Penyembelihan Rohingya: Sampai Bila Kita Ingin Menanggung Dosa?


Ribuan Muslim Rohingya melarikan diri dari wilayah Rakhine demi menyelamatkan nyawa masing-masing daripada keganasan tentera rejim kafir Myanmar yang sedang kehausan darah umat Islam sejak lebih sebulan lepas. Pasukan tentera rejim mengganas dengan menyeksa dan membunuh umat Islam di beberapa perkampungan Muslim tanpa perikemanusiaan. Kekejaman terbaru ini dijustifikasi oleh rejim Myanmar sebagai tindak balas ke atas serangan terhadap pihak keselamatan mereka pada 9 Oktober lepas yang mana tudingan terus dihalakan kepada kelompok Muslim yang mereka gelar sebagai militan Rohingya. Ratusan Muslim, termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi dilaporkan telah dibunuh dengan kejam sejak beberapa minggu lepas. Ada yang ditembak, dibakar hidup-hidup dan ada yang dipukul bertalu-talu dengan objek keras hingga mati. Dalam beberapa hari lepas, pihak tentera telah meningkatkan “operasi pembersihan” dengan menggunakan helikopter untuk menembak Muslim yang tidak berdosa.

Keganasan dan kekejaman tentera rejim boleh dilihat melalui video-video yang banyak tersebar. Penduduk setempat melaporkan yang lebih kurang 70 Muslim Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak, ditembak bertubi-tubi tanpa belas kasihan ketika mereka cuba merentasi Sungai Naf untuk ke Bangladesh dalam usaha melarikan diri. Manakala sebilangan yang berjaya merentasi sempadan kemudiannya telah dihalang dan dihalau pula oleh pihak keselamatan Bangladesh di bawah rejim Hasina. Pegawai pemerintah Sektor Cox Bazar di Timur Bangladesh mengesahkan yang 86 Muslim Rohingya, termasuk 40 wanita dan 25 kanak-kanak telah dihalau keluar oleh pihak keselamatan sempadan dan rejim Bangladesh telah meningkatkan kawalan sempadan dalam rangka menghalang kemasukan lebih ramai pelarian Rohingya ke Bangladesh. Ramai juga yang lari disyaki sedang terdampar di laut.

Lebih menyayat hati, puluhan Muslimah Rohingya telah diperkosa oleh tentera Myanmar sejak mereka mula mengganas ke atas umat Islam. Reuters melaporkan hasil temuramah dengan 8 orang wanita Rohingya dari Kampung U Shey Kya yang menceritakan bagaimana rumah mereka telah dipecah masuk, barangan mereka dirampas dan mereka telah dirogol oleh sepasukan tentera Myanmar dengan senapang terhunus. Seorang Muslimah menceritakan bagaimana dia dirogol bergilir-gilir oleh 4 orang tentera Myanmar yang memecah masuk rumahnya dan turut melakukan serangan seks ke atas anak perempuannya yang berusia 15 tahun. Keganasan tentera kuffar rejim dapat disaksikan melalui foto satelit yang dikeluarkan oleh Human Rights Watch pada 13 November lepas, yang menunjukkan 3 perkampungan Rohingya dibakar dengan lebih 400 buah kediaman musnah.

Tentera Myanmar juga telah melakukan penutupan (lockdown) ke atas wilayah Rakhine sejak lebih sebulan lepas, yang menghalang semua bantuan kemanusiaan dan melumpuhkan kemasukan bekalan makanan dan ubat-ubatan. Ini telah meletakkan lebih 80,000 Muslim di wilayah tersebut dalam keadaan yang sangat terdesak dan bahaya. Tidak cukup dengan itu, pasukan polis Myanmar mengakui yang mereka telah melatih dan membekalkan senjata kepada penganut Buddha dan lain-lain penduduk non-Muslim di Rakhine dan menjadikan mereka sebagai “polis kawasan”. Usaha ini tidak lain melainkan pembentukan militan Buddha yang akan terus menyembelih Muslim Rohingya! Tentera pembunuh Myanmar nampaknya menggunakan alasan palsu yang biasa yakni memerangi pengganas, dalam usaha mereka meningkatkan kempen pembunuhan kejam besar-besaran ke atas Muslim Rohingya.

Dalam pada itu, ikon demokrasi Aung San Suu Kyi dan partinya Liga Demokrasi Kebangsaan yang kini menjadi kerajaan Myanmar, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan negara-negara kapitalis Barat yang selama ini kononnya merupakan pejuang hak asasi manusia, hanya menjadi penonton dan terus berdiam diri menyaksikan pembunuhan kejam beramai-ramai yang sedang berlaku di wilayah Rakhine. Ini kerana pembunuhan tersebut adalah melibatkan umat Islam, yang merupakan musuh bersama mereka. Semua ini menunjukkan sikap hipokrit mereka yang cukup jelas, di samping membuktikan betapa negara demokrasi yang mengaku mengamal dan memperjuangkan hak asasi manusia, tidak lebih daripada pendusta di siang hari!

Nasionalisme Dan Pengkhianatan Pemerintah Muslim

Saudara-saudara seakidah kita di Rakhine kini sedang berhadapan dengan pembunuhan besar-besaran yang terancang dan sistematik oleh pihak ekstremis Buddha dan tentera yang dinaungi oleh rejim Myanmar. Malangnya dunia terus membisu dan hanya menjadi penonton. Kita menyaksikan tidak lama dulu bagaimana seluruh dunia dibuat gempar dengan serangan ke atas Charlie Hebdo di Perancis yang mengorbankan 12 nyawa, yang hingga sekarang skrip dramanya masih dipersoalkan. Pemimpin-pemimpin utama dunia, termasuk pemimpin Muslim yang tidak tahu malu, bukan sahaja mengutuk serangan kecil tersebut, malah turut turun padang mengadakan bantahan dan menunjukkan solidariti dengan slogan “Kami semua Charlie”. Berita mengenainya pun tidak habis-habis disiarkan oleh akhbar-akhbar dunia dan tempatan seolah-olah itu merupakan serangan nuklear terbesar yang mengorbankan jutaan nyawa yang tidak boleh didiamkan begitu sahaja .

Namun, tatkala Muslim Rohingya dibunuh dengan kejam dalam skala besar-besaran dan tanpa henti oleh pengganas tentera rejim Myanmar, semua pemimpin ini menutup mata dan memekakkan telinga, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Lebih buruk apabila para pemimpin Muslim bukan hanya berpeluk tubuh, malah boleh menyanyi dan berfoya-foya tatkala darah umat Islam tertumpah dengan begitu banyak di bumi Arakan. Alangkah khianatnya para pemimpin Muslim yang ada pada hari ini! Mereka bukan sahaja sudah hilang sifat takwa dan amanah, malah telah hilang segala maruah, rasa malu, sedih atau simpati. Hati-hati mereka sekeras batu, malah lebih keras lagi dan lebih busuk daripada bangkai.

Para pemimpin ini sudah tidak tahu untuk apa mereka menjadi pemimpin kecuali untuk mengaut sebanyak mungkin harta duniawi demi memenuhkan tembolok dan hawa nafsu masing-masing. Sudah tidak terkata kezaliman dan kesengsaraan yang menimpa Muslim Rohingya, namun para pemimpin kaum Muslimin tetap membiarkan mereka diseksa dan dibunuh, membiarkan mereka mati terkapai-kapai di laut dan di sempadan-sempadan, tanpa menaruh simpati sedikit pun. Sempadan negara ditutup dan dijaga rapi oleh para pemimpin ini yang lebih rela melihat saudara-saudara mereka mati terseksa daripada membuka sedikit ruang, apatah lagi untuk menghulur bantuan. Inilah sikap pemimpin yang mengaku dirinya Muslim dan mengaku sebagai penjaga Islam!

Manakala para panglima tentera kaum Muslimin pula masih taat membabi buta kepada pemimpin yang mengkhianati Allah, RasulNya dan umat ini. Darah para panglima ini langsung tidak mendidih melihat tentera kuffar Myanmar membantai saudara-saudara Muslim mereka. Mereka nampaknya sudah tidak tahu untuk apa mereka menjadi tentera, kecuali untuk berkhidmat kepada para pemimpin yang khianat, bukannya untuk berkhidmat kepada Allah dan RasulNya dan untuk umat ini. Bagaimana mungkin mereka tergamak menyaksikan tentera kuffar rejim Myanmar menyeksa saudara seakidah mereka hingga mati, tanpa mereka berbuat apa-apa dan tanpa mereka merasa apa-apa!?

Selain hilangnya takwa dan rasa takut kepada Allah, antara sebab utama tidak bergeraknya pemimpin dan tentera kaum Muslimin ke Myanmar ialah kerana sempadan assabiyyah dan wathaniyyah yang wujud pada hari ini, satu konsep yang telah ditanam dan dipaksakan ke atas kita oleh kuffar penjajah melalui penjajahan fizikal dan minda. Kuffar penjajah sememangnya gagal untuk mencabut akidah umat Islam, walaupun itulah yang mereka inginkan. Tetapi mereka berjaya “menghadkan” akidah dan persaudaraan yang ada di hati umat Islam setakat batas sempadan palsu yang mereka bina. Sebagai natijah daripada assabiyyah dan wathaniyyah, umat Islam sudah tidak lagi dapat melihat bahawa Muslim yang berada di luar garis sempadan yang dilakar oleh penjajah ini, juga merupakan saudara seakidah yang wajib ditolong dan haram membiarkan mereka teraniaya.

Kita telah ditanam dengan akidah bahawa umat Islam adalah bersaudara dan umpama tubuh yang satu yang jika satu anggota merasa sakit, keseluruhan tubuh akan turut merasa sakit. Kita juga telah ditanam dengan akidah bahawa kita wajib mengambil peduli dan membantu saudara-saudara kita yang berada dalam kesusahan. Namun kuffar Barat berjaya “membataskan” akidah ini sekadar dalam koridor sempadan yang telah mereka lakar. Oleh itu, jika Kelantan dicerobohi dan Muslim di Kelantan dibantai oleh tentera Thailand, maka sudah tentu tentera Malaysia akan bergerak. Tetapi jika Muslim di selatan Thai dibantai, tentera Malaysia tidak akan bergerak. Padahal hakikatnya tidak ada apa yang membezakan Muslim Kelantan dan Muslim selatan Thai kecuali satu garis sempadan yang dilukis oleh penjajah British!

Begitulah nasib yang menimpa Muslim di Rakhine. Tatkala mereka dibantai dengan begitu dahsyat oleh tentera kuffar Myanmar, tidak ada mana-mana tentera pun yang bergerak dan tidak ada seorang pemimpin Muslim pun yang menggerakkan tentera, baik Bangladesh, Pakistan, Indonesia mahupun Malaysia. Semua ini terjadi kerana akidah para pemimpin dan tentera ini telah “dihadkan” untuk membantu Muslim yang berada dalam sempadan negara masing-masing sahaja! Hati mereka sudah menjadi gelap sehingga tiada lagi perasaan tanggungjawab, sedih dan simpati melihat saudara-saudara mereka dibunuh dengan kejam, hanya kerana saudara-saudara mereka ini berada di luar peta yang telah dilukis oleh Barat kepada kita sejak dahulu. Inilah “akidah nasionalisme” yang diharamkan oleh Islam!

Namun, apabila tuan mereka, kuffar Barat, mengarahkan mereka untuk menghantar tentera bagi memerangi sesama Muslim, maka para pemimpin pengkhianat ini bergegas melaksanakannya. Lihatlah bagaimana pasukan tentera daripada lebih 30 buah negara umat Islam bergabung untuk menyerang sesama Muslim di Yemen atas arahan dan restu daripada Amerika. Lihatlah bagaimana pasukan tentera Muslim bergegas menghantar misi ketenteraan atas arahan PBB, yang jelas merupakan tunggangan kuasa-kuasa besar. Apabila musuh mengarahkan mereka, mereka bergegas, namun mereka tidak bergerak walau selangkah pun apabila Allah dan Rasul memerintahkan mereka membantu saudara-saudara mereka! FirmanNya,

“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan” [TMQ al-Anfal (8):72].

Siapa Yang Akan Selamatkan Muslim Rohingya

Sesungguhnya umat Islam bukan sahaja tidak boleh berharap kepada para pemimpin yang ada untuk menyelesaikan masalah, malah sebaliknya para pemimpin inilah yang menjadi punca kepada masalah. Kepimpinan mereka bukan untuk menjaga umat Islam, tetapi telah mencelakakan umat Islam. Jadi, persoalannya sekarang ialah, siapakah yang akan menyelamatkan Muslim Rohingya dan lain-lain Muslim yang tertindas di muka bumi pada hari ini, baik di Myanmar, Kahsmir, Afrika Tengah, Asia Tengah, Palestin, Rusia, Syria dan lain-lain?

Siapakah yang mampu menyelamatkan Muslim Rohingya pada hari ini yang sedang dihabisi oleh tentera kuffar Myanmar, jika bukan pemimpin dan tentera kaum Muslimin? Siapakah yang mampu menyelamatkan Muslimah Rohingya yang diperkosa semahunya oleh tentera kuffar, jika bukan pemimpin dan tentera kaum Muslimin? Siapakah yang mampu menyelamatkan anak-anak Rohingya yang dicampak ke dalam api yang marak membakar, jika bukan pemimpin dan tentera kaum Muslimin? Siapakah yang mampu menyelamatkan Muslim Rohingya yang terdampar di lautan dan terkurung di sempadan, jika bukan pemimpin dan tentera kaum Muslimin? Di manakah kemanusiaan, di manakah keimanan, di manakah ketakwaan, di manakah darah kepahlawanan pemimpin dan tentera kaum Muslimin? Di manakah Mu’tasim, di manakah Sallehuddin al-Ayubi, di manakah Muhammad al-Fateh?

Realitinya kini di Myanmar adalah saudara-saudara kita sedang diperangi oleh tentera rejim kafir laknatullah. Maka solusi tuntas jangka pendeknya ialah dengan menghantar bala tentera untuk berjihad fi sabillah ke bumi Arakan yang Insya Allah akan pasti dapat menyelamatkan Muslim Rohingya dan sekaligus mengajar kebiadaban musuh-musuh Islam. Jika pemimpin dan tentera tidak bergerak, maka kita wajib untuk terus menekan dan memuhasabah mereka dan jika mereka tetap juga tidak bergerak, maka hisab mereka di tangan Allah Azza wa Jalla.

Namun dalam masa yang sama, kita wajib bergerak untuk menegakkan Daulah Khilafah yang Insya Allah bila ia berdiri sedikit masa lagi, bala tentera akan digerakkan ke Myanmar dan ke mana sahaja terdapat Muslim yang meminta pertolongan. Khilafah tidak akan membiarkan umat Islam dianiaya walau sedikit pun. Tentera Khilafah tidak akan berehat, walau sejenak, selagi ada Muslim yang perlukan bantuan terhadap musuh-musuhnya. Khilafah akan memandang darah kaum Muslimin sebagai suci, walaupun setitik, yang tidak boleh ditumpahkan tanpa hak. Khalifah sekali-kali tidak akan berdiam diri selagi ada walau seorang Muslimah, yang menyeru namanya untuk meminta pertolongan, kerana sesungguhnya Khalifah itu adalah khadim (hamba) kepada umat sekaligus merupakan penjaga Islam dan umatnya.

Khatimah

Sudah sekian lama umat ini menderita di setiap ceruk dunia dan sudah sekian lama pemerintah umat Islam tidak berbuat apa-apa kecuali menambahkan lagi penderitaan umat. Sesungguhnya tidak ada siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menyelamatkan Muslim Rohingya kecuali setiap daripada kita berusaha ke arah tersebut. Ingatlah bahawa kewajipan untuk membantu saudara-saudara seakidah yang tertindas merupakan kewajipan setiap Muslim dan dosa tidak akan terangkat daripada kita sehinggalah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan kewajipan ini. Hizbut Tahrir tidak sanggup melihat umat ini terus menderita dan tidak mahu dosa pelaburan terus mengalir di dalam tubuh umat ini. Oleh yang demikian, Hizbut Tahrir berusaha siang dan malam untuk memuhasabah pemimpin dan tentera, serta menggerakkan umat ini untuk mendirikan semula institusi penyelamat umat (Daulah Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah) yang hanya dengannya umat ini akan diselamatkan daripada musuh-musuh Islam. Justeru, ayuhlah wahai kaum Muslimin, bergabunglah bersama Hizbut Tahrir demi merealisasikan kewajipan yang mulia lagi agung ini.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment