Forum Kesatuan Hijrah Kempen Cinta Syariah Tegak Khilafah di JB

2 Oktober 2016 (Ahad), Johor Bahru - Sebuah forum anjuran Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia Cawangan Johor Bahru sempena Roadshow Kempen Cinta Syariah Tegak Khilafah telah berjaya diadakan di Hotel Zamsaham Senai, Johor. Forum ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para Muslimah yang datang dari Kulai, Mersing, Senai, Pontian, Rengit, Tampoi, Skudai dan Pasir Gudang.


Forum ini dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Qariah cilik berusia 6 tahun iaitu adik Alia Zahraa binti Sallahudin yang membacakan surah Al-Qalam ayat 1-15 dan terjemahan dibacakan oleh adik Hafsah Maisarah Binti Mohd Abrary yang berumur 7 tahun.


Forum kemudian diteruskan dengan menampilkan dua ahli panel iaitu Ustazah Nurhidayati (Ahli Lajnah Tsaqafiyah MHTM) dan Ustazah Iman Farhana (Aktivis MHTM).


Ahli panel memberikan penjelasan tentang kesan kepentingan hijrah iaitu dapat menyatukan umat sehingga berjaya mengubah pola hidup masyarakat dengan penerapan hukum syarak secara kaffah. Penerapan Islam secara kaffah (menyeluruh) tidak dapat dilaksanakan hanya pada peringkat individu atau sekelompok masyarakat sahaja tetapi perlu dilaksanakan dalam bingkai Negara Khilafah Islamiyyah.


Muslimah yang hadir turut diberi peluang untuk berinteraksi semasa sesi soal jawab. Semasa sesi rehat, para tetamu juga berpeluang mengikuti persembahan sketsa "Sunnah Yang Ditinggalkan" yang dilakonkan oleh anak-anak cilik pejuang Khilafah diselangi dengan tayangan multimedia sambil menikmati jamuan ringan yang disediakan. Beberapa tetamu terkesan dengan persembahan multimedia yang ditayangkan hingga menitiskan air mata.


Sesi kemuncak adalah seruan daripada MHTM yang dibacakan dengan penuh semangat oleh Puan Ummu Iman. Para hadirin begitu bersemangat apabila mereka menyahut seruan dengan lafaz takbir hingga dewan bergema. Sesi seruan diikuti pula dengan tayangan multimedia dan nasyid Bil Khilafah yang mengisahkan tentang kerinduan umat agar tertegaknya khilafah.





Forum diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustazah Nurul Ilmi yang meruntun serta menyentuh jiwa para hadirin hingga ramai yang menitiskan air mata. Sebelum bersurai, para tetamu telah merakamkan gambar beramai-ramai tanda menyokong kempen yang diadakan oleh pihak MHTM. Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada semua peserta yang hadir.



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment