Penutup Kempen Kesatuan Hijrah: Celik Syariah Tegak Khilafah

UCAPAN PENUTUP KEMPEN KESATUAN HIJRAH: CELIK SYARIAH TEGAK KHILAFAH

Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran pada Allah SWT kerana dengan izin dan rahmatNya, kempen Kesatuan Hijrah: Celik Syariah Tegak Khilafah telah berlangsung dengan jayanya. Kempen selama 2 bulan bermula pada awal Zulhijjah hingga akhir Muharram 1428H ini telah dilaksanakan di seluruh Malaysia.


Kempen ini dirancang dengan objektif untuk menyedarkan umat tentang sekularisasi makna haji dan hijrah, memberi pencerahan pada umat tentang kesatuan syariah dan politik dalam hukum haji dan hijrah serta memberi kefahaman tentang kepentingan tegaknya kembali khilafah untuk mengembalikan makna haji dan hijrah yang sebenar. Untuk merealisasikan objektif-objektif tersebut, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan.

Buat julung-julung kalinya, Muslimah Hizbut Tahrir mendekati umat untuk menyampaikan fikrah Islam dengan aktiviti Kembara Dakwah. Kembara dijalankan dengan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain seperti konvoi dari satu daerah ke daerah lain dalam satu negeri, sepanjang perjalanan komuter dan ada juga yang berjalan dari kedai ke kedai. Semuanya untuk bertemu umat sambil menjelaskan tentang isi kempen. Respon daripada umat amat positif kerana mereka dapat merasakan kehangatan dakwah Islam di tengah-tengah masyarakat.

Selain itu, MHTM turut mengadakan Roadshow seminar dan forum di beberapa negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Perlis, Johor dan Sabah. Forum dan seminar yang mengangkat tajuk Kesatuan dan Pengorbanan Menuju Perubahan Hakiki telah menampilkan para panel dalam kalangan pimpinan dan aktivis MHTM. Kehadiran para peserta yang amat menggalakkan jelas menunjukkan para Muslimah semakin sedar tentang peranannya dalam memastikan umat Islam kembali bersatu dengan sebenar-sebenar kesatuan dan mereka sanggup berkorban untuk mengusahakannya.

Tidak cukup dengan itu, aktiviti seperti Open Circle, Durus Masjid, Street Dakwah, Edaran Risalah turut giat dilaksanakan untuk menyampaikan mesej-mesej penting yang berkait dengan tema kempen. Antara risalah yang diedarkan adalah Sautun Nahdhah, Nahdatul Fikriyah, Fikratul Ummah, Fahami Hijrah Rasulullah dan lain-lain.

Dengan berakhirnya kempen ini, MHTM mengucapkan Jazakumullah khayran Kathira kepada semua peserta kempen khususnya dan seluruh umat Islam amnya atas sokongan dan usaha yang telah diberikan dalam menjayakan kempen ini.

Akhir kata, marilah kita terus berusaha dan berkorban apa sahaja untuk menukar Darul Kufur yang kita diami ini kepada Darul Islam (Khilafah) kerana hanya dengan cara inilah kita akan dapat menikmati betapa indahnya hidup di bawah naungan Daulah Khilafah yang diterapkan di dalamnya Syariat Islam dan merasai hakikat sebenar ibadah haji dan peristiwa hijrah sebagaimana yang telah dirasai oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya dengan penuh kemuliaan dan keredaan dari Allah Azza wa Jalla.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment