Demo Kekejaman Myanmar – Anggota HTM Dipanggil Untuk Beri Keterangan

KUALA LUMPUR, 19 Nov. – Susulan demonstrasi aman “Solidariti Umat Islam Untuk Rohingya” yang diadakan oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di kedutaan Myanmar pada 18 November 2016 lepas, beberapa anggota HTM telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju. Mereka diambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah dan disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.


Anggota HTM yang telah dipanggil untuk memberi keterangan adalah Mu’adz Abu Thalhah, Yusuf Muhammad, Muhammad Nor Amali dan Jailani Samsudin. Tujuan HTM menganjurkan demonstrasi dan penyerahan memorandum bantahan ke Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur pada hari Jumaat lepas adalah untuk mendesak pemerintah Myanmar menghentikan segera kekejaman yang sedang mereka lakukan ke atas umat Islam Rohingya di sana.

Dalam keterangan yang telah dibuat, salah seorang anggota HTM menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh mereka bersama umat Islam lain yang turut berhimpun semasa demonstrasi aman tersebut adalah suatu tindakan yang benar, dan berlandaskan kepada akidah Islam yang mereka anuti. Islam mengajarkan bahawa setiap umat Islam itu adalah bersaudara dan tidak boleh membiarkan saudaranya dizalimi. Kesakitan yang ditanggung oleh mereka merupakan kesakitan yang juga turut dirasai oleh umat Islam lain, baik di Malaysia mahupun di belahan di dunia yang lain. Oleh itu, adalah amat wajar jika demonstrasi aman ini turut disokong oleh pihak keselamatan yang majoritinya adalah Muslim, bukannya mengambil tindakan ke atas penganjurnya.

Demonstrasi aman tersebut berakhir dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini seperti kemalangan atau kerosakan harta benda awam. Petugas-petugas keselamatan HTM telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam memastikan perjalanan demonstrasi tersebut berjalan dengan baik, teratur dan tanpa sebarang provokasi. Selain itu, petugas dan peserta demonstrasi turut membersihkan kawasan berhimpun sebelum meninggalkan lokasi itu setelah urusan penyerahan memorandum dan bacaan doa.

Anggota HTM yang diambil keterangan dibenarkan pulang setelah lebih satu jam diambil keterangan.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment