Masyarakat Pasca Hijrah

Masyarakat adalah kumpulan manusia dengan pemikiran dan emosi dalam sebuah sistem yang khusus. Realiti sebuah masyarakat boleh mewakili sebuah peradaban. Warna dan corak masyarakat sangat ditentukan oleh sistem yang ada di dalamnya. Oleh itu, penting bagi umat Islam untuk memahami keadaan masyarakat selepas Rasulullah SAW berhijrah. Sebab, keadaan masyarakat sesudah penghijrahan Rasulullah SAW adalah gambaran lengkap peradaban Islam yang dibina oleh Baginda.


Masyarakat Arab Sebelum Hijrah

1. Aspek akidah/ideologi.
Masyarakat Arab sebelum Rasulullah berhijrah adalah masyarakat Jahiliah. Peraturan hidup yang menguasai masyarakat adalah peraturan-peraturan Jahiliah. Kecenderungan perasaan dan pemikirannya juga didominasi oleh pemikiran dan perasaan Jahiliah. Akidah/ideologi, kehidupan sosial, keadaan ekonomi dan politik berada dalam kegelapan.

Akidah/ideologi masyarakat Arab pada masa itu penuh dengan kemusyrikan. Walaupun mereka mengenali keesaan Tuhan 2, namun dalam realiti ibadah mereka banyak sekali menyekutukan Allah dengan makhluk ciptaan-Nya. Mereka meyakini bahawa Allah adalah Pencipta segala sesuatu. Al-Quran mengungkapkan keadaan mereka,

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ لَيَقُولُنَّ اللهُ قُلِ الْحَمْدُ ِللهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لا يَعْلَمُونَ

“Sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka, “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” tentu mereka akan menjawab, “Allah.” Katakanlah, “Segala puji milik Allah.” Namun, kebanyakan mereka tidak mengetahui” [TMQ Luqman (31): 25].

Dalam amalan menyembah Allah, mereka membuat atau mengadakan pelbagai perantara dengan tujuan untuk menghampirkan diri mereka kepada Tuhan. Di antara mereka ada yang menyembah malaikat dan menganggap bahawa malaikat-malaikat adalah anak perempuan Allah. Ada juga yang menyembah jin dan orang yang sudah meninggal terdahulu. Mereka sering ‘mempersembahkan’ korban di tempat jin yang terkenal dengan nama “Darahim”. Ada yang menyembah binatang serta menyembah berhala. Amr bin Lubayyi, penguasa Kaabah dan Mekah pada ketika itu meletakkan sebuah berhala daripada batu akik yang sangat terkenal dengan nama “Hubal”.

Keadaan demikian menjadikan tauhid yang mereka miliki sangat mengelirukan. Keesaan Tuhan yang mereka peroleh akhirnya bercampur-aduk dengan pelbagai kepercayaan karut. Ketika mereka meyakini Allah sebagai Pencipta sesuatu, mereka juga meyakini bahawa jin-jin dapat memberikan manfaat dan mudarat. Kepercayaan mereka kepada tukang sihir dan para dukun sangat menonjol. Para dukun dipandang oleh mereka sebagai tukang-tukang tilik yang dapat membuat tangkal-tangkal atau azimat penolak malapetaka, dapat menceritakan peristiwa-peristiwa yang akan datang, tempat untuk bertanya punca kesusahan yang telah datang dan akan datang, memberikan petunjuk-petunjuk, dan dapat menyelesaikan pertikaian. Mereka juga berkeyakinan bahawa dalam perut manusia ada ular. Oleh itu, jika lapar maka ular tersebutlah yang menggigitnya. Jika orang tersesat di jalan, maka kain yang dipakainya perlu diterbalikkan supaya tidak sesat. Mereka juga memakai cincin besi atau tembaga dengan harapan untuk meningkatkan kekuatan.

2. Aspek sosial.
Kehidupan sosial masyarakat di Mekah pada masa itu bercirikan kemerosotan moral yang luar biasa. Mereka rata-ratanya adalah peminum arak atau tuak. Kebiasaannya mereka melakukannya dalam satu pertemuan yang disertai dengan perjudian dan dihiburkan oleh penyanyi wanita. Pelacuran atau perzinaan antara lelaki dan wanita di Jazirah Arab pada masa itu adalah perkara yang biasa. Rumah-rumah pelacur mempunyai tanda-tanda khas sehingga mudah dikenali oleh lelaki hidung belang pada masa itu.

Kecurian, samun dan rompakan juga bermaharajalela. Bahkan Kaabah, rumah suci yang sangat dimuliakan oleh bangsa Arab pernah mengalami kecurian barang-barang berharga. Begitu juga dengan kekejaman dan kebiadaban bangsa Arab pada masa itu yang di luar batas-batas kemanusiaan. Anak-anak perempuan di tanam hidup-hidup; adakalanya diletakkan disuatu tempat seperti tong dan kemudian ditolak dari tempat yang tinggi.

3. Aspek ekonomi.
Porfesion bangsa Arab sebelum Rasulullah SAW kebanyakannya adalah peniaga. Perniagaan yang mereka lakukan pada masa itu begitu menebal dengan maksiat riba. Bahkan pemberian pinjaman dengan cara riba yang berlipat kali ganda telah menjadi tradisi mereka. Wang yang mereka peroleh juga sering dihabiskan di meja perjudian dan pelbagai pertaruhan lain.

4. Aspek politik.
Dari segi politik bangsa Arab pada masa itu bukanlah bangsa yang diberi perhatian oleh bangsa-bangsa/negara-negara lain pada masa itu. Kuasa besar pada masa itu iaitu Parsi dan Kristian Byzantine saling berebut kekuasaan dan sama sekali tidak melihat Arab sebagai kuasa politik yang patut diambil kira. Sama ada Parsi mahupun Byzantine belum pernah mempertimbangkan untuk menguasai wilayah ini. Tiada siapa bermimpi bahawa wilayah itu kelak akan melahirkan sebuah agama baharu dan tidak lama lagi akan menjadi kuasa utama dunia serta bertahan lebih daripada seribu tahun. (Politik dan Pemerintahan Arab sebelum Islam (http://nurlatif.blogspot.com).
Jazirah Arab sendiri pada masa itu diperintah oleh beberapa kerajaan. Ada yang besar dan ada yang kecil. Kerajaan yang besar pada masa itu adalah Mu’niyah, Sabaiyah, dan Himyariyah. Kerajaan-kerajaan ini lebih banyak mengatur masalah perniagaan sedangkan pemerintahannya diatur secara langsung dari negeri Yaman.

Gambaran Dakwah Rasulullah SAW di Mekah

Di Mekah, selama 13 tahun Rasulullah SAW mempersiapkan akidah orang-orang yang kelak akan memperkuat struktur masyarakat. Lahirlah generasi terbaik daripada kalangan para Sahabat. Secara politik, pembentukan masyarakat yang Baginda lakukan bermula dengan pembentukan kelompok (kutlah) dakwah. Kelompok ini terdiri daripada kaum lelaki dan wanita daripada pelbagai daerah dengan usia yang berbeza-beza. Antara mereka ada yang lemah, kuat, kaya dan miskin. Rasulullah SAW benar-benar mempersiapkan aqliyah, mental dan tsaqâfah secara intensif selama lebih kurang 3 tahun, yang kemudiannya Rasulullah mengisytiharkan tentang kewujudan ejen perubahan masyarakat ini.

Fasa seterusnya, selepas Rasulullah mengisytiharkan kelompoknya di tengah-tengah masyarakat Mekah, secara semula jadi berlakulah geseran pemikiran baharu yang dibawa oleh Rasulullah SAW dengan pelbagai kebiasaan lama Arab Jahiliah. Pelbagai ujian dan cabaran fizikal dan non-fizikal dialami oleh Rasul SAW serta orang-orang yang ada di dalam kelompoknya. Rasulullah SAW dan para Sahabat mengalami penyeksaan, pemboikotan mahupun propaganda yang menentang dakwah. Baginda dengan para Sahabat menanggung beban yang sangat berat seperti beban yang ditanggung gunung yang menjulang tinggi.

Walau bagaimanapun, keadaan-keadaan ini tidak melemahkan mereka. Keimanan para Sahabat malah semakin menebal dan teruji. Titik-titik perubahan masyarakat pada akhirnya semakin bersinar. Ketika musim haji tiba, 12 orang lelaki daripada penduduk Madinah datang. Mereka bertemu dengan Nabi SAW di Aqabah. Kemudian mereka membaiat Baginda dalam peristiwa Baiat Aqabah I. Dalam baiat itu, mereka berjanji tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak mereka, tidak akan mendatangkan bukti-bukti yang diusahakan di antara dua tangan dan kakinya dan tidak akan melakukan maksiat dalam perkara yang makruf.

Tidak lama berselang masa, Mus’ab bin Umair terus memberikan perkembangan tentang dakwah di Madinah sehingga sampai detik yang sangat bersejarah, terjadilah Baiat Aqabah II yang berlaku pada tahun ke-12 masa kenabian. Rasulullah SAW didatangi oleh 75 orang Islam dari Madinah. Detik-detik transformsi masyarakat akhirnya berlangsung dengan jayanya dengan adanya Baiat Aqabah II. Aisyah RA berkata, “Ketika muncul 70 orang dari sisi Nabi SAW, maka jiwanya menjadi lapang. Allah telah menjadikan baginya sokongan dan keberanian daripada penduduk ahli perang.”(Taqiyuddin an-Nabhani, Daulah Islam, edisi Muktamadah 2002).

Peristiwa Baiat Aqabah II ini adalah peristiwa penting dalam perubahan masyarakat daripada tokoh-tokoh Madinah kepada Rasulullah SAW yang membawa Islam.

Selepas pemindahan kuasa di Madinah, Rasulullah dan para Sahabat kemudiannya merancang untuk berhijrah ke sana walaupun mendapat tekanan daripada kaum Quraisy yang menghalang hijrah semakin menguat. Rasulullah SAW menemui para Sahabat seraya bersabda, “Telah dikhabarkan kepadaku tentang tempat hijrah kalian, iaitu Yathrib. Oleh itu, sesiapa di antara kalian yang ingin pergi ke sana, maka pergilah ke sana.”

Berdasarkan hal ini, kewujudan kuasa Islam di Madinah dan kesediaan masyarakat di Madinah untuk berubah sebagai masyarakat Islam adalah perkara yang mendorong Rasulullah SAW untuk berhijrah ke sana. Ini adalah punca langsung penghijrahan Rasulullah SAW. Hijrah merupakan pembatas dalam Islam yang memisahkan tahapan-tahapan dakwah dengan usaha mewujudkan masyarakat dan negara yang memerintah dengan aturan Islam.

Masyarakat Arab Pasca Hijrah

Peristiwa hijrah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bukan hanya peristiwa perpindahan tempat tinggal Baginda bersama para Sahabat. Intipati paling penting dalam hijrah umat Islam pada masa itu adalah perubahan masyarakat, iaitu perubahan masyarakat Jahiliah kepada masyarakat Islam.

Keadaan masyarakat Arab selepas hijrah adalah sangat berbeza dengan keadaannya sebelum hijrah. Sebelum hijrah, keadaan ideologi/akidah, sosial, ekonomi dan politik bangsa Arab sangat tebal dengan suasana kebodohan. Sebaliknya, selepas hijrah, sejak mereka diatur dan dipimpin dengan syariah Islam oleh Rasulullah SAW, keadaan masyarakat Arab pada masa itu diliputi oleh cahaya.
Masyarakat Arab pasca hijrah yang dibina oleh Rasulullah adalah sebuah entiti masyarakat yang khusus. Peraturan, pemikiran dan perasaan masyarakat Arab pasca hijrah benar-benar berada dalam bimbingan Islam. Dengan sangat indah Rasulullah SAW menggambarkan Madinah—sebagai negara baharu pada masa itu—dengan sabdanya, “Madinah adalah seperti tungku (tukang besi) yang boleh membersihkan debu-debu yang kotor dan membuat cemerlang kebaikan-kebaikannya” [HR al-Bukhari].

Rasulullah SAW mengibaratkan Madinah seperti tungku (tukang besi). Tungku tukang besi pada prinsipnya membentuk besi menjadi sesuatu benda yang berguna seperti pedang atau parang. Dalam proses pembentukannya dilakukan pemanasan dan pemukulan sehingga menghilangkan besi-besi kotor yang tidak berguna. Begitu juga yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam membina Madinah sebagai sebuah masyarakat Islam. Baginda benar-benar merancang, mempersiapkan Madinah sebagai sebuah masyarakat yang benar-benar mewakili ideologi Islam. Rasulullah SAW menstabilkan keadaan masyarakat dengan melakukan pelbagai perjanjian dengan masyarakat non-Islam mahupun masyarakat jiran. Bahkan Rasulullah tidak teragak-agak untuk mengusir kaum Yahudi dari Madinah kerana merosakkan perjanjian demi mempertahankan Madinah sebagai sebuah masyarakat yang unik dan tersendiri.

Kepentingan Khilafah Islamiyah

Realiti masyarakat hari ini sebenarnya hampir sama dengan keadaan masyarakat Jahiliah sebelum Rasulullah SAW berhijrah. Malah sebahagian orang menyebut zaman sekarang sebagai zaman Jahiliah moden. Keadaan ideologi/akidah, sosial, ekonomi dan politik hari ini adalah benar-benar sama dengan keadaan sebelum Rasulullah berhijrah. Malah pada hari ini, pelbagai maksiat, kemusyrikan, kerosakan moral semakin tersebar luas ketika pelbagai sisi kehidupan tersebut dikapitalisasikan dengan tujuan material.

Oleh itu, dunia hari ini memerlukan perubahan. Keruntuhan sistem ekonomi dunia pada hari ini merupakan petunjuk kepada lemah dan rosaknya sistem Kapitalisme, disamping menunjukkan juga bahawa dunia hari ini memerlukan peraturan kehidupan baru. Di sinilah pentingnya umat Islam hari ini bagi mewujudkan kembali institusi negara baru, iaitu Daulah Khilafah Islamiyah demi terwujudnya perubahan masyarakat Islam.

Sistem Kapitalisme yang beberapa kali mengalami kitaran kebankrapan adalah bukti bahawa sistem ini sangat tidak mampu menyangga sebuah peradaban dunia. Selepas keruntuhan Sosialisme-komunis, dan Kapitalisme-sekular kini sedang menuju kebankrapannya. Dunia tidak mempunyai alternatif lain lagi kecuali untuk segera menerapkan sistem Islam sekaligus mewujudkan wadahnya, iaitu Khilafah Islamiyyah. Allah SWT sebagai Pencipta makhluk dan Pembuat sistem tersebut telah menjamin ketangguhan sistem Islam. Sejarah juga telah mencatat kejayaan sistem Islam dalam menciptakan pelbagai kemaslahatan umat manusia dan mencipta peradaban yang cemerlang dan tangguh selama beribu-ribu tahun.

Oleh: Luthfi Hidayat; Pensyarah di Universiti Muhammadiyah Sukabumi (UMMI)

Nota Kaki:
2. Kelengkapan Tarikh Nabi Muhammad SAW KH. Moenawar Chalil jilid IA hal 45.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment