menukil riwayat daripada al-Hasan, daripada seorang lelaki yang berkata, “Aku pernah melihat dua orang lelaki diikat dan selonggok daging. Lalu aku pergi bersama mereka menuju kepada Khalifah Umar RA. Pemilik daging berkata kepada Khalifah Umar, “Kami mempunyai unta ‘usyara’ yang kami tunggu seperti musim pertengahan yang ditunggu. Lalu aku temukan dua orang ini telah menyembelih unta itu.” Umar RA berkata, “Apakah engkau rela untamu usyara’ diganti dengan dua ekor usyara’ umur empat tahun? Sesungguhnya kami tidak memotong tangan dalam kes kecurian daging (kerana lapar) dan tidak pada tahun kebuluran.”

Usyara’ adalah unta bunting 10 bulan dan hampir melahirkan. Ucapan Khalifah Umar RA di atas bermakna tidak ada potong tangan pada tahun kebuluran kerana keperluan yang memaksa iaitu kelaparan dan kebuluran.

Ketiga, Ibnu Abi Syaibah menuturkan riwayat di dalam al-Mushannaf-nya daripada Ma’mar, daripada Yahya bin Abi Katsir, yang berkata bahawa Umar RA pernah berkata,

لاَ يُقْطَعُ فِي عِذْقٍ، وَلاَ فِي عَامِ سَنَةٍ

“Tidak dipotong tangan pada kes kecurian daging (kerana lapar) dan tidak pada tahun kebuluran”.

Atas dasar itu, had tidak dijatuhkan oleh Khalifah Umar RA pada tahun kebuluran kerana merujuk pada hukum syariah yang menetapkan bahawa had tidak boleh dijatuhkan dalam kes kecurian pada tahun kebuluran. Ertinya, Khalifah Umar RA justeru sedang menerapkan hukum syariah, bukan meninggalkan hukum syariah. Sebab inilah hukum syariah dalam keadaan demikian. Jadi, di mana letak hubungan tindakan Khalifah Umar RA ini dengan tadarruj dalam penerapan hukum-hukum syariah?

Kisah Umar Bin Abdul Aziz Bersama Puteranya

Daulah Umaiyah adalah Daulah Khilafah Islamiyah. Daulah Umaiyah tidak menerapkan hukum selain Islam. Hanya sahaja, di dalam Daulah Umaiyah memang terjadi sejumlah penyimpangan dan kezaliman oleh sebahagian Khalifah dan para wali. Ketika Umar bin Abdul Aziz memegang tampuk Kekhilafahan, dia melanjutkan penerapan Islam atas masyarakat secara sempurna. Ia sama sekali tidak melakukan tadarruj dalam penerapan hukum-hukum syariah terhadap masyarakat dengan menerapkan sebahagian hukum Islam dan meninggalkan sebahagian lainnya. Akan tetapi, Umar bin Abdul Aziz RA mempunyai perhatian besar untuk menghilangkan kezaliman dan mengembalikan hak kepada pemiliknya. Ini berkaitan dengan tindakan para Khalifah Bani Umaiyah sebelumnya. Hal itu memerlukan penelitian, pemeriksaan dan usaha yang cukup besar. Sebahagian kepemilikan yang dikuasai oleh sebahagian pendukung para Khalifah telah berpindah ke banyak tangan. Sebahagian harta telah dibelanjakan atau berubah bentuk melalui jual-beli. Ada juga pemilik hak yang sudah meninggal atau pergi ke pelbagai penjuru bumi. Semua itu memerlukan usaha dan kesulitan dalam hal penjernihan, pemeriksaan dan penelitian perkara (sehingga memerlukan waktu yang panjang). Di dalamnya sama sekali tidak ada sedikit pun tadarruj. 

Bersambung...

[Dinukil dan disesuaikan dari Soal-Jawab Amir HT, Syaikh Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah (19 Ramadhan 1437 H/24 Juni 2016 M).

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment