Mini Forum Muslimah di KL

Mini Forum Muslimah: Keluarga Sakinah Pemangkin Kemuliaan Generasi Islam

23 Oktober 2016, AHAD, Kuala Lumpur - Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) Cawangan Kuala Lumpur telah menganjurkan Forum Muslimah yang membawakan tajuk “Keluarga Sakinah Pemangkin Kemuliaan Generasi Islam” bertempat di Khilafah Centre, Kuala Lumpur. 




Forum Muslimah ini telah menampilkan 2 orang ahli panel iaitu Ustazah Zaharah Buhari(Ketua Lajnah Muballighah MHTM) dan Ustazah Zulaikha Al Marzuuq(Ahli Lajnah Tsaqafiyyah MHTM) dan telah dikendalikan oleh Moderator, Dr. Izzah Ibrahim.


Forum Muslimah ini telah membincangkan bagaimana mewujudkan keluarga sakinah menurut apa yang telah disyariatkan di dalam Islam. Ini kerana realiti hari ini menunjukkan kerosakan institusi keluarga yang akhirnya kesannya melibatkan anak-anak sangat membimbangkan kita. 



Sesungguhnya pembentukan keluarga sakinah memerlukan asas yang kukuh iaitu menjadikan akidah Islam sebagai landasan kehidupan. Orang-orang yang berpegang teguh kepada akidah Islam akan sentiasa terikat dengan aturan-aturan Islam termasuk dalam membangun rumahtangga, membina dan menjalaninya. Motivasi dalam berkeluarga adalah semata-mata berharap mendapat redha Allah SWT.






Ustazah Zaharah telah menjelaskan terdapat enam fungsi-fungsi keluarga yang seharusnya wujud dalam sesebuah keluarga iaitu fungsi ekonomi, kasih sayang antara anggota keluarga, melahirkan generasi yang soleh dan solehah, silaturrahmi, dakwah dan membentuk pejuang Islam. Setiap fungsi-fungsi tersebut memberi impak kepada kesejahteraan sebuah institusi keluarga yang kesemuanya saling berkaitan antara satu fungsi dengan yang yang lainnya.



Seterusnya, Ustazah Zulaikha menjelaskan serba sedikit impak yang nyata pada hari ini apabila fungsi-fungsi di atas tidak dilaksanakan. Desakan ekonomi yang menekan umat memberi kesan kepada peranan wanita sebagai ibu dan pengurus rumahtangga yang mana para ibu terpaksa keluar bekerja untuk membantu suami menampung kewangan keluarga yang seterusnya memberi kesan kepada anak-anak yang kurang mendapat perhatian ibu. Ditambah pula dengan polisi pendidikan negara yang sekular menyebabkan anak-anak tidak mendapat didikan yang sempurna dalam melahirkan generasi cemerlang akademik dan syahsiyah nya. 






Di akhir forum, Ustazah Zaharah dan Ustazah Zulaikha menyimpulkan bahawa sesungguhnya setiap anggota keluarga, masyarakat dan negara mempunyai peranan masing-masing dalam mengembalikan semula fungsi-fungsi keluarga tersebut di dalam institusi keluarga agar dapat melahirkan generasi Muslim yang taat kepada syariat Islam di dalam negara yang menerapkan Islam secara kaffah.



MHTM Kuala Lumpur mengucapkan terima kasih kepada para peserta yang hadir pada program ini. Kehadiran peserta di program ini sangat menggalakkan dan rata-rata peserta menunjukkan minat dan bersetuju dengan topik yang dibincangkan di dalam forum ini. Semoga Allah SWT memberikan kita taufik dan hidayah serta kekuatan untuk bangkit dan memperjuangkan Islam.
Wallahu A’lam Bissawab.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment