Taubat & Fungsinya

Secara bahasa (Arab) pengertian taubat adalah;

التوبة: الرجوع عن الشيء

Ertinya: “Kembali dari sesuatu”.

Kata taubat ini boleh disandarkan kepada Allah, atau juga disandarkan kepada manusia atau hamba.


Jika disandarkan kepada Allah maka bermakna kembalinya kelembutan Allah kepada hamba-nya. Sebagaimana Firman Allah;

(لَقَدْ تَابَ اللَّهُ عَلَى النَّبِيِّ وَالْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ فِي سَاعَةِ الْعُسْرَةِ مِنْ بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ ۚ إِنَّهُ بِهِمْ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

"Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin dan orang-orang ansar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan dari mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka" [TMQ At-Taubah (9):117].

Maksudnya, bahawa kembalinya Allah pada kelembutan dan Rahmat kepada hambaNya.

Adapun jika disandarkan kepada hamba maka maksudnya;

أُريدَ رجوعُه عن الذنب

Kembalinya sang hamba dari dosa. Kerana sesungguhnya seorang hamba pada dasar dan awalnya adalah fitrah, suci, tanpa membawa dosa.

Pengertian Taubat menurut istilah (Syara’)

الرجوع عن ما لا يَرضى الله إلى ما يُرضيه. مما هو محمودٌ في الشرعي

Kembali dari sesuatu yang Allah tidak redhai kepada sesuatu yang Allah redhai. Dari hal yang terpuji dari syariat ini.

Para ulama menyebutkan bahawa taubat ada yang wajib, dan ada yang mandub (sunnah).

Taubat wajib adalah kembalinya saat seorang hamba melakukan sesuatu yang diharamkan Allah atau seseorang yang tidak melakukan kewajipan yang telah disyariatkan Allah.

Taubat mandub (sunnah) pula adalah kembali kepada Allah saat seorang hamba melakukan sesuatu yang makruh atau yang syubhah.

Fungsi taubat wajib;

Untuk mendapatkan taufik dalam beribadah kepada Allah. Taufik ertinya kemudahan dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.

Banyak orang yang telah memiliki kesempatan, bangun di malam hari, tapi tidak mampu melaksanakan solat tahajud. Dekat sekali dengan masjid, namun sulit sekali untuk solat berjemaah. Sulit dan jarang sekali membaca al-Quran. Tidak mahu berdakwah dan berjuang di jalan Allah.

Keadaan ini berlaku kerana seseorang itu belum mendapat taufik dari Allah, dan ia bermaksud masih terhijab oleh dosa, ertinya orang tersebut wajib melakukan taubat wajib.

Fungsi taubat Sunnah pula adalah;

Untuk mendapatkan kemanisan iman. Seseorang barangkali telah melaksanakan solat. Dakwah juga dilakukan, membaca al-Quran juga menjadi amalannya. Namun dia belum merasakan manisnya dan nikmatnya iman dan beribadah kepada Allah SWT. Selain itu, dia juga melakukan dakwah serta melakukan halaqah. Namun, dakwah dan halaqahnya kering. Kemungkinan besar keadaan ini menunjukkan bahawa dia banyak terhijab dari perbuatan- perbuatan yang selayaknya dia tidak lakukan. Wallahu alam.

Oleh: H Luthfi H
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment