Agar Isteri Tidak Mudah Tertekan

Kemungkinan akibat tekanan mental, Mutmainah (28 tahun), iaitu seorang suri rumah di Jakarta yang sanggup mencacatkan anaknya yang baru berusia 1 tahun. Kemungkinan bukan Mutmainah seorang sahaja yang mengalaminya. Dalam sistem Sekular-Kapitalis seperti sekarang ini, kecenderungan tekanan pada suri rumah tentu lebih besar jika dibandingkan dalam sistem Islam. Berdasarkan hasil penelitian kesihatan dasar Kementerian Kesihatan tahun 2013, kelaziman gangguan mental emosi yang ditunjukkan dengan gejala-gejala tertekan dan kecemasan bagi usia 15 tahun ke atas mencapai sekitar 14 juta orang atau 6% daripada jumlah penduduk Indonesia (Beritasatu.com, 12/10/2016).


Pencetus Tekanan Mental

Tekanan mental pada umumnya terjadi kerana beratnya bebanan hidup yang tidak dapat ditanggung oleh seseorang. Suri rumah juga boleh mengalami tekanan mental. Pelbagai beban masalah yang dapat mencetuskan munculnya tekanan mental pada suri rumah antara lain ialah kesulitan ekonomi, perilaku anak-anak, ancaman terhadap ikatan pernikahan (suami curang, dan lain-lain), bahkan juga hubungan kejiranan yang tidak baik.

Tekanan mental juga boleh terjadi kerana tidak cukup persediaan memasuki kehidupan rumahtangga; tidak bersedia menerima hidup berpasangan (bersuami), tidak bersedia mengurusi anak, tidak bersedia menerima peranan dan tugas-tugas baharu di dalam rumah termasuklah persiapan untuk kehilangan sebahagian aktivitinya di luar rumah lebih-lebih lagi bagi yang masa bujangnya aktif bekerja.

Suri rumah juga mudah terdedah dengan kemurungan apabila dia merasa terperangkap dalam rutin harian rumahtangga, sementara imannya lemah. Ditambah lagi jika dia seorang yang kurang kreatif dalam berinovasi dan menimbulkan pelbagai aktiviti di rumah. Akibatnya, bebanan hidup yang sebenarnya tidak berat pun boleh menjadi berat. Apatah lagi jika ditambah dengan beratnya beban yang diakibatkan oleh penerapan sistem Sekular-Kapitalis seperti kemiskinan, kerosakan moral, kurangnya keamanan, sehingga berkurangnya takwa sama ada pada individu mahupun negara.

Sistem ini juga telah melahirkan sikap individualistik yang menghilangkan sifat saling tolong-menolong dan sikap prihatin. Tolok ukur kebendaan pun sangat menonjol. Akibatnya, suri rumah mudah tertekan hanya gara-gara pendapatan suami yang sedikit yang tidak mencukupi keperluan hidupnya. Di sisi lain, penyakit hedonisme tidak dapat dibendung lagi dan sudah menembus ke seluruh anggota keluarga. Semua ini menambah lagi beban yang perlu ditanggung suri rumah.
Semua keadaan itu boleh menimbulkan sikap gundah, kegelisahan yang terus-menerus, bahkan kemarahan dan kekesalan yang terpendam sehingga mempengaruhi kesihatan jiwanya. Boleh jadi sehingga menimbulkan perasaan putus asa, merasakan diri tidak berguna dan hilangnya kebahagiaan hidup.

Ketika berat bebanan tersebut tidak dikendalikan secara syarie, maka muncullah tekanan mental. Di sinilah pentingnya pengendalian secara tepat dan syarie agar seseorang itu terselamat daripada ancaman tekanan mental.

Mengatasi Tekanan Mental

Tekanan mental terhadap suri rumah dapat diselesaikan dengan dua pendekatan iaitu pendekatan secara individu melalui suri rumah itu sendiri dan keluarga; serta pendekatan secara kelompok (jamaie) yang melibatkan masyarakat dan negara.

Beberapa hal yang dapat dilakukan secara individu, antaranya:

1. Meningkatkan Iman
Sesungguhnya, kemampuan seseorang untuk menyelesaikan beban kehidupan terkait rapat dengan pandangan hidupnya (keimanannya). Seorang Muslim perlu memandang persoalan kehidupan -bagaimanapun beratnya- sebagai jalan untuk meraih kemuliaan di sisi Allah SWT.
Keburukan dan kebaikan sejatinya adalah ujian yang diberikan Allah SWT agar manusia kembali ke jalan-Nya [Lihat: TMQ Al-Anbiya’ (21): 35]

Oleh kerana ia berfungsi sebagai ujian, maka seorang ibu tidak boleh lari. Dia perlu menghadapi ujian dengan sabar dan tawakal. Bahkan dia sepatutnya tetap ‘bahagia’ dengan keadaan sedemikian, kerana semua itu boleh menjadi jalan kebaikan untuk dirinya. Rasulullah SAW bersabda,

“Sungguh menakjubkan perkaranya orang Mukmin. Segala sesuatu yang terjadi pada dirinya merupakan kebaikan. Ini terjadi hanya pada orang Mukmin. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan, dia bersyukur. Itu kebaikan bagi dirinya. Jika dia mendapat keburukan, dia bersabar. Itu juga kebaikan bagi dirinya” [HR Muslim].

Jadi, seorang ibu tidak perlu merasakan dirinya tidak berguna ketika setiap apa yang dilakukan belum memenuhi harapan. Hal ini kerana, pada masa itu dia perlu bersabar agar mendapat kebaikan daripada Allah SWT. Dia perlu tetap optimis kerana sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat [TMQ Al-A’raf (7): 56].

Meningkatkan hubungan dengan Allah SWT akan menguatkan iman dan takwa. Oleh kerana itu, ibadah perlu ditingkatkan. Suri rumah juga mempunyai kesempatan yang luas untuk mencurahkan segala persoalan hidupnya kepada Allah SWT secara langsung. Contohnya, melalui solat tahajud dan doa-doa yang dipanjatkan setiap masa. Dengan demikian tidak perlu ada persoalan yang dipendam kerana semuanya sudah diserahkan kepada Allah SWT.

Iman yang kuat juga akan mengikis sikap materialistik, gaya hidup hedonistik dan individualistik. Dengan demikian beberapa hal yang mempunyai bahagian yang besar dalam mewujudkan tekanan mental itu pun berkurang.

2. Meluruskan Niat
Meluruskan niat dalam beramal sangat penting. Hendaklah suri rumah melakukan semua rutin hariannya untuk meraih redha Allah SWT. Dengan begitu, apapun bentuknya, bagaimanapun beratnya, sekalipun dilakukan berulang-ulang, tidak akan membuat dirinya lelah apatah lagi tertekan. Walaupun urusan rumahtangga dipandang remeh, seorang suri rumah tidak boleh merasa rendah diri, merasa tidak berguna dan tidak berharga di hadapan orang lain. Jika semua amalan itu diniatkan untuk Allah, suri rumah akan merasa tenang dan senang kerana redha Allah berada dalam genggamannya.

3. Memahami Syariah Islam
Satu penelitian melaporkan bahawa faktor paling penting untuk mencegah tekanan pada suri rumah adalah penerimaan dan kepuasan terhadap peranannya. Oleh kerana itu, suri rumah perlu memahami tugas utamanya. Dia perlu bersikap qanâah terhadap tugas tersebut.

Menjadi ibu dan pengatur rumah adalah aktiviti mulia wanita yang tidak diberikan kepada lelaki. Di tangan ibulah masa hadapan generasi ini dipertaruhkan. Kerana itu, seorang ibu perlu berbahagia dengan peranannya ini. Demikian pula ketika dia perlu berperanan sebagai isteri dengan tugas-tugasnya yang banyak. Semua itu pada hakikatnya akan memuliakan dirinya di hadapan Allah SWT.

Dia tidak perlu terpesona dengan dunia yang penuh ’kegilaan’ di luar rumah yang boleh melalaikan tugas utamanya atau yang boleh menjebakkan dirinya dalam aktiviti sia-sia. Contohnya, berasa cemburu atau sangat ingin bekerja dan bebas keluar. Sedangkan pendapatan suami sudah mencukupi dan anak-anak masih memerlukan perhatian seorang ibu di rumah. Fikiran-fikiran semacam inilah perlu dihilangkan kerana boleh memunculkan tekanan yang boleh mengarah kepada tekanan mental.

Meningkatkan kualiti pemahaman terhadap hukum syariah juga penting agar ia dapat menjadi benteng kepada ketakwaan. Dengan demikian, dia akan sentiasa terjaga daripada perilaku yang menyimpang yang kerap mengeruhkan suasana dan menjauhkan dari jalan keluar persoalan yang dia hadapi. Hal ini kerana, takwa akan mendekatkan kita ke jalan penyelesaian daripada pelbagai permasalahan [Lihat: TMQ Ath-Thalaq (65): 2].

4. Bekerjasama
Bagi mengatasi tekanan mental terhadap suri rumah memerlukan kerjasama seluruh ahli keluarga, terutamanya suami. Oleh kerana itu, seorang suami hendaklah bersikap prihatin, gemar menolong isteri dan meringankan beban, selalu membahagiakan isteri dan tidak terlalu banyak menuntut apa yang di luar batas kesanggupan isterinya. Contohnya, suami selalu menuntut masakan sedap, padahal isterinya tidak pandai memasak dan sebagainya. Bantuan suami juga sangat diperlukan untuk memantapkan dan meningkatkan kepuasan isteri atas tugas utamanya.

4. Pengurusan Waktu dan Tenaga
Tekanan mental boleh muncul kerana kegagalan pengurusan waktu dan tenaga. Oleh kerana itu, seorang ibu hendaklah bijak dalam mengatur waktu dan tenaganya. Seorang ibu boleh juga mencari aktiviti untuk menyegarkan fikiran dan kepenatan yang kadang-kadang muncul.

Seorang ibu juga boleh memadukan aktiviti di dalam rumah dengan aktiviti di luar rumah semata-mata untuk menyempurnakan pelaksanaan kewajipan; seperti menuntut ilmu, mendidik anak-anak atau berdakwah, atau sekadar membantu suami yang tidak mampu melaksanakan tugasnya sebagai pencari nafkah, bilamana tidak ada lagi yang dapat membantu dirinya. Boleh juga dengan mengajak keluarga bersenam bersama di luar rumah atau rihlah untuk menyegarkan fikiran dan mengagumi ciptaan-ciptaan Allah SWT.

Tentu semua aktiviti itu perlu diperhatikan awlawiyat (keutamaan dalam beramal) sesuai hukum syariah; yang wajib didahulukan daripada yang sunnah dan mubah. Aktiviti yang mubah juga dipilih mana yang paling utama. Seorang suri rumah perlu menghindari diri daripada aktiviti yang sia-sia. Jika perlu, seorang ibu digalakkan membuat jadual harian, mingguan bahkan bulanan.

Keluarga perlu menyokong semua usaha tadi. Hadirnya keluarga yang sakinah mawaddah wa rahmah dengan ahli keluarga yang memahami fungsinya akan mengurangkan tingkat tekanan mental pada suri rumah. Sebab, dalam keadaan ini bebanan suri rumah akan jauh lebih berkurang. Tinggal lagi yang ada adalah bebanan yang datangnya dari luar (eksternal).

Adapun pendekatan secara kelompok melalui masyarakat dan negara bertujuan untuk menghilangkan penyebab sistemik (eksternal) pada tekanan mental suri rumah. Hal ini kerana, beban sosial dan ekonomi yang kerap membelit suri rumah pada hakikatnya berasal daripada sistem Sekular-Kapitalis yang ditegakkan oleh masyarakat dan negara yang tidak melaksanakan hukum Islam. Oleh kerana itu, kita memerlukan langkah bersama untuk mewujudkan masyarakat dan negara yang bersih daripada sistem yang rosak dan merosakkan umat tersebut.

Di sinilah pentingnya dakwah yang membentuk masyarakat Islam untuk menumbangkan sistem Sekular-Kapitalis; penyebab tekanan mental suri rumah. Masyarakat Islam dalam wadah Negara Khilafah akan melaksanakan syariah Islam secara kâffah sehingga mampu mengeluarkan masyarakat daripada pelbagai masalah yang menjadi penyebab kepada tekanan perasaan suri rumah.

Negara Khilafah akan menjaga akidah umat sehingga berada pada keadaan taqarrub ilallâh yang kuat. Umat tidak perlu tertekan kerana mereka memahami dengan benar hakikat kehidupan. Hukum-hukum ekonomi mengurangkan kemiskinan, hukum-hukum sosial menjaga keharmonian keluarga, pendidikan Islam pun mampu menjaga anak-anak. Negara bertanggungjawab penuh melindungi rakyatnya daripada pelbagai ancaman.

Demikianlah yang pernah dirasakan para suri rumah pada masa Kehilafahan Islam nan gemilang. Jarang ditemui suri rumah yang mengalami tekanan mental. Hal ini cukup dibuktikan daripada kualiti generasi yang dilahirkan. Sebab, jika ibunya tertekan, bagaimana mungkin mereka dapat melahirkan generasi yang mampu membangunkan peradaban yang mulia itu.

Sungguh, begitu indahnya Islam jika diterapkan dalam kehidupan peribadi, masyarakat dan negara. Layaklah suri rumah pun mendapatkan rahmatnya; dijauhkan daripada tekanan dan ditinggikan darjatnya.

Oleh: Noor Afeefa

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment