Forum Kempen Kesatuan Hijrah di Perak

29 Oktober 2016 (Sabtu), Mambang Di Awan, Perak- Sebelum melabuhkan tirai Roadshow Kempen Kesatuan Hijrah, MHTM Cawangan Ipoh dengan kerjasama MHTM Cawangan Manjung telah menganjurkan Forum dengan tajuk ' Penyatuan dan Pengorbanan Menuju Perubahan Hakiki'. Forum tersebut telah dikelolakan oleh Pn Zaharah selaku moderator, manakala Ustazah Roshayati Johari (Ketua MHTM Cawangan Manjung) selaku panel pertama dan Ustazah Zaharah Buhari (Ketua Lajnah Muballighah MHTM) selaku panel kedua.



Majlis didahului dengan ucapan alu-aluan oleh Ukhti Husna sebagai pengerusi majlis, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran surah an-Nisa ayat 97-100 oleh adik Afiqah Izzati dan terjemahan oleh adik Aisyah Humaira.


Forum yang berlangsung dalam 3 pusingan mengupas makna hakiki haji dan hijrah yang telah disalah ertikan oleh umat. Makna penyatuan dan pengorbanan telah diasingkan dalam ibadah haji dan peristiwa hijrah daripada pemikiran dan kehidupan umat Islam kesan daripada keterpisahan agama dan fungsinya dalam mengatur kehidupan manusia.



Hijrah yang telah dilakukan oleh Rasulullah bertujuan untuk mencipta tapak kukuh untuk menerapkan Islam secara sempurna melalui peranan negara daripada masalah individu dalam ibadah mahdhah hingga masalah sosial kemasyarakatan dan bernegara. 


Setelah jatuhnya Daulah Khilafah, kekuatan umat Islam telah tiada dan menjadi kewajipan setiap Muslim untuk berjuang dalam kapasiti yang maksimum untuk mengembalikan semula Khilafah dan melakukannya sesuai dengan metodologi yang diajarkan oleh Nabi SAW.


Forum diserikan dengan acara interaktif dan sesi soal jawab yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta. Di akhir majlis, peserta bersama-sama bergambar kenangan beserta ahli panel dan ahli jawatankuasa.

Pihak penganjur mengucapkan jazakumullah khairan katsiron kepada peserta-peserta yang telah sudi hadir ke Forum hari ini.



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment