Kembara Kempen Kesatuan Hijrah di KL

30 Oktober 2016 (Ahad), Kuala Lumpur – Kempen Kesatuan Hijrah: Celik Syariah Tegak Khilafah yang berlangsung bermula Maal Hijrah hingga akhir Muharram menemui kemuncaknya bagi MHTM Kuala Lumpur hari ini dengan acara Kembara Hijrah dari Kuala Lumpur ke Batang Kali. 


Konvoi lima kenderaan termasuk MPV yang disertai oleh aktivis MHTM KL seramai 25 orang ini turut disertai oleh orang-orang awam yang amat bersemangat dengan konsep kembara yang di tonjolkan. Para peserta konvoi memulakan perjalanan kembara dengan bacaan doa memohon ke hadrat Ilahi keampunan dan keizinanNya memberkati perjalanan konvoi dari Taman Layang-Layang Metropolitan Kepong menuju ke check point pertama iaitu Kawasan Perkelahan Hutan Lipur Sungai Tua. 





Setibanya di kawasan perkelahan, tanpa melengahkan masa, peserta kembara memulakan aktiviti bersama orang awam yang mengikuti konvoi dengan sesi Tazkirah Muhasabah Diri bertajuk Hijrah dan Demi Masa yang dikendalikan oleh Dr Izzah Ibrahim selaku Ketua Konvoi pada hari ini. Dr Izzah turut mengajak para peserta untuk merenungi dan memperingati kembali kepayahan dan keperitan kembara Hijrah Baginda Muhammad SAW dan para sahabat semata-mata untuk melaksanakan kewajipan perintah Allah SWT serta beliau mengingatkan peserta tentang modal yang paling berharga yang akan dipertanyakan iaitu masa!





Para peserta kembara kemudian meneruskan aktiviti bersama para pengunjung pusat perkelahan tersebut yang kebanyakannya datang daripada kawasan sekitar Kuala Lumpur bersama keluarga sempena Cuti Umum Deepavali dengan menjelaskan tentang maknanya hijrah yang hakiki iaitu keluar dari kehidupan tidak Islami kepada kehidupan yang Islami secara Kaffah. Nasyrah tentang Hijrah sebenar Baginda Rasulullah SAW turut diedarkan kepada para pengunjung. Suasana kembara kemudian dimeriahkan dengan ramah-mesra antara ahli kembara dengan orang awam yang bersama menjayakan kembara, menjamu selera bekalan yang dibawa sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.


Alhamdulillah sambutan para pengunjung amat positif apabila mereka menerima dan bersetuju dengan bahan yang diedarkan. Mereka juga turut berdiskusi makna hijrah yang hakiki iaitu dengan mengembalikan kehidupan Islam kaffah melalui sebuah pemerintahan Islam iaitu Daulah Khilafah. Setelah lebih kurang sejam berkelah sambil berdakwah, konvoi kembara hijrah MHTM KL meneruskan perjalanan ke Khilafah Centre, Batang Kali untuk acara seterusnya.



Alhamdulillah, perjalanan yang diiringi kibaran Liwa’ (Bendera Rasulullah) berjalan lancar. Para peserta konvoi termasuk orang-orang awam amat teruja dengan kibaran Liwa’ sebagai pembakar semangat. Ketibaan konvoi kembara disambut meriah oleh ahli-ahli di Batang Kali dan acara diteruskan dengan program Open Circle bertajuk Hijrah Muslimah yang disampaikan oleh Puan Ummu Madihah. 

Seusai program, para peserta menjamu selera dengan jamuan makan tengahari yang disediakan dan peserta kembara kembali meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dalam suasana gembira dan qana’ah di atas nikmat kemanisan kembara dakwah dan hijrah yang dikurniakan oleh al-Khaliq. 




Pihak MHTM KL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang menjayakan konvoi Kembara Hijrah kali ini. Moga semangat juang yang tinggi sentiasa istiqamah dalam jiwa setiap yang menyertai kembara pada hari ini. Allah SWT berfirman,

"Hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma'aruf dan mencegah dari yang mungkar, dan merekalah orang-orang yang beruntung" [TMQ al-Imran (3):104].
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment