Pelancaran Kempen Kempen Kenali Sistem Ekonomi Islam

السلام عليكم و رحمة الله وبركاته

Bermula pada 1 November 2016- 15 Januari 2017, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) akan melancarkan Kempen Kenali Sistem Ekonomi Islam: Celik Syariah Tegak Khilafah. Kempen ini bertujuan bagi membongkar segala mitos - mitos ekonomi yang dilabelkan pada wanita serta menggali penyelesaian Islam.


Sinopsis Kempen KSEI (Kempen Kenali Sistem Ekonomi Islam)

Menyedari kitaran (cycle) krisis ekonomi kapitalis semakin hampir, puak kapitalis mula mengorak langkah untuk memastikan kemampanan (sustainable) ekonomi tetap kukuh. Bermula pada 15-18 September 2015, Forum tahunan APEC Women and the Economy Forum (WEF) telah diselenggarakan di Filipina dengan mengangkat tema Wanita Sebagai Penggerak Utama Pertumbuhan Inklusif (Women as Prime Movers of Inclusive Growth). Sekali lagi, wanita dijadikan perisai ekonomi sekaligus membuktikan kekontangan idea puak rakus kapitalis dalam menangani isu kelembapan ekonomi dunia. Selain itu, pelbagai mitos ciptaan Barat bertopengkan wajah sekular berterusan dimomokkan sehingga wanita terkesan dengan kerosakannya namun tiada pilihan melainkan menerimanya. 

Menyedari hakikat ini, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) mengambil inisiatif mengadakan Kempen Kenali Sistem Ekonomi Islam: Celik Syariah Tegak Khilafah bagi membongkar segala mitos yang dilabelkan terhadap wanita serta menyajikan penyelesaian sebenar berlandaskan syariat Islam. Sesungguhnya mitos-mitos yang dilontarkan ini merupakan helah bagi menutup kerosakan dan kelemahan sistem ekonomi kapitalis. 

Justeru mitos-mitos ini akan dicabar bagi memberi pendedahan kepada golongan wanita betapa mereka telah ditipu oleh golongan kapitalis dalam agenda pemerkasaan ekonomi wanita. Ini dilakukan dengan meletakkan wanita sebagai penggerak utama ekonomi negara untuk mengangkat kedudukan dan martabat mereka walhal apa yang sebenarnya berlaku adalah wanita telah dieksploitasi dari segenap aspek dalam sistem ekonomi kapitalis. 

Bagi mencabar mitos-mitos palsu ini, MHTM akan menjelaskan mekanisme sistem ekonomi Islam yang terbukti mensejahterakan wanita secara tuntas. Usaha ini akan dijayakan dengan memberi kefahaman dan kesedaran yang menyeluruh tentang politik ekonomi Islam yang mensejahterakan wanita serta bagaimana sistem ekonomi Islam yang diterapkan dapat menyelesaikan pelbagai persoalan dan permasalahan yang dihadapi. 

Muslimat yang dirahmati Allah SWT, ayuh kita bersama-sama berjalan seiringan, berganding bahu dan berpadu tekad bagi menjayakan kempen ini kerana sesungguhnya tidak ada sistem kehidupan yang lebih bermakna dan mensejahterakan kehidupan melainkan sistem daripada Pencipta kita yang Agung, Allah SWT. Firman Allah, “Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah SWT” [TMQ al-Maidah (5):50].

Justeru itu, objektif kempen ini dapat kami ringkaskan seperti berikut;

1. Membongkar Agenda Kapitalis Dalam Pemerkasaan Ekonomi Wanita
a. Wanita Sebagai Penggerak Utama Ekonomi Negara
b. Kapitalis Mengangkat Martabat Wanita
c. Eksploitasi Wanita Dalam Sistem Ekonomi Kapitalis

2. Menjelaskan Mekanisme Sistem Ekonomi Islam Yang Mensejahterakan Wanita.
a. Politik Ekonomi Islam Yang Mensejahterakan
b. Cara (mekanisme) Islam Menjamin Kesejahteraan Wanita
c. Kemandirian Ekonomi Khilafah/ Sistem Ekonomi Islam Sebagai Pengganti Kapitalisme

Kami akan mencabar setiap mitos-mitos fana yang dilabelkan ke atas wanita. Setiap mitos yang diciptakan ini merupakan agenda kapitalis bagi menutup kerosakan sistem ekonomi kapitalis. Kami juga akan menawarkan Sistem Ekonomi Islam sebagai penyelesaian kemelut ekonomi yang dihadapi.

Semoga kempen ini dapat mencapai objektifnya dan menjadikan para muslimah celik syariah dan menginginkan penegakkan Khilafah ala minhaj nubuwwah sebagai penyelesaian tuntas.

Wallahu'alam
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment