Islam Mengharamkan Pemimpin Kafir

Indonesia mencipta sejarah apabila ratusan ribu rakyat keluar ke kota Jakarta untuk mendesak pihak polis dan juga Presiden Jokowi menangkap dan mengambil tindakan ke atas Gubernur DKI Jakarta, Basuki Tjahya Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok. Ahok merupakan etnik cina beragama Kristian yang pertama menjadi Gubernur di negeri penduduk Muslim terbesar di dunia itu. Umum mengetahui bahawa Ahok boleh sampai ke peringkat setinggi itu dalam pemerintahan Indonesia kerana Jokowi sendiri merupakan orang kuat di belakangnya.


Walaupun ada suara-suara daripada orang Islam sendiri yang menyokong Ahok atas nama demokrasi, namun Hizbut Tahrir Indonesia (HTI) bergerak aktif untuk menyedarkan dan mengembalikan umat ke landasan yang benar bahawa umat Islam haram dipimpin oleh orang kafir. Isunya di sini bukanlah isu “etnik” (cina), tetapi isu “agama” yang menjadi dasar kepada penolakan seseorang pemimpin oleh Islam. Islam mengharamkan orang kafir menjadi pemimpin, tidak kira etnik apa sekali pun dia.

Atas dasar itu, HTI terus menerus menjelaskan dan menggerakkan umat, di samping melakukan beberapa siri demonstrasi untuk menolak Ahok. Bertitik tolak dari situ, Ahok mula kepanasan sehingga dalam ucapannya di Kepulauan Seribu, dia menganggap bodoh siapa yang mempercayai Surah al-Maidah ayat ke-51 yang mencegah orang kafir dari menjadi pemimpin, satu ucapan yang sangat jelas menghina kitab suci al-Quran. Walaupun Ahok dilaporkan meminta maaf selepas itu, namun mulut celupar Ahok dalam kes penghinaan ini tidak dapat diterima oleh umat Islam.

Walaupun ada segelintir umat Islam cuba mempertahankan Ahok atas nama demokrasi, namun majoriti umat yang mulia ini faham bahawa Islam mengharamkan pengangkatan pemimpin dan penguasa kafir ke atas kaum Muslimin. Dalam Islam, seseorang pemimpin itu dilantik untuk menegakkan agama Allah, menegakkan syariahNya, meninggikan kalimatNya, menjaga pelaksanaan hududNya, melancarkan jihad ke atas musuh-musuh Islam, melakukan futuhat (pembukaan) negeri-negeri baru dan melindungi agama serta umat Islam daripada sebarang ancaman dan penghinaan.

Pendek kata, seseorang pemimpin (penguasa) itu dilantik untuk menerapkan syariah Allah secara menyeluruh dan membawa agama Allah ke seluruh alam demi mewujudkan rahmatan lil ‘alamin. Justeru, mana mungkin orang kafir yang tidak mengimani Islam, dilantik untuk melakukan semua itu, apatah lagi orang kafir yang menghina al-Quran?! Bagaimana mungkin mengangkat penghina al-Quran untuk menjadi penegak hukum al-Quran?!

Dalam al-Quran, Allah SWT telah menyatakan dengan cukup tegas akan keharaman orang kafir menjadi pemimpin bagi kaum Muslimin. FirmanNya,

وَلَنْ يَجْعَلَ اللهُ لِلْكَافِرِيْنَ عَلَى المُؤْمِنِيْنَ سَبِيْلاً

“Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada kaum kafir untuk menguasai kaum Mukmin” [An-Nisa’ (4):141].

Allah SWT menggunakan huruf “lan” berupa nafy al-istimrar yang bermakna “penafian untuk selamanya” yang menunjukkan ketegasan haramnya bagi Muslim dikuasai oleh orang kafir. Menjadikan orang kafir sebagai penguasa bererti menjadikan mereka menguasai orang-orang beriman, satu keadaan yang diharamkan oleh Allah SWT.

Dalam ayat lain juga Allah SWT melarang kita menjadikan orang kafir sebagai wali. FirmanNya,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَتَّخِذُوا الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian menjadikan kaum kafir sebagai wali, selain kaum Mukmin” [An-Nisa’ (4):144].

Justeru, penolakan umat Islam terhadap Ahok merupakan suatu kewajipan yang jelas lagi nyata. Semoga Allah SWT merahmati demonstrasi yang diadakan oleh kaum Muslimin di Jakarta dan menggagalkan sebarang usaha orang kafir untuk menguasai kaum Muslimin.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment