Al-'Aqd (Akad/Kontrak)

Al-‘Aqd (akad/kontrak) berasal dari kata ‘aqada–ya’qidu–‘aqd[an]; jamaknya adalah al-‘uqud. Secara bahasa al-’aqd bermakna ar-rabth (ikatan), asy-syadd (pengukuhan), at-taqwiyah (penguatan). Jika dikatakan, ‘aqada al-habla (mengikat tali), maksudnya adalah mengikat tali satu dengan yang lain, menegangkan dan menguatkan ikatannya.

Al-‘aqdu juga boleh bermakna al-‘ahdu (janji) atau al-mîtsâq (perjanjian). Adapun al-’uqdah (jamaknya al-‘uqad) adalah objek ikatan atau sebutan untuk sesuatu yang diikat. Di dalam al-Quran kata ’aqada disebutkan sebanyak tujuh kali dalam tujuh ayat: kata ’aqada bermakna sumpah [TMQ 4: 33; 5: 89]; al-’uqûd bermakna al-’ahdu atau janji [TMQ 5: 1; 20: 27]; ‘uqdah bermakna ikatan [TMQ 2: 235, 237] dan al-‘uqad bermakna simpul atau simpulan [TMQ 113: 4].

Menurut Al-Jashash sumpah disebut ’aqd jika berupa sumpah untuk perkara yang akan datang.

Pada awalnya kata ’aqada digunakan untuk benda padat seperti tali dan bangunan, namun kemudian dengan majaz isti‘ârah kata ini juga diterapkan untuk selainnya seperti ’aqd al-bay’ (akad jual-beli), ‘aqd al-’ahd (akad perjanjian), ‘aqd an-nikâh (akad nikah), dan sebagainya.1 Dalam konteks ini, ’aqada dimaknakan sebagai ilzâm (wajib) dan iltizâm (komitmen atau irtibâth/pertautan).

Abu Bakar menyatakan, al-’aqd adalah apa yang diakadkan (diwajibkan) oleh orang yang berakad atas suatu perkara yang wajib dia lakukan atau dia akadkan terhadap orang lain untuk melakukannya dengan mewajibkan perkara itu kepadanya.

Al-’aqd, walaupun asalnya secara bahasa bermakna asy-syadd (pengukuhan), ia kemudian mengalami perubahan makna seperti sumpah dan akad; akad jual beli dan sebagainya. Namun, yang dimaksudkan tidak lain adalah kewajipan memenuhi apa yang disebutkan dan ditawarkan. Hal ini tidak lain dilaksanakan pada sesuatu yang ditunggu pemenuhannya pada masa hadapan. Jual beli, nikah, ijârah dan seluruh akad dengan pampasan disebut sebagai akad kerana masing-masing pihak telah mewajibkan diri untuk memenuhinya.2

Makna tersebut kemudian dalam penggunaannya lebih menonjol dan menjadi ’urf (tradisi). Kerana itu, secara ‘urf, al-’aqd adalah iltizâm al-jânibayn li syay’in wa muqâbiluhu (komitmen dua pihak atas sesuatu pampasan).3

Menurut Ibn Manzhur, “Jika anda berkata. ’âqadtuhu, atau ’aqadtu ’alayhi, maka takwilnya adalah: Anda mengikat (mewajibkan) dia atas hal itu dengan istîtsâq (meminta janji/komitmen) dan membuat kontrak (kesepakatan) dan perjanjian.”4

Dengan demikian, al-’aqd adalah transaksi dan kesepakatan atau komitmen dengan konotasi al-istîtsâq. Hal itu tentu tidak akan terjadi kecuali di antara dua pihak yang saling berakad. Adapun al-‘ahd (janji) boleh berlangsung daripada satu pihak sahaja. Hal ini kerana, al-‘ahd lebih umum daripada al-‘aqd. Tidak semua al-‘ahd (janji) merupakan al-‘aqd (akad). Sebaliknya, semua al-‘aqd (akad) merupakan al-‘ahd (janji).

Al-‘aqd adalah salah satu jenis tasharruf (perilaku) yang bersifat qawliyah yang kehendaknya berasal daripada kedua belah pihak. Adapun tasharruf yang kehendaknya berasal daripada satu pihak sahaja bukan merupakan al-‘aqd. Kerana itu, setiap al-‘aqd merupakan tasharruf, namun tidak semua tasharruf merupakan al-‘aqd.

Syariah menjelaskan al-‘aqd dalam kedua maknanya sebagai al-‘aqd dan al-‘ahd. Di dalam penjelasan syariah tentang akad jual-beli, ijârah, nikah dan akad-akad lainnya, terlihat jelas bahawa keterikatan, komitmen dan janji itu diwujudkan dengan ijab dan qabul di antara kedua pihak yang berakad. Az-Zarkasyi, setelah menjelaskan makna al-‘aqd secara bahasa telah berkata, “Lalu al-‘aqd ditransformasikan secara syarie menjadi irtibâth al-îjab bi al-qabûl (keterikatan atau pertautan antara ijab dengan qabul), seperti akad jual-beli, nikah dan sebagainya.”5

Dalam buku Qawâ’id al-Fiqh dinyatakan, “Al-‘Aqd (menurut) fuqaha’ adalah keterikatan bahagian-bahagian tasharruf secara syarie dengan ijab dan qabul; atau al-‘aqd merupakan keterikatan (komitmen) dua pihak yang berakad dan kerelaan keduanya atas suatu perkara. Dengan demikian, al-‘aqd merupakan ungkapan mengenai keterikatan ijab dan qabul (’ibârah ’an irtibâth al-îjâb wa al-qabûl).6

Hanya sahaja, agar akad tersebut dapat dinilai syarie, maka akad perlu dijalankan dalam konteks yang sesuai dengan syariah. Akad juga membawa konsekuensi atau implikasi hukum sesuai dengan konteksnya. Kerana itu, dapat disimpulkan bahawa pengertian akad secara syarie adalah keterkaitan antara ijab dan qabul dalam bentuk yang disyariahkan, yang melahirkan implikasi akad sesuai dengan konteksnya (irtibâth al-îjâb bi qabûl ’alâ wajh[in] masyrû‘[in] yuzhhiru atsarahu fî mahallihi).7

Oleh itu, melalui definisi ini dapat ditegaskan bahawa dengan adanya ijab dan qabul sahaja belum sempurna sesuatu akad. Hal ini kerana ijab dan qabul tersebut harus dilakukan sesuai dengan ketentuan dan bentuk yang disyariatkan. Jika semuanya ini terpenuhi, maka akad tersebut membawa implikasi. Inilah yang dimaksud yuzhhiru atsarahu fî mahallihi. Akad nikah, misalnya, mempunyai implikasi dihalalkannya farji wanita untuk lelaki yang menikahinya dan begitu juga sebaliknya.

Rukun Akad

Rukun akad ada tiga: (1) al-’âqidân (dua pihak yang berakad); (2) Shighat al-‘aqd (redaksi akad) iaitu ijab dan qabul; (3) Mahallu al-’aqd atau al-ma‘qûd ‘alayhi (objek akad).
Tanpa adanya kedua pihak, maka tidak akan terjadi akad. Salah satu atau keduanya boleh mewakili diri sendiri atau boleh juga melantik wakil daripada orang lain. Manakal yang menjadi objek akad adalah sesuatu yang di dalamnya ditetapkan implikasi akad dan hukumnya, seperti barang yang dijual-belikan dalam akad jual beli, hutang yang dijamin dalam akad kafâlah, dan sebagainya. Ijâb pula adalah ungkapan salah satu pihak yang berakad berkenaan ketegasan keinginannya untuk melangsungkan akad. Contoh, ungkapan bi’tu (aku jual) atau isytaraytu (aku beli). Adapun qabûl adalah ungkapan daripada pihak kedua setelah ungkapan ijab yang mengungkapkan persetujuan dia atasnya. Ijab dan qabul itu boleh dilakukan secara lisan, tulisan atau dengan sarana lain yang dapat menunjukkan dengan jelas keinginan kedua pihak.

Terdapat empat perkara yang mempengaruhi sesuatu akad dan membantu dalam memutuskan status hukumnya sama ada sah, batil atau fasad, dan sebagainya. Antaranya adalah: (1) Shighat (redaksi) akad; (2) Syarat-syarat dalam akad; (3) Larangan tentang akad; (4) Gharar (penipuan), termasuk kemajhulan (ketidak jelasan).

Adapun terkait dengan syarat akad, terdapat syarat in‘iqâd akad secara umum yang mesti dipenuhi dalam semua akad iaitu (a) kelayakan ’âqidân untuk melangsungkan akad; (b) kebolehan objek akad dari aspek hukumnya; (c) akad yang tidak terlarang; (d) akad memenuhi syarat in‘iqâd khususnya; (e) akad itu mufîd[an], (f) ijab tetap sahih sehingga terjadi qabul; dan (g) kesatuan majlis.

Ada pula syarat in‘iqad khusus untuk akad tertentu, seperti serah-terima barang dalam akad jual-beli dan cagaran.

Akad dikatakan sah jika ketiga rukunnya ada, sighât-nya sesuai dengan ketentuan syariah, memenuhi syarat-syarat in‘iqâd dan syarat khususnya, tiada larangan berkaitan dengan akadnya sendiri dan tiada unsur gharar. Akad yang sah akan menyebabkan seluruh implikasi hukumnya berlaku seperti terdapatnya pemilikan pembeli atas barang yang dibeli, pemilikan penjual atas harga barangnya, dan sebagainya.

Akad statusnya batil sekiranya tidak memenuhi ketentuan syariah tentang akadnya sendiri atau rukunnya, iaitu jika salah satu rukunnya tiada; atau tidak memenuhi ketentuan shighât; atau tidak terpenuhi syarat in‘iqâd atau syarat khususnya; atau akadnya sendiri dilarang; atau ada gharar yang menyebabkan batil. Contohnya, jika salah satu ’âqid tidak layak melangsungkan akad; atau shighât jual-beli tergantung; atau tidak adanya serah-terima barang yang dibeli atau yang dicagarkan; atau jual-beli barang yang bukan atau belum dimiliki; atau barang yang dijual majhûl seperti jual-beli ikan yang masih di dalam air, dan lain-lain. Akad yang batil hakikatnya secara syarie tidak terjadi. Kerana itu, semua implikasi hukumnya juga tidak ada (tidak berlaku) di dalam sesuatu yang menjadi objeknya. Dalam jual-beli yang batil tidak ada pemindahan pemilikan di antara penjual dan pembeli. Ertinya, pembeli tidak memiliki barang yang dibeli dan penjual tidak memiliki harga yang dia terima. Akad yang batil haram diteruskan. Akad itu perlu dikembalikan lagi kepada keadaan awal sebelum akad.

Adapun akad yang fasad adalah akad yang dirosaki oleh syarat dan sifat yang bertentangan dengan syariat. Seperti terjadinya ghabn fakhisy (mark up harga) dalam akad jual beli, maka akadnya tetap sah dan boleh diteruskan jika sifat ghabn fakhisy tersebut dihilangkan atau pihak yang merasa ditipu tidak merasa keberatan dengan penipuan harga yang menimpanya.

Wallah a‘lam bi as-sawab.

Oleh: Yahya Abdurrahman

Nota Kaki:
1. Lihat, Al-Minawi, At-Ta’arif, i/520, ed. M. Ridhwan ad-Dayah, Dar al-Fikr al-Mu’ashir-Dar al-Fikr, Beirut-Damaskus, cet. i. 1410.
2. Lihat, Al-Jashash, Ahkâm al-Qur’ân li al-Jashash, iii/284, ed. M. Shadiq al-Qamhawi, Dar Ihya at-Turats al-‘Arabi, Beirut. 1405.
3. Lihat, Ibn ‘Asyur, at-Tahrîr wa at-Tanwîr, iv/115, CD al-Maktabah asy-Syamilah, ishdar ats-tsaniy.
4. Lihat, Ibn Manzhur, Lisân al-‘Arab, iii/297, Dar Shadir, Beirut, cet. i. tt.
5. Muhammad bin Bahadur bin Abdillah az-Zarkasyi, al-Mantsûr fî al-Qawâ’id li Zarkasyi, ii/397, ed. Dr. Taysir Faiq Ahmad Mahmud, Wuzarah al-Awqaf wa Syu’un al-Islamiyah, Kuwait, cet.ii. 1405.
6. Lihat, Muhammad ‘Amim al-Ihsan al-Mujadidi al-Burkati, Qawâ’id al-Fiqh, i/383, ash-Shadf Bublisyirz, Kratisa, cet.i. 1407.
7. Lihat, Yusuf Ahmad Mahmud as-Sabatin, al-Buyû’ al-Qadîmah wa al-Mu’âshirah wa al-Bûrushât al-Mahaliyah wa ad-Dawliyah, hal.17 – dst, Dar al-Bayariq, Amman, cet. i. 2002. Lihat penjelasan tentang al-‘aqdu, jual beli dan bursa secara detil di dalam buku ini.

Sumber: https://hizbut-tahrir.or.id/2007/07/02/aqd-akadkontrak/
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment